Site Overlay

Zaman Kuasa ke-3 Versi Malaysia: Kenali, Dekati dan Hargai Usaha Mereka

Saya menulis disaat rakyat Malaysia sedang kecoh isu MB Selangor. Krisis di Selangor adalah satu ujian buat PR untuk memastikan kerelevenan mereka dalam arena politik tanah air. Saya berminat untuk ambil tahu hal-hal tersebut, tetapi tidak ada keinginan untuk mendalami atau  ‘crack your head’ untuk krisis-krisis politik domestik dan dunia yang berlaku tanpa mengaitkannya dengan kehadiran ‘Kuasa Ke-3’ dalam kalangan rakyat Malaysia.

Benar. Ia dipanggil ‘Kuasa Ke-3’. Kuasa ke-3 atau dikenal sebagai masharakat madani atau boleh juga guna istilah masharakat sivil adalah kumpulan individu atau ahli masyarakat yang mempunyai aspirasi yang sama untuk memperbaiki keadaan masharakatnya tanpa terikat dengan kepentingan politik dan kuasa serta bukan berasaskan untuk memaksimumkan keuntungan.

Saya percaya abad ke 21 ini, Kerajaan Malaysia wajib mengambil kira pandangan para pakar yang memberi idea-pemikiran-pandangan mereka sebagai seorang rakyat Malaysia yang tidak memakai ‘baju’ mana-mana jawatan kerajaan atau swasta. Mereka lahir daripada sistem sedia ada, tetapi berusaha untuk memperbaiki sistem yang melahirkan mereka. Mereka mungkin perseorangan atau mungkin berkumpulan.

Masharakat Madani di Malaysia harus terbentuk dari kesedaran kendiri dan bukan disuruh-suruh oleh mana-mana parti politik atau pemerintah atau syarikat-syarikat swasta. Mereka ini lahir bukan semata-mata untuk pandai membangkang polisi sedia ada yang tidak mesra-rakyat, tetapi dengan kepakaran yang mereka ada dan di-organisasi-kan dengan baik, mereka membantu memberikan penyelesaian kepada masalah yang timbul dalam masharakat atau rakyat seluruhnya. Mereka ini dari latar berbeza.

Masharakat Madani versi Malaysia harus mengetengahkan sesuatu isu penting itu untuk kefahaman awam dan pada masa yang sama membantu pembuatan polisi. Sifat keberadaan mereka dalam masharakat, tidak bermusim. Ia releven sepanjang masa tanpa terikat dengan agenda politik kepartian. Jika politik kepartian atau pemerintah mempunyai ‘game plan’ tersendiri, Masharakat Madani jmuga ada ‘Game Plan’ tersendiri untuk memastikan masharakat memahami perjuangan mereka dan paling penting bertindak untuk pengislahan masharakat ke peringkat akar-umbi.

Terlampau banyak perkara yang memerlukan kita sebagai rakyat Malaysia untuk berperanan penting membantu pengislahan Malaysia ke arah lebih baik. Untuk menyelesaikan cabaran-cabaran tersebut tidak mewajibkan kita memasuki arena politik kepartian. Yang diperlukan adalah komitmen dan ilmu pengetahuan tentang sesuatu isu yang mahu diperjuangkan. Tidak cukup dengan itu, aspirasi ini wajib dikongsikan bersama dengan masharakat yang mempunyai aspirasi yang sama. Di luar sana masih ramai ahli masharakat yang mahu menyumbang dalam pelbagai lapangan, tetapi tidak tahu jalan bagaimana untuk merealisasikan niat murni itu.

Kerajaan Malaysia harus menyedari kumpulan ini yang mempunyai peranan tersendiri dalam mencorak masharakat Malaysia. Sikap terbuka yang pernah disarankan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak harus dijiwai oleh barisan kepimpinan Kerajaan yang lain dan juga para pegawai kerajaan dari peringkatan atasan hingga ke bawahan.

Walau bagaimanapun, terdapat satu cabaran untuk mereka terus kekal wujud; iaitu cabaran kewangan. Disebabkan kewanganlah ada kalangan masharakat sivil yang tulen, tetapi akhirnya perlu senyap dalam beberapa isu penting kerana mereka telah ‘dibiayai’ oleh pihak-pihak tertentu yang mahukan agar kepentingan mereka terjaga. Sebab itu, para usahawan dan ahli-ahli perniagaan yang hebat juga harus mengetahui keberadaan badan-badan bukan kerajaan atau masharakat madani dalam landskap komuniti Malaysia.

Sikap kedermawanan ini amat diperlukan untuk membantu masharakat madani untuk terus kekal wujud tanpa dibayangi atau terikat dengan pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda atau kepentingan peribadi masing-masing. Suaranya telus dan kuat hingga mampu membuatkan Kerajaan berfikir dua kali sebelum melaksanakan sesuatu dasar atau rancangan pembangunan untuk rakyat mampu dilaksanakan; andai diberikan ruang yang cukup untuk mereka menjalankan tanggungjawab mereka.

Kenali dan dekati masharakat madani di sekeliling anda. Mereka perlukan sokongan kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2020 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes