Site Overlay

Perpaduan/Integrasi Antara Kaum Adalah Angan-Angan Tahi Ayam??

Sudah jemu dan jelek melihat pertelingkahan antara kaum dalam negara kita yang tercinta ini – Malaysia. Tiadakah penyelesaian yang konkrit untuk menyelesaikan cabaran ini?

Jawapannya, ADA dan BOLEH MENYELESAIKANNYA.

Cabarannya’ KEJUJURAN, KEIKHLASAN, KOMITMEN.

Jika 3 cabaran di atas dapat diselesaikan, isu pertelingkahan antara kaum dan agama dapat diredakan.

Kerajaan sudah sekian lama menyedari akan cabaran perpaduan/integrasi antara kaum ini. Melalui wadah politik, dokumen penting negara seperti Perlembagaan Persekutuan, Kontrak Sosial, Akta Hasutan, DEB, dan Penyata Razak (kemudiannya sebahagian hasil kajian dimasukkan dalam Ordinan Pelajaran 1957), terhasil dan dikuat kuasakan sebagai dokumen panduan dan pegangan setiap rakyat Malaysia. Pembaikan terus dilakukan selepas terhasilnya dokumen-dokumen disebutkan. Pindaan demi pindaan dalam perlembagaan persekutuan, pemansuhan DEB dan diganti dengan dasar-dasar ekonomi yang lain terus dilakukan untuk memastikan objektif utama tercapai tercapai. Iaitu MENCIPTA DAN MENGEKALKAN PERPADUAN ANTARA KAUM DAN AGAMA.

Sehingga kini, pelbagai badan ditubuhkan atas nama perpaduan seperti NUCC dan Negaraku. Ada juga yang tidak secara langsung atas nama perpaduan tetapi ia melalui polisi dan dasar seperti MTEM.

Isu azali ini tidak pernah selesai. Pertelingkahan antara kaum dan agama, bahkan antara mazhab juga, menjadi isu releven sepanjang zaman. Ia memang tidak boleh diselesaikankah?

Sekali lagi ia boleh diselesaikannya, tetapi ia perlu mematuhi syarat ketat iaitu jujur, ikhlas dan komitmen. Jika 3 syarat ini tidak dipatuhi, buatlah apa dasar sekalipun, pindalah segala jenis undang-undang sekalipun, tukarlah berapa banyak menteri dan kerajaan sekalipun, isu perpaduan/integrasi tidak akan selesai.

Sebagai orang awam yang celik IT tetapi tidak pasti celik atau tidaknya mata hati, 3 syarat tadi wajib diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Jika tidak tahu isi cerita sebenar, diamkan sahaja. Jangan menambah cerita.

Jika sesuatu cerita itu memang benar-benar sangat menyakitkan hati sekalipun, jangan digeneralisasikan kepada semua. Di luar sana masih ramai lagi yang baik hati dan tidak mencaci-maki kaum atau agama lain.

Saya melalui zaman sekolah rendah. Saya mempunyai ramai rakan berbangsa Cina dan India. Mereka sangat baik. Saya akui, kadang-kadang berlaku pergaduhan kecil antara kaum (saya dan rakan cina), tapi ia tidak kekal dan kami berkawan seperti biasa.

Jujurnya, saat di sekolah rendah adalah antara yang menyumbang kepada sifat keterbukaan saya dengan rakan-rakan bukan sebangsa dan seagama.

Tetapi apabila meningkat dewasa, semakin banyak perkara tidak enak didengari tentang bangsa lain di telinga saya. Dan ia adalah isu REAL. Bukan buat-buat. Semakin jelas apabila saya bekerja dalam organisasi ekonomi. Memang ketara perbezaan jurang ekonomi antara kaum.

Walaupun begitu, itu tidak sekali-kali membuatkan saya benci Cina atau India. Tiada sekelumit pun rasa benci. Saya sedar antara mereka, memang mereka selayaknya dapat apa yang mereka usahakan.

Yang menjadi kebencian saya ialah terhadap orang Melayu, Cina dan India yang tidak jujur dalam berniaga dan berpolitik. Maksud politik di sini, saya tidak hadkan ia dalam lapangan politik kepartian, tetapi juga politik dalam hidup bermasharakat, politik pejabat, politik pekerjaan, politik ekonomi, politik sesama ngo.

Ya! Satu sudut memang kita rasa ia satu kebijakan. Pada masa yang sama, ia sebenarnya mengekalkan ketakstabilan antara kaum dan penganut agama lain.

Natijahnya, sehingga kini, tindakan afirmatif belum mencapai metlamatnya. Segala dasar, perlembagaan, undang-undang, institusi yang ditubuhkan dengan gahnya ketika perasmian, hanya tinggal jasadnya. Ruhnya telah hilang akibat hilangnya sifat amanah orang yang memimpin organisasi atau yang mengimplementasikan dasar atau undang-undang tersebut. Hilang kerana pangkat, nama (populariti) dan harta…

Tindakan Afirmatif yang mempunyai niat yang baik ini pula, mula dipersoalkan keperluannya, sedangkan para politikus dari setiap lapangan yang saya sebutkan (bukan setakat politikus kepartian) itulah punca kepada kegagalan atau lambatnya proses menghasilkan rakyat yang kompeten dan saling berlumba-lumba demi kebaikan.

Saya boleh tulis berjela-jela tentang isu ini, tetapi ia akan tetap kekal menjadi isu jelek dan membuang masa andai kata 3 syarat ini tiada dalam setiap individu bewarganegara Malaysia. Saya tidak mahu bercakap tentang ummah. Saya bercakap tentang Malaysia.

Ringkasnya, usaha-usaha yang pernah dilakukan sejak dahulu untuk mengekalkan perpaduan antara kaum dan agama harus dilihat secara positif dan membina. Usaha sedemikian rupa tidak terpisah daripada realiti semasa yang menuntut kejujuran, keikhlasan dan komitmen, bukan sahaja diperingkat pemimpin tetapi setiap rakyat Malaysia.

Lalu kita bagaimana? Jujurkah kita? Oh, bukan kita.. Tapi SAYA… Jujurkah SAYA?

Satu lagi tulisan yang membosankan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2020 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes