Tangkapan Akibat Bijih Bauksit

Sehingga kini, sudah hampir satu tahun tujuh bulan keputusan moratorium dikuatkuasakan di kawasan perlombongan bijih bauksit. Pihak berkuasa masih belum dapat membuat keputusan penting mengenainya lagi. Akhirnya, pagi ini rakyat Malaysia digemparkan dengan penahanan 10 Kakitangan Jabatan Kastam di Raja Malaysia (JKDM) dan 9 kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), pada tengah malam tadi. Mereka akan direman 7 hari untuk membantu siasatan kerana disyaki terlibat dengan perlombongan Bauksit secara haram di Pahang.

BAUKSIT DAN MASYARAKAT

Isu Bauksit mula mendapat liputan meluas di Malaysia sejak Julai 2015. Wacana tentang apa itu bauksit dan kegunaannya dalam sektor ekonomi, apakah masalah yang wujud apabila perlombongan bauksit ini semakin berleluasa di Pahang, apakah impak positif dan negatif perlombongan ini; banyak dibicarakan di media massa. Malah, rasa simpati kepada penduduk tempatan yang memberi kebenaran tanah mereka digunakan untuk tujuan perlombongan, turut dijadikan bahan perbincangan masyarakat Malaysia. Kata mereka, tindakan mewujudkan persepsi negatif terhadap aktiviti perlombongan itu akan mengakibatkan ‘periuk nasi’ mereka ditutup kerana terdapat pemandu yang merupakan orang tempatan dan juga para pemilik tanah yang sedang menunggu hasil ‘pelaburan’ masing-masing.

Wacana yang berterusan hampir setiap minggu itu dianggap berhasil apabila kerajaan mengumumkan moratorium atau pergantungan ke atas semua kegiatan perlombongan bauksit di Pahang selama 3 bulan bermula 15 Januari 2016 hingga 31 Mac 2016. Selepas tarikh tersebut, tempoh moratorium terus dilanjutkan sehingga kini.

Tindakan menguatkuasakan moratorium dibuat kerana pendudukan kawasan sekitar mendakwa mereka berdepan dengan pelbagai masalah sejak aktiviti perlombongan bauksit berleluasa sekitar tahun 2014 yang lalu. Sungai tercemar, kesihatan terancam, jalan raya kotor dan udara berdebu, merupakan antara aduan dan masalah yang dihadapi oleh penduduk sekitar kawasan laluan lori pengangkutan bauksit.

BAUKSIT DAN ALAM SEKITAR

Isu bauksit adalah satu contoh daripada beratus kisah dalam tema keadilan alam sekitar di Malaysia. Dalam isu ini, bauksit diakui memberikan nilai ekonomi kepada penduduk setempat bahkan turut menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara. Oleh sebab itu, perlombongan bauksit bukan suatu yang terlarang. Namun demikian, aktiviti tersebut tertakluk kepada garis panduan atau ‘SOP’ yang telah dipersetujui.

Sekiranya garis panduan tidak diikuti, sudah pasti malapetaka yang sudah dijangka akan berlaku. Ini dibuktikan melalui tinjauan pelbagai pihak yang melawat kawasan tersebut dan respon balas orang ramai yang merupakan penduduk tempatan yang mendapat kesan negative secara langsung. Lebih tragis apabila 3 orang kanak-kanak meninggal dunia kerana terjatuh ke dalam kawasan lombong yang ditakungi air. Malapetaka ini berlaku kerana para pelombong tidak mematuhi garis panduan yang ada.

HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI

Pada masa yang sama, kita digemparkan dengan penglibatan beberapa orang penguatkuasa yang ditahan kerana terlibat dengan salah guna kuasa, khususnya dalam isu perlombongan haram bauksit. Kisah seumpama ini memberikan petunjuk kepada kita bahawa keadilan alam sekitar dan hak masyarakat menjalani kehidupan yang selamat telah dinodai oleh segelintir pihak yang telah diberikan amanah namun dimungkiri.

PENDIDIKAN DAN AMANAH JAWATAN

Peranan pendidikan amat penting pada saat ini. Kita boleh melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam pelbagai bidang, tetapi aspek akhlak dan amanah bukan suatu yang boleh diambil ringan. Kepakaran ilmu pengetahuan dan jawatan hanya suatu kerugian buat umat manusia jika ia dimiliki oleh insan tanpa akhlak dan amanah.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, kes bauksit ini adalah manifestasi kerosakan alam sekitar yang berpunca daripada insan yang tidak berakhlak dan pecah amanah. Sikap buruk ini bukan sahaja merugikan diri sendiri, malah turut memberi impak negative kepada kehidupan insan lain dan alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *