Site Overlay

Hikayat Nusansia: Cetakan Semula Yang Ditarik Semula

Nusansia.

Sebuah negara yang aman damai. Negara yang telah mendapat kemerdekaan sejak 60 tahun yang lalu ini, kini dianggap antara negara yang sedang pesat membangun.

Dalam kalangan dunia membangun dan dunia ketiga, siapa yang tidak kenal negara Nusansia? Hampir setiap negara tersebut, ‘pabila warga Nusansia memperkenalkan diri, muka mereka akan berubah kegirangan tanda kagumn dan juga cemburu kerana tidak berpeluang menjadi warga Nusansia.

Bahkan nama Perdana Menteri yang lepas, Tum Jalak, berterusan sahaja disebut-sebut dan dianggap sebagai wira kerana turut memperjuangkan hak negara dunia membangun dan dunia ketiga dalam Persidangan Meja Bumi.

Itulah Nusansia; dengan penuh kebanggan, terus digembeleng segala sumbernya untuk mencapai status negara maju.

Ini kali pertama saya perkenalkan negara ini kepada kalian. Sesiapa yang mengenali Nusansia tidak mampu mempertikaikan keamanan yang sedang dikecapi oleh negara Nusansia ini. Juga berupa negara yang sedang pesat membangun.

Walau bagaimanapun, seperkara yang ingin saya kongsikan perihal negara ini ialah sikap sebuah pusat pengajian tingginya, yang turut dikagumi dunia – dunia Islam khususnya -, sewajarnya tidak melakukan sesuatu yang boleh mencalarkan imej mereka.

Aku ada seorang sahabat. Adib namanya. Ini kisah Adib.

Pada suatu hari, Universiti Antarabangsa Kita mengadakan hari Konvokesyen kali ke 19. Maka, banyaklah gerai dan pameran yang ada. Termasuk gerai buku yang dibuka oleh pihak universiti tersebut.

Sedang asyik si Adib membelek buku-buku yang dijual, tiba-tiba dia ternampak beberapa naskah karya Ulama Besar Seantero Nusantara; yang telah dicetak semula. Maka dengan penuh bersemangat, dia pun membeli beberapa judul karya tersebut.

Dia agak pelik kerana jika karya Gurunya akan diterbitkan semula, dia akan mendapat info tersebut. Walau bagaimanapun, yang penting dia dapat membeli beberapa judul.

“Eh, dapat cetak semula ya buku-buku ini?” Si Adib bertanya.

“Ya, kami sudah mendapat izin penulis…”

“Ok..”

Si Adib dengan bersemangatnya membuat status di Muka Buku-nya tentang pengalamannya membeli beberapa judul karya Gurunya itu. Saya adalah antara yang terbaca.

Beberapa hari selepas membaca status Adib, saya ke institusi berkenaan untuk mencarinya.

“Akak, buku Syeikh Ulung Melayu ada dicetak semula ya?”

“Erm, tiada, Dik.”

Mulalah aku menggaru kepala. Disebabkan tidak mendapat maklumat yang tepat, maka aku mengiyakan sahaja – seakan-akan aku tidak tahu dan hanya mahu bertanya kalau-kalau ada cetakan semula.

Tiga minggu selepas kunjunganku ke institusi tersebut, aku berpeluang menghadiri kelas para Guru-ku; dan Gurunya juga. Maka berpeluanglah aku berjumpa dengan Si Adib.

“Adib, hari itu aku ke UAK, untuk mencari karya-karya Syeikh. Tapi tiada. Katanya belum dicetak semula. Tapi bukankah kau ada kata mereka ada cetak semula?”

“Memang ada, tapi mereka tarik semula…”

“Kenapa?!”

“Sebab mereka sebenarnya tidak mendapat izin penulis! Tapi pandai-pandai terbitkan, dengan kualiti yang juga tidak memuaskan.”

“Ler, jadi mereka terbitkan semula karya-karya tersebut, tanpa izin Syeikh tapi klaim yang mereka mendapat izin beliau? Begitu?”

“Begitulah gamaknya…”

Itulah kisah Nusansia dengan sebuah universiti kebanggaannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2020 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes