Tulisan Pasca 26 dan 27 Januari 2016: Akhirnya TPPA ‘ARROVED’ di Parlimen Malaysia!

26 dan 27 Januari 2016 adalah tarikh yang tidak akan dilupakan oleh rakyat Malaysia. Satu perjanjian gergasi yang disertai Malaysia beserta 11 buah negara yang lain, telah dipersetujui secara majority ahli parlimen untuk Malaysia menanda tanganinya.

Secara tepatnya; 127 Ahli Parlimen bersetuju manakala 84 Ahli Parlimen tidak bersetuju.

Kita boleh berbicara panjang perihal pro dan kontranya TPPA ini. Tetapi yang jelasnya, kerajaan Malaysia tidak cermat dalam proses mendapatkan info dari akar umbi berkenaan kewajaran dan kesediaan Malaysia sama ada untuk menyertai TPPA atau tidak.

Dua buah kajian yang dilakukan secara berasingan iaitu Analisis Kos dan Manfaat (khusus kepada SME dan Bumiputera) dilakukan oleh agensi TERAJU melalui konsultan bebas yang dilantik iaitu Pricewaterhouse Cooper (PwC) dan juga Analisis Kepentingan Negara oleh ISIS. Kedua-dua kajian ini menjadi asas untuk membuat keputusan sama ada Malaysia wajar sertai TPPA atau tidak. Isunya ialah, adakah kedua-dua kajian ini meliputi segala aspek untuk membuat keputusan kewajaran menyertai TPPA?

Tempoh 4 tahun siri perundingan TPPA mengundang pelbagai kontroversi. Antaranya ialah isu kerahsiaan. Sehingga selepas siri perundingan ke 17, barulah kerajaan Malaysia yang diwakili MITI, membuat Hari Terbuka TPPA untuk mendapatkan maklum balas rakyat mengenainya. Hadirin menjadi saksi pada hari tersebut, bahawa semua soalan yang dikemukakan adalah soalan dan luahan hati yang kecewa kerana sehingga tarikh tersebut (1 Ogos 2013), kerajaan masih tidak melaksanakan sesi konsultasi yang komprehensif dengan pihak-pihak pemegang taruh.

Dalam tempoh itu juga, tiada kajian yang mendasar menunjukkan bahawa Malaysia sudah bersedia untuk menanda tangani TPPA. Hal ini adalah satu kesilapan yang besar kerana keputusan yang bakal dibuat sudah pasti mengenai secara langsung kepada rakyat keseluruhannya.

Siri perundingan yang besar dan terakhir bertempat di Brunei, iaitu siri rundingan ke 19. Selepas daripada itu, tiada siri rundingan yang besar seumpamanya. Proses perundingan berjalan seperti biasa sama ada melalui tele siding ataupun mesyuarat-mesyuarat perundingan yang diadakan di tempat-tempat yang berbeza dalam satu masa bagi menyelesaikan pelbagai bab-bab penting.

5 Oktober 2015 juga merupakan tarikh penting sebagai petunjuk bahawa draf akhir perjanjian TPP sudah dimuktamadkan. Selepas itu, draf tidak boleh dipinda dan terpulang kepada kerajaan masing-masing untuk meneruskan penglibatan sebagai anggota TPP atau tidak.

Akhirnya, pada sidang parlimen khas TPPA bertarikh 26 dan 27 Januari 2016, telah memutuskan bahawa Malaysia akan menyertai TPPA.

Geledah Rak Buku

Banyak pengalaman yang boleh dinukilkan sepanjang tempoh 4 tahun mengenal TPPA dan perit jerih untuk memastikan kerajaan mengambil maklum akan kegusaran berasas yang dikemukakan oleh rakyat di pelbagai peringkat masyarakat. Tetapi, tidak perlulah saya menceritakan dalam penulisan kali ini.

Malam ini, saya melihat kembali rak buku di rumah dan mendapati saya banyak mengumpul dan membaca karya-karya dari Barat yang menyusun pengalaman mereka bahkan idea pemikiran bagi menghadapi cabaran ekonomi global melalui semangat globalisasi. Antaranya berjudul The Case against the Global Economy: And for A Turn Toward the Local”, sekumpulan makalah yang disusun oleh Jerry Mander dan Edward Goldsmith. Kumpulan makalah yang berupa analisis terhadap ekonomi global setebal 550 muka surat ini, ditulis oleh 43 orang intelektual awam yang berkecimpung dalam pelbagai bidang seperti kebudayaan, ekonomi, pertanian, alam sekitar dan lain-lain; yang mempersembahkan analisis bahawa perdagangan bebas dan globalisasi ekonomi menatijahkan suatu yang tidak seperti yang mereka janjikan.

Pengalaman yang berbeza dan saling melengkapi ini harus diperhatikan bagi generasi baharu terutamanya oleh generasi baharu negara-negara membangun dan dunia ketiga.

41kRAGzC4jL._SY344_BO1,204,203,200_

Karya-karya itu sedikit sebanyak, mempengaruhi saya untuk melihat siri-siri perjanjian perdagangan bebas melalui kaca mata yang bersifat kritikal.

Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun. Cita-cita murni para pemimpin adalah untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Untuk mencapai tahap tersebut, Malaysia perlu berdepan dengan pelbagai cabaran yang bukan kepalang.

Ketika nukilan ini dibuat, ada empat tahun lagi untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi – 2020. Pada masa yang sama, isu kemiskinan bandar, harga rumah yang melambung tinggi, ketegangan antara kelas masyarakat, menjadi hal yang menakutkan terutama bagi generasi muda. Kes rasuah yang belum menjadi kes rasmi, ada di merata-rata tempat dan sektor. Boleh sahaja ia dipertikaikan kerana tiada nombor dan faktanya, tetapi cuba bertanyakan hal ini kepada ahli-ahli perniagaan, pasti hal ini menjadi antara keluhan mereka.

Kita belum berbicara soal pembentukan masyarakat yang patriotik dan bijak kepenggunaannya. Juga aspek kebahagiaan dan ketenangan, terutama bagi penduduk bandar (urban).

Semua ini jika ditelusuri satu persatu, ia adalah cerminan pengalaman yang sudah dan masih sedang dilalui oleh negara Barat, terutama Amerika Syarikat sediri. Begitu juga negara-negara membangun dan dunia ketiga yang lain yang menjadi mangsa kerakusan syarikat-syarikat korporat.

Merancakkan Wacana Baharu di Malaysia

Ya. TPPA sudah dipersetujui oleh kerajaan untuk ditanda tangani. Dan ia juga adalah petanda bahawa wacana globalisasi dan liberalisasi akan semakin rancak dibahaskan oleh masyarakat bahkan para cendekiawan tanah air.

Bagi usahawan, dalam apa keadaan sekalipun, mereka wajib untuk terus bersedia menghadapi hari esok. Usahawan yang hebat adalah usahawan yang mampu mengadaptasi dalam pelbagai keadaan.

Bagi badan-badan penyelidik dan gerakan masyarakat; TPPA adalah ‘subject matter’ untuk dikaji dengan lebih lanjut sama ada ia berupa satu kejayaan atau kesengsaraan buat Malaysia pada masa depan.

Bagi rakyat biasa; tiada cara lain melainkan untuk terus bersedia menghadapi hari esok. Sekiranya ada keinginan untuk memangkah parti lain dalam PRU 14 kelak, terpulanglah tetapi ia bukanlah satu jaminan bahawa Malaysia akan bebas daripada makhluk-makhluk seperti TPPA. Ini hanya satu permulaan.

Untuk saya; tidak guna berputus asa. Boleh sahaja ‘frust menonggeng’ sepanjang masa, tapi hakikatnya, banyak lagi isu-isu fundamental yang memerlukan perhatian untuk membantu menyelesaikannya, baik untuk kebaikan keluarga, masyarakat, negara mahupun manusia sejagat.

Kebebalan insan itu melangkaui politik kepartian. Biar apa parti sekalipun, jika dihuni oleh insan yang bebal dan jahil, ia hanya akan merugikan rakyat Malaysia. Sebab itu, kebebalan yang perlu diselesaikan ialah kebebalan dan kejahilan diri sendiri.

Pendidikan adalah wadah paling ampuh untuk mendidik masyarakat supaya bersedia dengan segala macam cara licik dunia luar dan syarikat-syarikat korporat yang mehu membuka pasaran baharu di tempat kita.

Belajar dari dari tradisi kita dan juga pengalaman masyarakat Barat dalam menghadapinya.

Akhir kata, sebenarnya ia bukan wacana baharupun, tapi bagi masharakat terbanyak Malaysia, ia mungkin agak baharu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *