Site Overlay

Catatan Sempena Piala Malaysia 2013

Kehidupan ibarat menonton Bola Sepak. Anda sudah tahu dengan pasti bahawa akan ada kalah dan menang. Bahkan anda sendiri tidak pasti bahawa kumpulan anda akan menang atau kalah. Para penganalisis yang hebat-hebat belaka juga turut membulan pelbagai ramalan, tetapi sayangnya, ia belum tentu benar. Namun anda tetap mahu menonton bola sepak di stadium tanpa berfikir untung rugi perbelanjaan ke stadium, sama ada menang atau kalah.

‘Keikhlasan’ anda menjadikan anda sanggup meredah hujan dan melalui perjalanan yang jauh.

Piala Malaysia 2013 menjadi milik Pahang. Mereka telah kemarau Piala Malaysia sejak tahun 1992. Tentu malam ini adalah memori indah buat mereka. Hakikatnya, saya meletakkan diri saya sebagai penyokong Kelantan. Kelantan tetap menjadi pilihan walau kalah. Ia bukan soal kalah atau menang. Ia lebih dari itu.

Kalah sekalipun tidak mengapa, saya tetap berpuas hati. Saya belajar banyak perkara pada malam ini.

Alhamdulillah.

Kuncinya, walau di mana-mana anda berada, ada benda yang anda boleh pelajari dan perlu pelajari. Usahakan untuk mempelajari walau kelihatan ia tidak perlu dipelajari.

Bab Alam Sekitar? Saya cukup tidak berpuas hati. Sampah bertaburan merata tempat. Keadaan stadium sangat kotor. Itulah gambaran masyarakat yang hampir kebanyakannya tiada kesedaran sivik. Kesedaran untuk merasakan bahawa mereka sebenarnya telah mengotorkan rumah mereka sendiri!

Pada saya, Pahang memang berhak mendapat trofi pada malam ini. Kelantan pula harus perbaiki cara sorakan. Sorakan perlu mengiringi para pemain dan tidak hanya ketika gol semata-mata. Apapun, ini hanya pemerhatian saya pada malam ini yang mungkin berbeza dalam perlawanan lain. Bab permainan pula? Kadang kala menjadi kadang kala tidak menjadi, dan malam ini saya fikir kurang menjadi.

Mutu pengadilan turut menyumbang kepada mutu perlawanan. Walau bagaimanapun, jika kita tidak puas hati macam manapun, alasan paling mudah ialah ‘pengadil juga manusia…’

Piala Malaysia 2013 kali ini adalah suatu kenangan yang indah. Saya berjalan 2 KM dari stesen Komuter Batu Tiga ke stadium gara-gara sukar mendapat teksi untuk ke stadium. Mujur saya tidak keseorangan. Kami berkonvoi sekitar 5 hingga 10 orang. Ini juga kali pertama saya menonton di stadium sejak hampir 23 tahun yang lalu.

Sungguh… perlawanan bola sepak boleh diumpamakan sebagai ‘dunia yang kecil’.

‘Dunia kecil’ yang menceritakan gambaran kasar keadaan masyarakat semasa.

Sekian.

Jam 0258

Gombak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2019 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes