MIER: Cabaran untuk Memperbaiki Kecekapan Sektor Awam

Artikel di bawah ini, saya fikir penting untuk dibaca. Tajuknya nampak memberi fokus kepada Sektor Awam. Tapi suatu yang menarik dan penting apabila isi kandungannya menyentuh cabaran dunia pekerjaan yang membawa tema: Manusia Vs. Teknologi/Robot.

Dalam surat khabar The Star hari ini (23 Februari 2017), Malaysia Employers Faderation (MEF) menjangkakan lebih ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan bagi tahun 2017, khususnya sektor yang berkait rapat dengan penggunaan teknologi sebagai faktor pengeluarannya. Salah stau sektor yang dijadikan contoh adalah perbankan.

“In 2015, said Shamsuddin (ED for MEF), about 18,000 of those who lost their jobs were from the banking sector due to the introduction of what he termed as “destructive technology”, where banks were increasingly adopting online transactions, for example. Other industries that could be affected, said Shamsuddin, include insurance, manufacturing and construction.”

 

Artikel asal boleh dibaca di sini.

Oleh Dr. Zulkiply Omar (Felo Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia)

 

Kecekapan merupakan elemen penting di dalam ekonomi pasaran bebas di mana firma adalah bebas untuk keluar atau masuk ke dalam pasaran. Setiap firma yang mengeluarkan produk yang serupa masing-masing berlumba untuk mengurangkan kos purata pengeluaran untuk bersaing di dalam industri berkenaan. Elemen terpenting untuk meningkatkan daya saing melalui pengurangan kos purata pengeluaran adalah kecekapan proses pengeluaran, serta lain-lain proses yang berkaitan sehingga produk bertukar tangan kepada pengguna.

Kecekapan bermakna firma berupaya mendapat output yang maksimum dengan menggunakan input yang sama atau input yang minimum untuk mendapatkan output yang sama. Input terpenting untuk proses pengeluaran adalah modal dan buruh. Di dalam konteks yang lebih luas buruh juga dianggap sebagai modal insan. Pada umumnya kecekapan boleh dicapai melalui peningkatan teknologi di mana peningkatan input yang sedikit menghasilkan output yang berlipat ganda. Teknologi pengeluaran dan lain-lain proses telah meningkat selari dengan pembangunan ekonomi negara.

Keperluan tenaga kerja sepanjang masa telah berubah meliputi kepakaran yang berbeza. Kepakaran tersebut sudah tentu selari dengan keperluan teknologi yang semakin baik. Dalam pada itu, negara telah membuat pelaburan yang tinggi di dalam pembangunan modal insan untuk memastikan keperluan tenaga kerja dapat dipenuhi. Di dalam ekonomi pasaran bebas, firma sentiasa berubah untuk meningkatkan kecekapan. Jika tidak firma-firma tersebut tidak akan mampu bersaing, lebih-lebih lagi di pentas global.

Walaupun kita sering lihat terdapat firma-firma yang terpaksa membuang pekerja semasa kemelesetan ekonomi, namun sebenarnya secara tidak  langsung itu adalah proses peningkatan kecekapan. Sebahagian dari pekerja yang dibuang mungkin berlebihan kerana peningkatan teknologi serta kepakaran modal insan tanpa mengira keadaan ekonomi.

Sering juga berlaku pertukaran pemilikan syarikat untuk meningkatkan kecekapan. Selari dengan itu biasanya akan berlaku pemberhentian pekerja atau biasanya disebut sebagai proses pembetulan saiz kerana terdapat lebihan pekerja yang tidak sepatutnya. Jadi proses ini akan berterusan berlaku selagi terdapat pembangunan ekonomi. Dengan kata lain, pengekalan status quo cuma boleh berlaku sekiranya tiada pembangunan ekonomi.

Dari sudut industri, terdapat perubahan yang ketara semenjak merdeka hingga kini. Bukan sahaja jumlah keperluan pekerjaan tertentu menjadi kurang, malah sesetengah pekerjaan langsung hilang selari dengan pembangunan ekonomi.

Di era selepas kemerdekaan sebilangan besar penduduk adalah petani atau nelayan. Tetapi pekerjaan tersebut kini cuma diceburi oleh segelintir penduduk. Jika dilihat di dalam konteks sebuah negara maju, permulaan Amerika Syarikat (AS) adalah sinonim dengan sektor pertanian. Pembukaan tanah baharu untuk pertanian berlaku dengan mendadak dengan peningkatan teknologi mekanisasi pertanian. Sebahagian besar penduduknya terlibat secara langsung dengan pertanian.

Kini, cuma lebih kurang dua peratus sahaja petani di AS, tetapi sektor pertaniannya semakin besar dari segi saiznya. Bermakna, pertanian menjadi semakin efisien di AS. Pengajaran ini amat penting untuk dihayati di dalam konteks yang lebih besar, bukan sahaja berhubung dengan proses pengeluaran produk tertentu oleh firma-firma di dalam ekonomi. Ianya relevan dari semua aspek pengurusan organisasi, dari yang sekecil-kecilnya hinggalah kepada pembangunan sebuah industri serta pengurusan sebuah ekonomi atau negara. Prinsip kecekapan adalah menyeluruh.

Sektor awam tidak terkecuali dari keperluan untuk meningkatkan kecekapan dari masa ke semasa. Ini amat penting untuk kemajuan sebuah ekonomi. Keberkesanan sektor awam bergantung kepada kecekapannya berfungsi sebagai pemudah cara atau pemangkin kepada aktiviti ekonomi. Peningkatan kecekapan boleh dicapai melalui penambahbaikan teknologi serta peningkatan keupayaan modal insan. Kedua-duanya mesti berlaku dengan selari untuk memaksimumkan manfaatnya dari sudut pencapaian objektif asal.

Malaysia telah bergerak jauh di dalam konteks memperkasa sektor awam. Proses pentadbiran yang sofistikated telah meningkatkan kemampuan sektor awam dari segi pencapaian fungsi objektif. Kini terdapat ramai penjawat awam yang mempunyai kelulusan di peringkat pendidikan tinggi setimpal dengan keperluan terkini.

Walau bagaimanapun, cabaran untuk meningkatkan kecekapan sektor awam sentiasa wujud kerana keperluan semasa sentiasa berubah kesan dari pembangunan sosioekonomi yang pesat. Pada masa yang sama kecanggihan teknologi dan keupayaan modal insan juga turut meningkat. Justeru, sektor awam perlu sentiasa melakukan pengimbangan untuk menangani cabaran tersebut.

Kedinamikan ini tidak sahaja tertumpu kepada keperluan teknologi dan modal insan, malah keperluan organisasi juga turut berubah. Banyak proses pembentukan semula organisasi tertentu perlu berlaku. Ini termasuk penukaran saiz, sama ada mengecilkan atau membesarkan, hinggalah kepada pengubahan fokus malah penutupan.

Selari dengan itu ada sesetengah pekerjaan menjadi tidak relevan atau bertindih, yang mana jalan keluar yang munasabah adalah melalui pemberhentian. Jika tidak di ambil tindakan yang sewajarnya ianya memberi implikasi negatif terhadap pertumbuhan ekonomi kerana pengagihan sumber awam yang tidak efisien. Ini adalah suatu realiti dan cabaran yang perlu ditempuhi.

Suatu penyelesaian terhadap nisbah pusing ganti yang tinggi di kalangan pekerja disebabkan oleh perubahan struktur ekonomi perlu diwujudkan. Dua cabaran umum perlu ditangani dengan efektif untuk menjamin pertumbuhan sosioekonomi yang berterusan.

Pertama, cabaran untuk membentuk tenaga kerja yang fleksibel selari dengan kedinamikan keperluan pekerjaan dari masa ke semasa.

Kedua, mewujudkan suatu mekanisme untuk menangani pemberhentian pekerja yang wajib dilakukan untuk sekurang-kurangnya mengekalkan kecekapan sektor awam jika tidak memperbaikinya. Cabaran kedua ini semakin mendesak kerana pertumbuhan teknologi yang begitu pesat yang seterusnya menyebabkan kekerapan perubahan struktur semakin tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *