Usrah Dalam Kereta: Potensi, Hormat Kritis dan Semangat Zaman

Kisah pagi tadi, dalam kereta.

Seusai hantar anak-anak ke nurseri, saya buka topik pendidikan untuk anak-anak kami. Saya bangkitkan kepada isteri sama ada dia perasan atau tidak perkara yang berlaku sewaktu makan malam tadi. Situasinya; Semasa membaca doa makan, anak perempuan saya cakap, “Kalau lelaki baca doa macam ini (dia jarakkan ketika menadah tangan berdoa), kalau perempuan baca doa begini (sambil merapatkan kedua-dua tangan elok-elok).” Katanya lagi,”Cikgu ajar begitu.”

Saya tidak berapa respon dan biarkan sahaja si puteri berkata sedemikian rupa. Saya hanya senyum dan berkata,’Oh ya ka? Baik-baik. Jom makan!”

Rupanya isteri saya juga sedar akan situasi tersebut. Lalu kami berbincang, agak-agaknya apa tindakan yang sesuai sebenarnya untuk menghadapi situasi tersebut. Kalau ikutkan, mahu sahaja disangkal bahawa cara menadah tangan itu, baik rapat-rapat atau di jarakkan bukan hal pokok, yang penting ikhlas, rendah diri, tadah tangan elok-elok dan fokus berdoa. Tapi saya ambil pendekatan mendiamkan sahaja.

Cara pandang kami sama; iaitu biarkan sahaja kemahuannya untuk berkongsi tentang apa yang dia pelajari di sekolah. Sebagai ibu bapa, kami tidak mahu membantah atau memberi alternatif atau mengajarnya pada ketika itu. Peluang harus diberikan kepadanya untuk ekspresi dan amalkan ilmu yang dia ada. Tambahan pula, itu hal kecil yang bukan menyentuh perkara-perkara usul seperti aqidah, adab (baca: adil, meletakkan sesuatu pada tempatnya) dalam konteks yang penting. Selain itu, mengambil kira juga kaedah dan masa menegur. Kami fikir tidak wajar menafikan atau memberikan ‘alternative thought’ pada ketika itu. Tidak sesuai dan mungkin belum sampai masanya.

Kami mengambil kira juga kemungkinan-kemungkinan jika tindakan dna niat baik kami itu akan mengakibatkan anak-anak kurang hormat kepada guru-guru yang mendidik di sekolah dan seterusnya sehingga mereka besar nanti. Kami tidak mahu anak-anak menjadi sombong dengan guru-guru mereka walaupun ada kalanya didikan guru di sekolah mempunyai limitasi tertentu yang memerlukan konteks tertentu untuk diaplikasikan dalam dunia sebenar. Ini belum masuk lagi didikan yang salah oleh guru-guru di luar sana. Pokok pangkalnya, Guru harus dihormati. Adab pada guru harus disemai. Hormat dan kritis harus dipupuk perlahan-lahan dan berterusan.

Selain itu, kami turut berkongsi dan berfikir untuk sensitif dengan potensi yang ada pada puteri sulung kami. Dia cepat tangkap sesuatu yang dipelajari, agresif, proaktif, ada potensi menjadi pemimpin yang baik, nampak elemen sukakan Ilmu. Semua ini saya percaya potensi bagi setiap anak-anak kecil.

Saya katakan pada isteri, bahawa kita harus sensitif melihat perubahan anak-anak. Moga dengan izinNya, dapat diberikan hikmah untuk mendidik mereka supaya menjadi insan dan pemimpin yang baik. ‘Worst case scenario’ perlu ada untuk dihindari, contoh-contoh wanita hebat yang hidup hari ini dan sirah Nabi harus menjadi penentu ukur supaya terus berwaspada dan berharap yang terbaik untuk anak-anak.

Proses pemberdayaan puteri kami nanti harus dilihat juga dari aspek semangat zaman hari ini yang sudah semakin cakna akan isu penindasan dan ketak-sama-rataan dalam memberi peluang kepada wanita sehingga tema feminism dijadikan kerangka dalam berfikir dna hidup sebahagian insna hari ini. Beban berat kepada ibu bapa hari ini adalah untuk memahami semangat zaman dan yang lebih utama adalah memahami serta amalkan tradisi hidup yang berpaksikan Hidup BerTuhan. Faham Ad-Deen adalah tunjang kepada kehidupan dan hidup beragama mestilah bukan suatu yang bersifat eksperimentasi. Islah (sentiasa perbaiki diri) adalah proses ke arah mencapai Kebebasan yang Sebenar (baca: Islam: Faham Agama dan Asas Ahklak, TS SMN al-Attas, IBFIM).

Begitulah perbualan kami sekitar 15 minit sebelum masing-maisng menuju ke destiasi maisng-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *