Site Overlay

Pesanan Untuk Para Pejuang; Perenggan 24 – Risalah Untuk Kaum Muslimin

7097156

Jumaat lepas – 27 November 2015 – bertempat di pejabat Klasika Media, kami berkumpul dan mengadakan sesi membaca Risalah Untuk Kaum Muslimin, perenggan 24 hingga perenggan 29.

Sedikit penggenalan mengenai Risalah Untuk Kaum Muslimin. Kitab berbahasa Melayu ini adalah ‘kata lisan yang telah dicatat dalam bentuk tulisan ringkas dan kemudian ditaip’ oleh setiausaha Tan Sri prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas ketika beliau bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga sebagai Pengasas serta Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di UKM.

Risalah yang mempunyai 74 perenggan ini mula di tulis pada awal 1973 dan berakhir pada bulan Mac tahun yang sama. Walau bagaimanapun, risalah itu tersimpan lama sebelum ia mula diterbitkan oleh ISTAC, UIAM pada 2001. Manakala terbitan kali kedua pada 2014.

26807569

Risalah ini penting kerana ia membahaskan hal-hal penting berkait dengan cabaran kehidupan Muslim hari ini. Dengan menghuraikan istilah dan kata kunci-kata kunci penting dalam Islam, Prof. al-Attas juga turut membahaskan apakah akar permasalahan umat Islam Рmasalah dalaman dan luaran.

Risalah Untuk Kaum Muslimin ini adalah antara tulisan awal Prof. al-Attas mengembangkan idea Islamisasi Ilmu Pengetahuan Semasa yang kemudiannya diperkemaskan melalui karyanya Islam and Secularism (1978). Dua karya ini adalah karya WAJIB BACA kalian yang mahu mengenal makna diri dan mengetahui apa sebenarnya masalah dalaman dan luaran serta solusi mendasar yang dibentangkan dengan panjang lebar dan rinci bagi menyelesaikan masalah-masalah tersebut.

Secara umumnya, karya-karya Prof. al-Attas dikatakan agak sukar difahami, lalu biasanya terpalit dengan persepsi bahawa ia adalah sekumpulan karya yang tinggi melangit dan tidak membumi! Sedangkan ia bukan soal tinggi melangit, tapi ia soal TEKNIK MEMBACANYA YANG TIDAK DIKETAHUI KERANA SUDAH TERBIASA DENGAN TEKNIK TULISAN KARYA PICISAN YANG TIDAK JELAS NAHUnya. Ia juga adalah soal persediaan kita dan kesungguhan kita untuk memahami sesuatu Ilmu. Oleh itu, untuk membacanya, perlu sabar dan niatlah untuk mendapat ILMU. Moga dipermudahkan.

Berbalik kepada pengalaman membacany buat ke sekian kali, pada Jumaat lepas, saya menjadi sebak dan insaf apabila membaca perenggan 28 seperti berikut:

“Sharat kedua bagi kebudayaan untuk mencapai kesempurnaan ialah daya upayanya untuk berjuang menghasilkan suatu tujuan hidup; dan tujuan hidup ini senantiasa merupakan cita-cita — bukan cita-cita palsu liar dari pencarian, yang mustahil dapat dihasilkan; dan bukan pula hanya cita-cita orang perseorangan, akan tetapi cita-cita yang merupakan suatu hakikat yang sudah jadi, yang disanjung oleh diri perseorangan dan diri-diri yang bergabung sebagai masharakat seluruhnya. Cita-cita ini di sisi Islam haruslah menuju ke arah pencapaian keseimbangan dalam menghasilkan sikap dan daya serta gaya hidup yang merujuk kepada dunia dan akhirat keduanya. Harus dapat kita merumuskan serta mentafsirkan dalam kehidupan diri serta masharakat kita nilai-nilai ruhaniah yang membimbing ke arah keakraban dengan Tuhan; ke arah penghasilan ilmu pengenalan dan pengetahuan; ke arah kemuliaan, keagungan dan penguasaan duniawi; ke arah kesempurnaan ekonomi dan kesihatan. Dalam menuntut penguasaan duniawi kita harus juga insaf akan hakikatnya dan hakikat kehidupan nescaya tidak akan terjerumus ke dalam pelbagai jeratannya yang dipasang di sana sini untuk memerangkap mereka yang lalai. Kepada si penjunjung nilai-nilai kebudayaan, maka cita-citanya itu senantiasa mengundang erti dan maksud untuk menyempurnakan kehidupan, baikpun kehidupan ketika itu juga mahupun kehidupan kemudian kelak, iaitu kehidupan dunia dan akhirat, sebab kehidupan itu kekal abadi dan bukan hanya merujuk kepada dunia belaka. Akan tetapi justeru bagaimanapun sesuatu kebudayaan itu berupaya untuk menghasilkan pencapaian tujuan hidupnya, maka sharat bagi menganutnya ialah penjaminan keamanan. Kebudayaan tiada akan merupakan suatu daya upaya jikalau tiada dia pertama sekali memperoleh kebolehan bagi membina ketertiban dan adab dalam masharakat. Dengan adanya tatatertib dan adab dalam masharakat, maka baharulah akan timbul kewibawaan, iaitu kuasa pengatur, dan seterusnya akan terhasil penjaminan keamanan yang akan dikawal oleh perundangan dan hukum dan nilai-nilai adabi. Dalam keadaan keadilan seperti yang dimaksudkan itulah baharu mungkin sesuatu kebudayaan itu memperoleh kemajuan demi menuntut cita-citanya.

Perenggan ini adalah antara perenggan yang mampu menjadi landasan asas untuk difahami tujuan kehidupan seharian. Ke arah mana kita mahu meneruskan hidup dan juga apakah nilai perjuangan yang sedang kita anuti? Untuk apa? Untuk siapa?

Jika tujuan jelas, jalan terus!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2019 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes