Usahawan Tulen

Fauzi: Pertemuan Di Ali Maju Setiawangsa

Petang semalam berpeluang berjumpa dengan Fauzi. Sudah lama tidak bertemu. Pertemuan hampir sejam itu, kami isi dengan mengemaskini aktiviti yang sedang kami lakukan.

Tujuan asalnya, Fauzi ingin berkongsi info tentang sebidang tanah yang terdapat di Batu Karang, Selangor. Tanah seluas 3 ekar itu, menurut beliau, ingin dibangunkan untuk projek penternakan lembu – sebuah perancangan sejak kami (Saya, Fauzi dan Fazlin) sedari tingkatan 3 lagi.

Kisah ini tercetus bila masing-masing merancang untuk melanjutkan pelajaran tingkatan 4 di sekolah teknik. Jujurnya, saya mengikuti kursus Pengajian Keusahawanan di Teknik Persiaran Brash atas pengaruh perancangan projek kami ini. Bahkan, kerja kursus saya -kami perlu buat Rancangan Perniagaan- di tingkatan 5 bagi subjek Pengajian Keusahawanan juga bertajuk Rancangan Perniagaan: Ternakan Lembu Aliff (TLA). Itu antara tanda-tanda obses saya terhadap cita-cita kami.

Apabila masing-masing melanjutkan pelajaran -Fazlin menganggotai TLDM, Fauzi pula melanjutkan pelajaran ke Perancis, manakala saya di Matrikulasi dan seterusnya ke Sabah-, cita-cita tersebut seakan-akan terkubur.

Rupanya, masing-masing masih menyimpan cita-cita yang sama, cuma masa dan keadaan membuatkan kami perlu menunaikan tugas-tugas hakiki semasa.

Sambil Fauzi bercerita pengalamannya yang sedang mengusahakan projek tahun akhirnya -sistem tenaga solar-, kami memesan teh ais dan teh O ais limau. Sambil bercerita, mulut mencicip gelas.

Kami bertukar pandangan dan fikiran tentang kepentingan menceburi bidang keusahawanan. Menariknya, Fauzi dan Fazlin sudah mendaftar syarikat masing-masing, manakala saya masih belum ada syarikat! Kagum bercampur malu. Saya masih belum berupaya memiliki syarikat sendiri, walaupun mempunyai minat yang begitu mendalam untuk menceburi bidang keusahawanan.

Walau bagaimanapun, tahun ini -2013M bersamaan 1434H-, saya mempunyai azam untuk menubuhkan sebuah syarikat sendiri. Syarikat apa? Sedang dalam perincian.

Sungguh, pertemuan dengan Fauzi semalam (15 Januari 2013), telah memberi inspirasi kepada saya untuk terus maju dan berusaha mencapai cita-cita.

Kami percaya, perniagaan dan keusahawanan adalah antara jalan-jalan yang terbentang luas dan peluang yang tersedia -bagi sesiapa yang berusaha- untuk menyumbang kembali kepada ummah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *