Pihak MITI Perlu Jawab Soalan-Soalan Berikut…: TPPA

969674_528135340557051_1647912803_n

Kredit kepada UBI

Berikut adalah Kenyataan Media MTEM berkaitan tuntutan atau soalan jaminan yang pihak MITi perlu kemukakan kepada rakyat:

No Rujukan: MTEM/TPPA/2013/003

Tarikh: 4 Jun 2013

KENYATAAN MEDIA

MAKLUMBALAS KEPADA SESI PERJUMPAAN YB MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA & INDUSTRI (MITI), BERSAMA MAJLIS TINDAKAN EKONOMI MELAYU BERSEKUTU (MTEM) BERKAITAN STATUS TERKINI RUNDINGAN PERJANJIAN TRAN-PASIFIK (TPPA)

Satu perjumpaan tertutup diantara YB Dato’ Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri bersama MTEM dan ahli-ahli NGO telah diadakan di pejabat MITI, Kompleks Kerajaan Jalan Duta, Kuala Lumpur baru-baru ini bagi membincangkan status terkini rundingan Persefahaman Perjanjian Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership Agreement) atau TPPA.

Pendirian MTEM

MTEM telah melalui beberapa siri perbincangan dan ingin menyatakan pendirian terhadap perundingan TPPA:

  1. Ketiadaan kajian mendalam terhadap kesan ekonomi dan sosial terhadap negara dan penyertaan Malaysia dalam perundingan ini juga dilihat tidak matang. Sekiranya MITI ada membuat analisa menyeluruh berkaitan TPPA, maka ia perlu dibentangkan kepada umum, terutamanya berkaitan manfaat dan risiko yang bakal dihadapi.
  2. Perundingan TPPA ini diadakan secara sulit dan keengganan MITI mendedahkan teks-teks perjanjian adalah bertentangan dengan prinsip ketelusan dan akauntibiliti yang dijanjikan kerajaan. Jika benar TPPA memberi banyak kebaikan kepada negara maka tidak ada apa yang perlu disembunyikan malahan langkah-langkah persediaan boleh diadakan oleh pihak berkepentingan khususnya masyarakat usahawan.
  3. Tiada sebarang perundingan bermakna dianjurkan oleh MITI, dan sesi taklimat dengan beberapa pihak sebelum ini hanyalah secara lisan tanpa sebarang komitmen bertulis daripada MITI sebagai jaminan kepada keselamatan dan kedaulatan negara. Tambahan pula pelbagai pihak yang didakwa MITI mengikuti perundingan telah menafikan penglibatan mereka.
  4. MTEM berpendirian keburukan pada perjanjian ini jauh melampaui kebaikan, tidak sepertimana yang dicanangkan MITI terutamanya kesan TPPA kepada industri kecil dan mikro.
  5. Perjanjian antarabangsa seperti TPPA yang mempunyai kesan besar dan mampu mencemar kedaulatan negara sewajarnya diperdebatkan dan mendapat mandat baru daripada parlimen sebelum ianya diteruskan.

Dato’ Seri Mustapa juga turut bersetuju dengan beberapa pandangan Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, saudara Mohd. Nizam Mahshar.  Antaranya adalah kurangnya rundingan-rundingan bermakna diantara MITI dan pelbagai pihak yang mewakili suara umum.  Juga berkaitan TPPA yang berbeza sekali sifat, tuntutan serta kesannya berbanding perjanjian-perjanjian terdahulu; disamping pengaruh besar Amerika dan syarikat-syarikat multinasional mereka yang cuba mendominasi keputusan-keputusan rundingan. Beliau akhir sekali telah mengingatkan bahawa rundingan TPPA masih berlangsung dan sebelum ianya dimuktamadkan, MITI perlu mendapat mandat baru daripada kabinet untuk meneruskan tanggungjawabnya sebagai ketua perunding TPPA bagi pihak kerajaan Malaysia.

MTEM dalam pada itu teguh berpegang pada kenyataan terdahulu mendesak agar Malaysia menarik diri sepenuhnya daripada TPPA.  Walaupun menyokong usaha-usaha MITI untuk menambah pelaburan dan mempertingkatkan hasil perdagangan antarabangsanya, MTEM tetap bertegas bahawa TPPA boleh memberi impak negatif kepada ekonomi, kesejahteraan sosial dan kedaulatan negara.  TPPA bakal merubah polisi sedia ada, melangkaui pelbagai sektor termasuk impak kepada industri kecil dan sederhana (SME), peluang-peluang perolehan, harta intelek, tenaga kerja, kos sara hidup, penggubalan semula pelbagai akta dan undang-undang negara, ruang polisi, pertanian, malahan budaya masyarakat setempat.

TPPA bukan hanya isu setempat tetapi merupakan masalah sejagat.  Umpamanya kelmarin bekas Ketua Perunding TPPA dari negara Chile, Rodrigo Contreras telah secara terbuka mendesak negara-negara Amerika Latin bersatu mempertahankan kepentingan mereka melawan tuntutan daripada negara anggota yang kaya. Contreras memberi amaran bahawa selagi tidak dipertahankan, TPPA bakal menjadi “ancaman besar kepada negara, bakal menyekat kemajuan kesihatan dan pendidikan, kepelbagaian budaya dan biologikal, juga dalam merangka dasar awam serta transformasi ekonomi.”

Menurut penentang utama TPPA dari New Zealand, Profesor Jane Kelsey, “Contreras bercakap bagi pihak yang benar-benar faham teks perjanjian TPPA. Beliau telah begitu lama duduk di meja rundingan cuba untuk memujuk Amerika dan sekutunya agar tidak keterlaluan dalam tuntutan-tuntutan mereka. Contreras percaya halatuju TPPA pada ketika ini mampu mengancam pembangunan ekonomi dan sosial negara Chile,” tambah Kelsey lagi.

Komitmen Malaysia sebagai rakan dagang yang terbuka dan saksama sentiasa dihormati kawan dan lawan, tidak kira melalui TPPA mahupun sebaliknya.  Apatah lagi rundingan TPPA yang turut dianggotai saudara rapat Malaysia dari rantau Asia Tenggara seperti Brunei, Singapura, Vietnam dan Myanmar yang pastinya sudah faham benar keinginan Amerika untuk menguasai sempadan ekonomi Asia Pasifik walau dengan apa cara sekalipun.

MTEM telah mengenal pasti perkara-perkara didalam TPPA yang tidak akan  menguntungkan usahawan tempatan, bahkan mampu menggugat kestabilan ekonomi, keharmonian hubungan antara kaum serta kedaulatan negara.  Untuk itu MTEM telah mengutarakan 14 persoalan beserta 2 soalan tambahan yang menuntut jaminan serta jawapan bertulis daripada MITI.  MTEM berpandangan persoalan-persoalan ini perlu dijawab segera memandangkan status rundingan yang sudah berada diperingkat akhir serta risiko besar yang bakal ditanggung.

Setelah mengambil kira kesan negatif TPPA yang jauh melampaui kebaikannya, disamping tiadanya kajian terperinci berhubung impak sosial,  ekonomi dan perundangan, maka MTEM dengan ini membantah penglibatan Malaysia dalam TPPA dan mendesak agar isu ini dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

TUNTUTAN MTEM

1. Jika MITI benar telus mengatakan hasrat mengadakan kerangka perundingan yang menyeluruh; YB Dato’ Sri Menteri harus dapat memberi jaminan bahawa perundingan tidak akan ditandatangani selagi persoalan-persoalan dan kebimbangan utama dalam perjanjian ini dapat dijawab dan setelah satu laporan kesan ekonomi dan sosial TPP kepada negara dibentangkan dan diperhalusi oleh rakyat.

 2. MTEM meminta jaminan YB Dato’ Sri Menteri bahawa kedaulatan perundangan negara ini akan terus terpelihara dan ruang polisi tidak dikuasai oleh kuasa asing. Jaminan ini merangkumi tidak ada bahagian dalam perlembagaan, akta atau polisi negara ini yang terpaksa diubah semata-mata untuk memenuhi tuntutan “regulatory coherence” dalam TPP.

3. MTEM meminta jaminan YB Dato’ Sri Menteri bahawa tidak akan ada peruntukan yang menimbulkan risiko negara Malaysia dibawa ke mahkamah/tribunal antarabangsa (ISDS) melangkaui proses dan kedaulatan perundangan negara ini. Kes-kes sepertimana berlaku dalam FTA sebelum ini sepertimana berlaku di German, Canada, Mexico, Equador, Peru dan Afrika Selatan tidak berlaku di Malaysia.

4. Apakah jaminan YB Dato Sri Menteri; bahawa Negara tidak akan disaman (melalui ISDS) jika syarikat asing kehilangan keuntungan disebabkan peraturan dan polisi yang ada dinegara ini.   Dan apakah jaminan bahawa syarikat asing yang gagal mendapat tender dari perolehan kerajaan atau jika syarikat tempatan diutamakan mereka boleh membawa negara ke ISDS.

5. MTEM meminta jaminan YB Dato’ Sri Menteri bahawa kepentingan syarikat-syarikat tempatan didahulukan berbanding syarikat asing dan segala polisi dan usaha untuk membantu meningkatkan keupayaan, keberlansungan dan perkembangan syarikat-syarikat tempatan tidak dilihat sebagai halangan perdagangan samada SMEs, syarikat berskala besar mahupun GLC.

6. Produk-produk Perdagangan. Berdasarkan USFTA lalu; US meminta Malaysia untuk menghapuskan semua tarif untuk semua produk kecuali 1. MTEM meminta penjelasan berkenaan penghapusan tarif ini, apakah 1 produk yang dikecualikan dan masa transisi yang diberikan? Apakah jaminan YB Dato’ Sri Menteri terhadap industri tempatan yang terpaksa berhadapan dengan pengangkatan tariff produk-produk asing ini (tembakau, kereta, alkohol dll). Berdasarkan dokumen WTO (2007) [wt/tpr/s/225/Rev 1]; pendapatan Malaysia dari duti eksport adalah RM2.296 billion. Apakah Malaysia bersedia kehilangan pendapatan yang jelas berbanding projeksi pelaburan dan keuntungan perdagangan yang tidak terbukti dalam mana-mana perjanjian perdangan sebelum ini.

7. Apakah rasional kerajaan Malaysia bersetuju untuk senarai negatif TPP? Apakah senarai sektor dan bagaimanakah kaedah kerajaan Malaysia mempertahankan kepentingan perkhidmatan, perniagaan, perdagangan, dan  sebagainya dari SMEs dan syarikat tempatan dari persaingan syarikat asing? MTEM meminta jaminan YB Dato’ Sri Menteri adakah industri dan sektor baru dilindungi dan mampu berkembang melalui sistem senarai negatif (negative list) ini?

8. Adakah perolehan kerajaan akan dibuka dalam semua sektor (binaan dan bukan binaan). Apakah “threshold” MITI untuk perolehan kerajaan? Apakah jaminan YB Dato’ Sri Menteri terhadap majoriti SME bumiputera yang masih bergantung kepada perolehan kerajaan? Apakah kerajaan telah menjalankan secukupnya inisiatif dan sokongan untuk transisi kebergantungan syarikat tempatan dari kerajaan kepada pasaran terbuka?

9. Apakah cadangan-cadangan kerajaan Australia dan Amerika berkenaan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC/SOE) dalam bab persaingan? Adakah perolehan dan pembelian produk oleh SOE dibuka dalam bab Perolehan atau SOE dan apakah takat minima untuk pembukaan kontrak ini? Apakah jaminan YB Dato’ Sri Menteri bahawa syarikat berkepentingan kerajaan (TM, Khazanah, Petronas dll) untuk meneruskan atau mendahulukan peranan sosial dan pembangunan Negara?

10. Apakah jaminan YB Dato’ Sri Menteri berkenaan hak-hak diperingkat negeri termasuk dalam perolehan dan GLC?

11. Apakah jaminan YB Dato’ Sri Menteri bahawa harga barangan dan kos sara hidup masyarakat tidak akan meningkat – contohnya ubat-ubatan, insuran kesihatan dan rawatan hospital, beras dan gula, penyelidikan dan pembangunan, pendidikan dll?

12. Apakah jaminan YB Dato’ Sri Menteri bahawa polisi, produk dan inisiatif kerajaan termasuk ETP, produk 1Malaysia, agensi sokongan usahawan dan bumiputera, program offset, pemindahan teknologi tidak dilihat sebagai halangan perdagangan sepertimana pelbagai perkara telah tersenarai sebagai halangan perdagangan yang terkandung dalam Laporan Halangan Perdagangan USTR 2013?

13. Apakah jaminan YB Dato’ Sri Menteri bahawa budaya, praktis agama, dan syariah tidak disentuh oleh TPP memandangkan Halal telah dikategorikan sebagai halangan perdagangan sepertimana Laporan Perdagangan USTR 2013? Ini termasuk kebebasan terhadap bahan lucah dan pornografi, penjualaan alkohol dan sebagainya.

14. Apakah jaminan YB Dato’ Sri Menteri berkenaan sektor guna tenaga dimana syarat dan layanan keutamaan tidak boleh diberikan kepada pekerja tempatan dan peraturan dan permintaan membangunkan kapasiti dan kemahiran atau pengambilan atau perletakan guna tenaga tempatan dilihat sebagai halangan perdangan?

15. Ada kes tertentu yang menyebabkan barangan dari Malaysia dikenakan tarif impot yang besar sebagai penalti apabila tidak memenuhi syarat-syarat dalam TPPA.  Dalam kes terbaru (May 2013) tariff import untuk udang ternak telah dinaikkan sehingga 65% sedangkan industri ini telah menerima geran dan subsidi daripada kerajaan dalam bentuk sokongan NKEA.  Apakah perkara yang sama bakal berlaku untuk pelbagai sektor lain?

16. Ada dakwaan terdapat kandungan perjanjian TPPA yang membolehkan syarikat-syarikat Amerika mendakwa syarikat-syarikat tempatan menggunakan peruntukan undang-undang Amerika, dan bukannya mengikut undang-undang Malaysia.

TENTANG MTEM

Dilancarkan pada September 2011, MTEM merapatkan jurang dan memberi peluang kepada perniagaan Melayu tempatan untuk membangun dan mengembangkan perniagaan mereka sendiri. Selain daripada menyediakan rangkaian perniagaan dan mentor, MTEM juga melabur dalam inisiatif perniagaan baru. Dalam hubungan dengan kerajaan, MTEM sentiasa memperkemaskan jaringan dan bertindak sebagai kumpulan yang berpengaruh untuk mewujudkan kesan yang lebih bermakna dalam hubungan dengan kerajaan. MTEM telah merangka dan memenuhi keperluan akar umbi perniagaan Melayu melalui pelbagai inisiatif yang berbeza untuk mereka meningkatkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi dalam sesuatu industri.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

 Aliff Basri

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu

Tel: 0320952450

Email: aliffbasri.mtem@gmail.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *