Masyarakat Cakna Tentang Krisis Alam Sekitar, Tapi…

Isu Bauksit di Kuantan, tanah runtuh di lebuh raya karak, banjir lumpur dan tanah runtuh di tanah tinggi Cameron Highland dan banyak lagi krisis alam sekitar yang saban minggu terus dihidangkan melalui media masa, adalah petanda bahawa Bumi sedang memberi amaran keras manusia. Ketika sesuatu krisis itu berlaku, maka berpusu-pusu orang mengambil tahu akan hal tersebut.

Media-media sosial seperti Facebook, di penuhi dengan perkongsian-perkongsian perihal amukkan Bumi terhadap perlakuan manusia ke atasnya, tetapi ia berlaku secara bermusim. Mungkin kerana sifat media sosial itu sendiri yang bersifat sini dan terkini, mengakibatkan perkara asas kepada sesuatu isu itu gagal difahami ataupun dihadam dengan baik untuk menjadi panduan para pengguna media sosial.

Sifat manusia yang lebih banyak memberi fokus kepada isu semasa semata-mata tanpa mahu memahami akar permasalahan, adalah suatu sifat yang merugikan. Ia langsung tidak memberikan nilai tambah selain hanya menunjukkan bahawa kononnya masyarakat kita sudah berjaya mengikis sikap ‘tak pedulisme’. Sedangkan hakikatnya, ia adalah gambaran kepada jiwa manusia di tahap sekadar mahu mencari populariti, nama dan pangkat, dan berkonsepkan untung-rugi diri semata-mata.

Oleh sebab itu, tidak pelik sekiranya memang ada ilmuan Barat mahu pun Muslim, menyatakan bahawa teknologi (contohnya: kemudahan media social seperti Facebook), hanya menjadikan manusia itu semakin bebal dan alpa dengan hakikat kejadian diri. Manusia kian lupa tujuan hidup dan peranannya dalam masyarakat dan dunia jagat. Bahkan teknologi itu sendiri umpama tempat berseronok semata-mata.

Sungguh, ini merupakan malapetaka yang terzahir di zaman kian canggih hari ini.

Kembali kepada isu Bauksit dan krisis alam sekitar yang lain. Bumi ini ada satu sifat; yakni jujur. Penciptaan Bumi adalah menifestasi kepada Keadilan dan Kebijaksanaan Penciptanya. Bumi adalah makhluk yang jujur.

Tindak balas yang diberikan Bumi terhadap setiap apa yang berlaku padanya berlaku secara aktif. Kita ambil contoh mudah, pokok di hutan berperanan besar untuk menyeimbangkan suhu bumi, menjadi kawasan tadahan air untuk kegunaan manusia dan flora serta fauna yang hidup di hiliran, mengelakkan daripada berlakunya hakisan tanah, dan pelbagai lagi manfaat yang dapat dinikmati oleh semua kehidupan baik di darat mahupun di air.

Walau bagaimanapun, semua manfaat itu akan berubah menjadi malapetaka apabila aktiviti pembalakan dilakukan secara tidak terkawal. Pembalakan mengakibatkan air hujan yang turun akan menghakis tanah, seterusnya boleh menyebabkan saliran air tersumbat akibat daripada bendasing yang terikut sama aliran air yang deras. Apabila ia terkumpul dan membentuk empangan, sampai satu ketika pada kadar tertentu, empangan semulajadi itu akan pecah dan segala bendasing yang menyebabkan ia tersumbat sebelum itu akan mengalir deras umpama tsunami dan membantai perkampungan berdekatan, dan jalan raya berhampiran. Pada ketika itu, malapetaka itu menimpa semua tanpa mengira sama ada yang terlibat dengan penerokaan tersebut ataupun tidak. Ia tidak akan berlaku secara tiba-tiba tanpa sebab yang mengakibatkannya.

Begitulah tindak balas Bumi tehadap suatu paksaan yang dikenakan kepadanya. Ada konsep ‘give and take’.

Oleh kerana itu, manusia perlu tahu apa sebabnya berlaku krisis alam sekitar. Apakah faktor utama dan factor-faktor lain yang menatijahkan berlakunya pencemaran akibat perlombongan Bauksit di Kuantan, tanah runtuh dan banjir lumpur, jerebu, cuaca panas dan tidak menentu yang keterlaluan dan pelbagai lagi krisis alam yang terus berlaku sehingga kini.

Ia memang merupakan takdir, tapi jika manusia mengenal alam dan fungsi diri serta tanggungjawabnya ke atas alam, risiko-risiko dan krisis yang disebutkan di atas, pasti tidak berlaku.

Dalam artikel-artikel seterusnya, saya akan kongsikan lebih mendalam perihal alam sekitar, Insan dan kepenggunaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *