Adakah Malaysia Tiada Data Pelepasan Karbon Dalam atau Luar Bandar?

 

Tulisan saya kali ini merujuk kepada kenyataan Menteri Wilayah pada 23 Januari 2017 dalam kolum Berita Harian, yang mengatakan bahawa “Cadangan melarang kapcai masuk ke KL hanya bagi mendapatkan reaksi orang ramai berkenaan perkara itu dan bukannya untuk dilaksanakan terus.”.

Kenyataan ini dikeluarkan sejurus selepas hampir seminggu kenyataan penuh kontroversi beliau mengenai kemungkinan larangan penggunaan motor ‘kap cai’ dalam bandar. Menurut Menteri Wilayah, larangan tersebut wajar kerana motor kap cai dipercayai sebagai faktor utama pelepasan gas CO2 dalam bandar.

Kenyataan seumpama itu tidak harus dikeluarkan oleh seorang menteri kerana merupakan satu kenyataan ‘separuh masak’ tanpa disokong dan dibuktikan oleh data empirik sewaktu kenyataan dibuat.

Setelah beliau mengeluarkan kenyataan tersebut, Menteri KeTTHA (Kementerian tenaga, Teknologi Hijau dan Air) dan Menteri Pengangkutan pula mengeluarkan kenyataan akan keperluan mengemukakan hasil penyelidikan bagi menyokong kenyataan tersebut.

Untuk bergerak ke hadapan, sikap para pemimpin apabila mengeluarkan kenyataan harus berubah. Dalam konteks ini, Menteri Wilayah harus bekerjasama dengan KeTTHA dan masyarakat civil (NGO)  bagi mendapatkan maklumat penyelidikan yang dilakukan berhubung dengan pencemaran dalam bandar. Sama ada pihak KeTTHA menjalankan kajian tersebut ataupun tidak. Sekiranya tidak, maka tugas pertama adalah menjalankan kajian bagi mengetahui factor-faktor utama pelepasan gas rumah hijau seperti Karbon Dioksida dan Nitrogen Dioksida.

Dalam dokumen RMK 11 (sila rujuk Bab 6, Muka surat 20), dinyatakan fakta pelepasan gas CO2 oleh beberapa kategori kenderaan. Walau bagaimanapun, fakta itu diambil dari sumber luar iaitu European Energy Agency. Persoalannya, adakah Malaysia tiada kajian sedemikian rupa? Jika ada mengapa ia tidak digunakan dalam dokumen sepenting RMK11?

Sekiranya Malaysia mempunyai data-data seumpama itu, ia lebih dekat dengan Malaysia dan data penting itu akan menyumbang kepada pembuatan serta pelaksanaan polisi yang lebih membumi dan bermanfata besar kepada rakyat.

Untuk meneruskan agenda sebagai negara maju, Malaysia mesti mempekasakan bank data supaya setiap pembuatan dasar benar-benar memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *