Site Overlay

Kritikan Kepada Pengkritik

Saja hendak kongsi.

Begini, saya berpandangan, mengkritik adalah satu pekerjaan sedikit mudah. Jika susah sekalipun, ia bergantung kepada bukti dan perancangan gerak kerja untuk beri jutifikasi kepada kritikan tersebut.

Yang sukar ialah melaksanakan, mencipta, membangunkan (apapun, mengkritik pada saya adalah sebahagian dari perlaksanaan). Iaitu melaksanakan apa yang kita percaya. Cuma, dalam proses perlaksanaan tersebut, sudah tentu ia belum sampai ke tahap ideal seperti yang kita mahukan. Proses ‘cuba-jaya’ tetap digunakan walaupun ia sudah dirancang. Daripada proses cuba-jaya itulah, boleh dipelajari sesuatu dan perbaiki apa yang sedang dilakukan (baca:ISLAH).

Kelebihan di peringkat ini ialah anda kecil, natijah jika gagal sekalipun adalah kecil kerana anda seolah-olah sedang bereksperimentasi dengan idea anda. Projek atau program tersebut juga mungkin melibatkan skala kecil. pendek kata tidak sampai 28 juta orang. Anda bergerak berlandaskan keghairahan untuk melakukan ISLAH. Niat ISLAH ini sudah tentu sama dengan pihak-pihak berskala besar seperti Pusat Pungutan Zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lain-lain badan.

Apabila anda kecil dan mungkin gagal, tiada siapapun mahu melihatnya. Ketika itu, tiada siapapun akan mengkritik anda ‘kaw-kaw’ atas kegagalan anda. Tetapi, dalam skala besar, dan cabaran pelbagai jenis pegawai yang pelbagai niat, sudah tentu ia adalah cabaran besar buat sesuatu badan atau institusi untuk berjaya. Sekali lagi, dalam aspek ini, kita sebenarnya memerlukan pemimpin yang hebat. Dan peranan anda yang pernah buat dalam skala kecil adalah harapan masa depan negara. Ketika anda di tempat tersebut ‘nanti’, saya fikir, tidak mustahil anda akan dibenci, dikritik ‘kaw-kaw’ dan bahkan akan dikatakan sebagai ‘sudah berbeza’ berbanding dahulu. Saya tidak mahu sentuh bab niat. Tetapi pada masa yang sama, disebabkan ia berskala besarlah ia wajar dikritik kerana ia melibatkan kos yang besar dan ini memerlukan kebijaksanaan untuk menggunakan dana pengISLAHan tersebut. Saya amat memahami niat baik para pengkritik.

Apa faktornya?

Saya lihat, kecenderungan orang yang mengkritik ialah mereka tidak berada dalam kasut orang yang dikritik. mereka ‘orang luar’ yang belum melihat ‘sepak terajang’ dalam bidang apa yang mereka kritik. Ya, mungkin berada dalam kasut orang yang dikritik, tapi ia melalui pembacaan, penceritaan orang lain dan sumber-sumber internet. Ini semua, pada saya, telah membantu membentuk persepsi yang belum tentu benarnya. Jika mereka ini berpengalaman, ia mungkin terhad kepada pengalaman mereka kerana kesilapan yang sama mungkin tidak berlaku kepada orang lain.

Jika mereka mendengar banyak perkara yang ‘tidak sepatutnya berlaku’, mungkin sebanyak itu kes yang ada sedangkan majoritinya adalah kebaikan. Andai ini yang berlaku, sepatutnya ia perlu diselesaikan case-by-case, dan bukan menghukum keseluruhan sistem atau mekanisme sebagai SALAH atau UTOPIA atau SESAT atau TIDAK RELEVEN LAGI. Di sini, saya tidak mahu perincikan cara menyelesaikan masalah, kerana saya beranggapan masing-masing tahu cara menyelesaikan masalah. Jika tidak tahu, boleh belajar.

Oleh yang demikian, berwaspadalah dalam keberanian mengkritik. Ini sebenarnya mesej yang ingin disampaikan. Andai kritikan anda benar, maka ia wajar didebatkan tetapi tidak perlu sampai ‘mengkondem’ atau menafikan sumbangan yang telah dilakukan oleh mana-mana pihak yang dikritik. Di luar sana ramai yang tidak tahu apa yang saya dan anda kritikan, jadi ada beberapa tindakan yang mereka akan ambil iaitu: ‘ignore’, jadikan pendirian, ‘reserve’ pandangan, sokong tapi perlu fokus benda lain.

Ringkasnya; Kritikan adalah perlu dan ini sebenarnya asas kepada penulisan ini. Tetapi pengurusan kritikan itu yang menjadi pertimbangan saya dalam penulisan ini. Melihat kepada lambakan informasi hari ini, seorang yang rasional pada awalnya, boleh menjadi kurang rasional atau hilang rasionalnya ketika mengkritik pihak lain. Walaupun benar dari sudut isi mengikut kes-kes yang dikemukakan, ia belum tentu benar untuk menidakkan peranan dan fungsi badan atau individu atau organisasi yang dikritik. Oleh kerana itu, berwaspada dan merendah diri adalah perlu disamping melaksanakan idea yang kita percayai. Sekiranya ia boleh dilaksanakan, maka itu sesuatu yang perlu diteruskan dalam skala yang lebih besar. Proses ISLAH bukan suatu yang mudah. Jika anda sudah ISLAH, teruskan mengISLAH diri dan bawa yang lain-lain turut bersama anda.

Ini juga adalah kritikan cara saya berfikir.

Saja hendak berkongsi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2020 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes