Site Overlay

Abad ke 21 Yang Mencabar

Menjadi warga abad ke 21 bukan mudah. Abad yang dipenuhi dengan informasi tanpa had, kapasiti komputer juga tanpa had, cara berfikir juga tanpa had, bahkan sesuatu ilmu yang mempunyai disiplin tersendiri untuk dihormati juga menjadi ‘tanpa had’. Semua ini adalah natijah kepada suatu yang disebut ‘FREEDOM’.

Apakah maksud ‘freedom’ itu sebenarnya? Islam yang dianuti ini tiada sifat ‘freedom’kah? Atau, sebenarnya ada tetapi Islam dan umatnya disogokkan dengan maksud ‘freedom’ dari dunia lain – tamadun lain – ideologi lain(?), yang berkemungkinan¬†tidak sesuai dengan sistem nilai sebagai Muslim.

‘Freedom’ atau kebebasan ini; saya berpegang kepada makna bahawa ‘terikatnya kita kepada sesuatu peraturan supaya¬†dapat bergerak secara fitrah’. Ini adalah ‘freedom’ yang saya pegang. Ayatnya disusun untuk saya faham.

Menurut para ulama’ muktabar ASWJ, seperti Tan Sri Dr Syed M. Naquib al-Attas, kebebasan ini merujuk kepada pengembalian diri kepada fitrah insani. Kembali mengenal diri, mengenal Tuhan, mengenal letak-duduk diri dalam kosmos kehidupan, meliputi alam zahir dan batin.

Apabila kita mengenal ‘milik’ siapa diri ini, ia akan memudahkan kita untuk terus berjalan bagi menjawab persoalan kehidupan yang lain seperti, bagaimana mahu beramal dengan maksud ‘kebebasan’ yang diimani?

Menjadi warga abad ke 21 mensharatkan insan berhadapan dengan segala bentuk kekeliruan. Pegangan dan pendirian akan terus dipersoalkan oleh sesiapa sahaja. Internet menjadi lebuh raya terbesar mengalahkan segala lebuh raya di dunia. Kepantasan bit per saat menjadi ‘modal’ awal untuk mengiktiraf siapa yang paling pantas menyebarkan sesuatu info. Sama ada perkara itu benar atau salah, itu persoalan ke sepuluh atau ke seratus. Paling utama ialah orang lain dimaklumkan tentang info tersebut, ia menjadi ‘trending’ dan penyebar mendapat nama.

Ya! Mendapat nama. Lalu popularitilah matlamatnya! Di abad ini, tiada sesiapa pun yang tidak mahu popular. Jangan pelik kerana popular ini juga adalah modal perniagaan diri. Dengan populariti, barangnya laris, dengan populariti juga pendapatnya diterima. Dengan populariti maka sistem yang dipakai menjadi taruhan.

Semakin terzahir pandangan yang popular tentang sifat ‘akulah yang benar’. Sifat ini yang digandingkan bersama ‘popular’ atau ‘femes’ sudah menggantikan otoriti yang benar untuk memperkatakan tentang sesuatu.

Justeru, saya fikir ILMU dan mendapat bimbingan Guru adalah jawapan kepada cabaran abad ke 21. Jawapan untuk menjadi penimbang tara kepada kekeliruan dan kekecewaan hidup. Ia menjadi asas untuk meneruskan kehidupan yang tenang dan tenteram, walau sekelilingnya penuh dengan kekusutan dan gegak-gempita kejahilan insan.

Semangat zaman (zeitgeist) berpaksikan ‘freedom’ dan ‘hak asasi manusia’ ini tidak kosong dari makna. Jika tidak kenal semangat ini – mambang ini-, kekeliruan boleh menjadi ‘teman rapat’ dalam kehidupan insan di abad ke 21.

Ah! Moga akan dapat ku tulis sesuatu yang lebih dari perkara asas ini!

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2020 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes