Site Overlay

Cabaran Politik & Perundangan Untuk Merealisasikan AEC

Saya amat berminat juga untuk peduli berkenaan isu Perjanjian Perdagangan Antarabangsa atau dalam bahasa Inggerisnya disebut ‘Free Trade Agreement’. Dalam ‘posting’ saya terdahulu, saya banyak berkongsi perihal salah satu perjanjian antarabangsa yang sedang dirunding oleh Malaysia bersama dengan 11 buah negara yang lain iaitu Trans Pacific Partnership Agreement.

Seperti sedia maklum, pada 2015, Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN. Persidangan tersebut dianggap sangat penting kerana tahun 2015 merupakan ‘tarikh akhir’ untuk terlaksananya apa yang dipanggil Komuniti Ekonomi ASEAN atau ‘ASEAN Economic Community’ (AEC). Walau bagaimanapun, terdapat banyak isu yang belum dapat diselesaikan dan perlaksanaan agenda penting ini memerlukan kerjasama dan komitmen semua negara ASEAN yang terlibat.

Pada kali ini, saya kongsikan satu liputan media berhubung dengan laporan yang disediakan oleh Ernst & Young (EY) berkenaan dengan situasi terkini persediaan ke arah agenda AEC.

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) — Satu laporan oleh Ernst and Young Malaysia (EY Malaysia) telah menekankan bahawa kerumitan politik, perundangan dan pertubuhan serta kekurangan peraturan perniagaan yang seragam dan harmoni di kalangan negara anggota Asean menjadi penghalang kemajuan Komuniti Ekonomi Asean (AEC).

Rangka Tindakan AEC 2007 bertujuan untuk mencapai integrasi ekonomi serantau menjelang tahun depan, tetapi mengikut “Kad Skor Komuniti Ekonomi Asean 2012”, hanya dua pertiga (67.5 peratus) daripada sasaran itu telah dicapai.

Rakan Kongsi Urusan EY Malaysia, Datuk Rauf Rashid, berkata laporan itu tidak mengejutkan, berikutan kepelbagaian ekonomi dan pelbagai peringkat kematangan pertumbuhan dalam setiap 10 negara anggotanya.

Beliau berkata, keutamaan nasional dan tempatan sering mengatasi inisiatif serantau dan menghalang pencapaian matlamat yang lebih besar.

“Walaupun masalah makro terus wujud, terdapat banyak bidang di mana penyelesaian boleh dilaksanakan di peringkkat mikro,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rauf berkata, satu cara untuk mengukur kejayaan ialah tahap minat perniagaan di rantau ini.

“Oleh itu adalah penting untuk melihat kemajuan AEC melalui pandangan perniagaan dan masih terdapat banyak halangan menjalankan perniagaan di Asean yang akan menjejaskan integrasi.

“Satu daripada cabaran terbesar yang dihadapi pelabur untuk menjalankan perniagaan di Asean ialah keperluan untuk kejelasan dan kepastian dalam undang-undang tempatan, dasar kerajaan dan persekitaran perundangan,” katanya.

Rauf berkata, penyelesaian paling logik dan berkesan ialah meminda dasar untuk memudahkan perniagaan dimulakan.

“Pemudahan dan kejelasan adalah kuncinya. Pendekatan tiga serampang di peringkat serantau, nasional dan kerajaan tempatan adalah diperlukan,” katanya.

Menurutnya, negara Asean boleh berusaha untuk menyeragamkan proses kawal selia dan keperluan maklumat dan mempunyai pusat pendaftaran sehenti serta portal perniagaan Asean.

Dialog berterusan antara perniagaan dan pembuat dasar dan di kalangan pihak berkuasa dalam negara yang sama serta antara negara, juga diperlukan, katanya.

Rauf juga menekankan kepentingan pembabitan sektor swasta dan sekretariat Asean di samping kerajaan negara Asean untuk membabitkan pihak berkepentingan seperti komuniti perniagaan dan profesional dalam membangunkan pelan strategik dan garis masa untuk melaksanakan objektif AEC.

Beliau berkata, Malaysia bagaimanapun telah mencapai kejayaan dalam aspek utama seperti dasar kerajaan, prosedur kawal selia serta pemudahaan perdagangan rentas sempadan.

Beliau berharap sebagai pengerusi Asean tahun depan, Malaysia akan berada di barisan depan bagi meningkatkan perkongsian amalan dan pengalaman terbaik antara negara anggota.

Mengenai peraturan perdagangan yang seragam dn harmoni, Rauf berkata, ada dua isu penting menjejaskan perdagangan di kalangan anggota Asean, iaitu pelbagai halangan kemasukan dan keperluan untuk kepastian untuk mendapat dan mengekalkan konsesi tarif keutamaan di bawah Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (ATIGA).

Menurutnya, Perjanjian Mengenai Pemudahan Perdangan, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) baru-baru ini akan menjadi rujukan terbaik kepada Asean untuk menerima dan melaksanakannya menjelang penubuhan AEC.

“Banyak langkah pemudahan perdagangan yang menjadi sebahagian daripada Perjanjian WTO, adalah dalam bidang di mana tidak terdapat Asean sekarang ini.

“Penerimaan awal oleh Asean secara satu pihak akan memberi isyarat jelas kepada dunia yang Asean adalah terbuka untuk perniagaan,” katanya.

Rauf berkata, satu daripada objektif Rangka Tindakan AEC adalah untuk memesatkan pertumbuhan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam Asean.

Menurutnya, walaupun negara Asean secara tradisinya bersaing sesama mereka untuk FDI, adalah lebih menguntungkan jika mereka menjadi sekutu daripada bersaing.

Beliau berkata, badan pelaburan negara Asean boleh berusaha untuk mengenal pasti bidang untuk kerjasama di seluruh rantau, termasuk industri dan sektor tertentu atau lokasi geografi tertentu.

“Secara dua hala atau pelbagai hala, bidang terbabit boleh dibangunkan lagi sebagai nilai cadangan di mana agensi pelaburan Asean boleh mendekati pelabur asing sebagai badan separuh kolektif, menawarkan pelabur dengan pandangan lebih menyeluruh mengenai Asean dan apa yang boleh ditawarkannya,” katanya.

Laporan EY Malaysia “Rahsia Perdagangan: Komuniti Ekonomi Asean dan Kemasukan Pelaburan” meneroka kemajuan AEC melalui pandangan perniagaan, terutama halangan untuk menjalankan perniagaan di Asean.

Ia mencadangkan pendekatan tiga serampang di peringkat serantau, nasional dan kerajaan tempatan bagi mencapai kejayaan yang dicari daripada integrasi ekonomi di rantau ini.

— BERNAMA

Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=1034577

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2019 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes