Alam Sekitar: (BETULKAH?) Islam Penyelesaian Semua Masalah Manusia! (Bahagian 1)

Sudah lama sebenarnya saya berfikir hal ini. Mahu menulis tentangnya, saya serba salah. Mahu mendiamkannya, juga serba salah. Tetapi hal yang saya fikirkan ini sangat menghantui.

Alam Sekitar

Alam ini ciptaanNya. Alam adalah manifestasi kepada kewujudanNya. Tanda kehebatanNya, KetelitianNya. Kehalusan ciptaanNya. Wujudnya alam dan insan adalah simbiosis sifatnya. Ia saling memerlukan. Perbezaan antara dua ini adalah AKAL. Akal dikurniakan kepada insan untuk mengurus alam.

Kerana itu, insan diiktiraf sebagai:

“sebaik-baik kejadian.”

“sebagai khalifah di muka bumi.”

Pengiktirafan itu turut menggalas amanah besar.

Ini asas perkaitan antara Insan dan Alam ciptaanNya.

KEROSAKAN AKIBAT TANGAN MANUSIA

Dalam Al-Quran, ada dinyatakan hal ini. insan yang rakus untuk maksimumkan keuntungan peribadi adalah ASAS kepada kecenderungan kepada berlakunya kerosakan alam atas nama ‘pembangunan’ dan ‘kemajuan’.

Selain itu, kejahilan memahami fungsi alam dan kegersangan penyediaan alternatif kepada ‘pembangunan’ yang menyumbang kepada kemusnahan alam juga menjadi punca kepada kemusnahan alam.

WARAKKAH KITA??

Ambil sahaja isu-isu yang sedang berlangsung ketika ini: jerebu, pencemaran sungai, kepupusan sumber protein (baca: hasil laut) yang bersih dan segar, pencemaran tanah, dan lain-lain pencemaran; adalah manifestasi kepada ‘pencemaran’ jiwa insan.

Walaupun lengkap ibadat solat 5 waktunya, ditambah solat sunat berpuluh rakaat, tapi andai belum dapat memahami kesan negatif penggunaan plastik kepada alam, ia belum mencukupi. Kerana kejahilan itu, insan warak ini sebenarnya telah zalim kepada alam apabila mengguna pakai bahan-bahan plastik dan membuang sisa plastik tersebut sehingga berlaku lambakan sisa pepejal; yang tidak boleh dimusnahkan.

Insan yang sama juga, belum dianggap warak sekiranya tidak memahami masalah pencemaran alam sekitar akibat kesan rumah hijau. Gas-gas kesan rumah hijau mengakibatkan berlaku peningkatan suhu yang tidak normal yang dipanggil ‘pemansan global’ dan ‘perubahan iklim’. Apakah puncanya? Pembakaran terbuka, kesan penggunaan kenderaan ┬ábahan api fosil dan lain-lain.

Gas-gas kesan rumah hijau bukan sahaja diakibatkan oleh perbuatan manusia, tetapi juga disebabkan oleh aktiviti alam seperti letusan gunung berapi. Walau bagaimanapun, dalam konteks penulisan ini, saya fokuskan kepada tindakan yang boleh dikawal; iaitu aktiviti yang diakibatkan oleh insan.

PENDIDIKAN

Pokok pangkalnya adalah pendidikan. Bagaimana para pendidik memahami hubungan antara alam dan insan dan Bahagia dan Agama dan Dunia-Akhirat dan Wahyu dan lain-lain? Dan bagaimana kefahaman ini mampu dipersembahkan kepada anak didikan supaya memahami hal ini?

Sekiranya di zaman mencabar ini, para pendidik anak-anak kita, khususnya pendidikan Islam, gagal memahami isu global ini, kita sebenarnya belum sempurna Iman!

Iman yang sempurna pasti dapat mengenal letak duduk alam dan bagaimana mahu menyantuni mereka.

Ia melebihi slogan bahawa Islam ada Penyelesaian semua masalah! Jika tidak, ia hanya berupa retorik oleh para penganutnya yang jahil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *