Ke Mana Mahu Salurkan Hasil Keuntungan Perniagaan Bufet Ramadhan?

SYARIKAT katering Felda D’Saji Sdn Bhd, anak syarikat Felda dan Koperasi Permodalan Felda menyasarkan hasil jualan sebanyak RM2.2 juta bufet Ramadan di Dewan Perdana Felda serta Restoran Felda Villa tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zaki Abdullah berkata, tahun lepas kedua-dua venue yang masing-masing menawarkan harga RM85 dan RM69 seorang itu mencatat hasil jualan sebanyak RM1.7 juta.

“Untuk tahun ini, kita menawarkan lebih 111 menu yang akan disediakan 40 chef dengan menu istimewa termasuk makanan Arab, masakan kampung dan pelbagai lagi juadah tradisi Melayu dan antarabangsa,” katanya kepada pemberita pada majlis prebiu bufet Ramadan di Restoran Felda Villa di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga menjangkakan kehadiran lebih 30,000 tetamu berbanding 26,000 tahun lepas bagi kedua-dua venue.

Lebih menarik, tahun ini Felda D’Saji akan bekerjasama dengan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bagi memberi peluang kepada setiap tetamu menyumbang untuk aktiviti kebajikan kepada pesakit kanser, katanya.

“Kami akan mendermakan RM1 bagi pihak tetamu kami kepada Tabung MAKNA dengan jumlah sasaran minimum sumbangan sebanyak RM25,000,” katanya. – Bernama

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/bisnes/bufet-ramadan-felda-d-saji-sasar-jualan-rm2-2juta-1.284171

Komentar:

1. Semua syarikat mahu membuat keuntungan dalam aktiviti perniagaan.

2. Semua syarikat akan menggunakan peluang untuk memaksimumkan untung.

3. Beza antara sesebuah syarikat dengan syarikat yang lain dalam membuat untung ialah, bagaimana mereka memberi nilai tambah dalam hidup insan. Dalam konteks Bulan ramadhan ialah, adalah cukup sekadar mendapat untung dari perniagaan makanan atau ruang berbuka puasa? Atau perlu ada nilai tambah dari sudut berlakunya pengagihan keutungan yang maksimum kepada pihak-pihak yang memerlukan mengikut prioritinya?

4. Usaha Felda D’Saji Sdn Bhd adalah satu usaha terpuji. Ia boleh dijadikan salah satu contoh.

5. Dicadangkan juga andai ada syarikat-syarikat seperti itu, selain mengaut keuntungan, boleh sumbangkan sebahagian hasil pendapatan dalam sektor pendidikan; sama ada diperingkat anak-anak yatim, orang susah, dan juga pengajian tinggi.

6. Kekayaan yang disumbangkan boleh menjadi sumber wakaf untuk aktiviti pendidikan.

7. Peringkat pengguna pula; Untuk berbuka puasa, ukur baju di badan sendiri. berbelanja untuk berbuka seadanya.

8. Minimakan penggunaan bahan terbuang seperti plastik ketika membeli makanan. Bawa bekas makanan sendiri.

9. Jika dapat, berbuka bersama keluarga di masjid-masjid (teraspirasi dengan pengalaman kawan-kawan).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *