Site Overlay

Hikayat Nusansia: Sebelum dan Selepas Diberi Nikmat

Ada sebuah iklan tentang produk menguruskan badan di Nusansia. Sudah tentu sasarannya pada pengguna yang berbadan tidak kurus. Tiada salahnya jika mahu memasarkan produk seperti itu, jika benar dan jelas tujuannya untuk membantu pihak yang disasarkan.

Tetapi yang menimbulkan rasa kasihan apabila ia memaparkan kisah kejayaan beberapa pengguna yang pernah menggunakannya. Ketika berbadan gempal, mereka menutup aurat, tetapi bila sudah kurus, pakaian yang ketat dan sendat digunakan.

Keadaan itu mengingatkan Anak Melayu tentang kisah seorang seorang sahabat Nabi SAW yang serba kekurangan, bahkan untuk solatpun, terpaksa berkongsi dengan si isteri. Lalu apabila sudah mendapat kekayaan, dia berubah.

Juga mengingatkan saya pada kisah Qarun, yang pada asalnya tidak kaya, tetapi apabila telah diberi kekayaan, dia berubah.

Banyak lagi kisah yang menuntut kita menginsafi diri bahawa selalunya insan menjadi pelupa apabila sudah mendapat sesuatu yang diidam-idamkan.

Mungkin kerana itu, Allah SWT mengingatkan kita berulang kali: ‘Nikmat manakah yang handak engkau Nafikan!?”

Begitu juga mafhum firman Allah: “Amat sedikit golongan yang bersyukur.”

Oleh itu tidak mustahillah orang-orang yang mahu mendekatkan diri pada Allah, mahu menjaga diri dan mahu berasa cukup dengan apa yang ada. Qanaah. Itu istilah yang sesuai untuk Mukmin.

Tiada salah jika mahu kaya. Tiada salah jika mahu kurus (andai tidak kurus). Tetapi beringat selalu bahawa berubahnya kita menjadi suatu yang lebih baik adalah dengan izinNya. Itu sikap yang terbaik dan selayaknya bergelar seorang Hamba.

Jika kamu bersyukur, akan Dia tambah nikmatNya ke atas kamu.

Alhamdulillah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2020 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes