Site Overlay

Waran Tangkap untuk Bangkit Amarah. Itu Sahaja.

Provokasi demi provokasi ditujukan kepada Muslim dan Agama Islam. Saya tiada jawapan sama ada ia disengajakan atau tidak. Tetapi saya amat yakin ia sudah tentu merupakan tindak balas oleh golongan yang dengki kepada keamanan dan menjadikan Islam sebagai subjek kebencian.

Tertanya-tanya juga, apakah tindakan kita sebagai Muslim? Mahu terus menyumpah seranah kah atau diam sahaja (buat bodoh) atau melakukan sesuatu yang lebih konstruktif?

Seandainya masharakat dunia jujur dan ikhlas dalam perhubungan sesama manusia, sudah pasti tidak akan terkeluar sebarang kenyataan atau melakukan sebarang tindakan yang boleh menyakitkan hati manusia lain.

Manusia hari ini sudah hilang rasa kasihnya pada manusia lain.

Fokus mereka adalah bagaimana untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa ke atas sumber-sumber ekonomi dan setiap inci tanah di bumi.

Oleh sebab itu, banyak kerosakan seperti peperangan dan eksploitasi sumber ekonomi dan alam berterusan berlaku.

Sebelum peperangan, harus diwujudkan pelbagai sentimen yang boleh membangkitkan amarah manusia. Apabila amarah bergelojak, lalu emosi menjadi sasaran fokusnya. ketika ini, masa dan tenaga dihabiskan ke arah ini secara berterusan.

Bukankah ini cara para musuh mahu alihkan perhatian kita sebagai Muslim untuk terus bergerak mengislah umat dan insan?

Dengan beralihnya kiblat fokus ini, maka umat tiada masa menelaah, tiada masa mengkaji dan menyelidik, tiada masalah berfikir untuk melakukan tindakan yang lebih konstruktif membangunkan ummah dan manusia seluruhnya!

TIADA MASA!

Kerana masa disibukkan untuk amarah dan aksi bersifat emosi.

Lalu, sampai bila agaknya amarah ini akan terkawal dan dihalakan tenaga dan masa untuk sesuatu yang bersifat konstruktif dan mengislah?

Saya kira, kisah waran tangkap Dr Yusuf al Qaradhawi hanyalah salah satu episod provokasi para musuh. Mereka mahu kita marah dan masa dibazirkan kepada kemarahan.

Menanglah mereka dan Muslim terus tidak ke mana-mana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2020 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes