Site Overlay

Terserempak Nyala Api dalam Dada di MPH, NU Sentral

23 Januari 2015 (Jumaat) | Malam ini, bas yang akan saya naiki ke Kelantan akan berlepas jam 10.00 malam. Saya perlu berada di Terminal Bas Bersepadu (TBS) sekitar jam 9.00 malam, memandangkan saya tidak pernah pergi ke TBS, jadi saya perlu awal berada di sana untuk masa kecemasan.

Tetapi sebelum itu, saya ambil masa yang ada, seusai keluar dari pejabat sekitar jam 5.30 petang tadi, saya menuju ke NU Sentral. Mujur, Kak Siti – rakan sekerja – yang baik hari sudi menumpangkan saya ke stesen LRT Bangsar. Saya tinggalkan motosikal dalam laman pejabat kerana merasakan lebih selamat berada di sana.

Kedai Buku MPH di NU Sentral terletak di tingkat dua. Sampai sahaja di MPH, saya terus menuju ke rak buku sastera tempatan, menuju ke rak buku terbitan PENA-ITBM. Di sana tiada buku-buku terbitan DBP.

Saya tertarik dengan sebuah buku yang merupakan antologi puisi berjudul Nyala Api Dalam Dada yang diselenggarakan oleh Baha Zain dan Mohamad Saleeh Rahamad.

1907457_841761402579030_9037887605574998181_n

Puisi-puisi yang terkandung di dalamnya amat menusuk jiwa yang hidup sebagai seorang Melayu Islam di bumi Nusantara bernama Malaysia pada hari ini. Ia bersangkut-paut dengan isu-isu bahasa dan juga budaya Melayu yang seakan-akan semakin hilang bahkan dicerca oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang modernis dan urbanis sifatnya sehinggakan menganggap sesiapa yang mahu pertahankan isu-isu Melayu dan Islam dianggap sebagai rasis.

Saya fikir, karya-karya yang mempunyai jiwa ‘rebel’ sebegini amat jarang kedengaran di ruang awam. Mungkin untuk menjaga sensitiviti sesama kaum. tetapi karya seumpama ini harus dibaca dan ditelaah oleh generasi masani dan akan datang dalam memahami situasi yang sedang berlaku pada hari ini.

Oh, saya tidak boleh lama dan saya tidak boleh beli buku ini kerana kekangan kewangan yang perlu didahulukan ke tempat lain.

Tidak mengapa. Paling tidak saya dapat membaca beberpa puisi yang terkandung dalamnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2019 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes