Site Overlay

Saya Tidak Kisah Sangat Isu MB Selangor…

Saya tidak kisah sangat.

Benar. Saya tidak kisah sangat dengan perlantikan MB baharu bagi Selangor. Bukan kerana ia tidak penting bagi saya, tetapi walau sesiapapun yang memimpin sesebuah negeri atau negara, pemimpin tersebut bukan berdiri seorang. Di belakangnya terdapat ramai penasihat yang bakal memberi maklumat – sama ada benar atau salah.

Di sini letaknya peranan Kuasa Ke-3 dalam mengimbangi keputusan yang dibuat oleh para pemimpin.

Isu MB Selangor hanya satu corak atau cara berpolitik pihak-pihak tertentu pada masa tertentu untuk tujuan tertentu. Masharakat marhaen tapi urban yang duduk sekitar Selangor, tidaklah sangat merasainya secara langsung, cuma disebabkan sifat ke-urban-an, selalu dengan aplikasi telefon pintar, maka terasa jugalah bahang perdebatan isu MB Selangor di media sosial.

Apa peranan saya dan kita yang tidak terlibat secara langsung? Sebaiknya tidak perlulah terikut-ikut dengan ‘peperangan’ pandangan yang berlaku. Cukuplah kita menyaksikan ‘drama’ ini dan fokus kepada apa yang sedang kita lakukan.

Memang diakui, ia tidak mudah. Apapbila melangkah ke alam media sosial, berlaku tarik-menarik untuk turut sama terjun dalam segala perdebatan yang menjadi tren. Ia tidak salah andai prioritinya betul tetapi ia agak membuang masa andai sebenarnya terdapat prioriti lain yang lebih utama untuk dibincangkan atau dikongsikan di media sosial.

Pendekatan ‘berbeza’ ini mampu dibuat oleh sicelik yang tahu perbezaan peranan yang sedang dimainkan – sebagai rakyat biasa-marhaen-duduk di bandar.

Sekarang, keputusan sudah diketahui siapa yang menjadi MB, pada masa yang sama banyak lagi isu yang belum selesai dan perlu diambil berat oleh sicelik – seperti isu perpaduan, pendidikan, kesamarataan, jerebu, perjanjian perdagangan bebas, gelandangan dan lain-lain.

Lalu, ambilah peranan yang berbeza tersebut. Boleh sahaja jika mahu berdebat tentang isu yang ‘trendy’ sifatnya, tapi jangan dilupai isu-isu fundamental yang memerlukan komitmen jangka panjang untuk diselesaikan.

Selamat berbakti!

P/S: Daripada saya, sekalung ucapan tahniah dan takziah atas lantikan ini, YB Azmin Ali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2020 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes