Dakwaan Yang Tidak Jelas dalam Penjahanaman Pemikiran Intelektual

Sebagai orang awam, saya fikir, tidak mudah untuk membaca, mentelaah dan seterusnya mengkritik dengan cermat, terutamanya isi sesebuah karya yang rencam dan bersimpang-siur penghujahannya sebagaimana karya di bawah ini.

Walau apapun, memadai setakat ini, dapat ketahui apa yang baik dan apa yang tidak kena pada penghujahan dalam sesebuah karya seperti karya di bawah ini; sebagai contoh, apabila penulis menghurai perihal istilah ‘teologi’ dan ‘agama’ dalam ‘Bab 14: Teologi Kultural dan Pengharapan Pada Kemanusiaan’.

‘Penerimaan massa ke atas teologi itu dikaitkan dengan kebenaran gagasan teologi itu, bersama-sama dengan kesolehan si pengajar dan penakrif teologi itu tadi seraya membuat klaim handal sebagai pewaris profetik yang terasal’. (Hlmn. 104)

Persoalan lain timbul seperti penggunaan istilah ‘teologi’ (apakah sama dengan Usuluddin dan Kalam?), istilah ‘agama'(apakah penulis memahami Islam dalam kaca mata ilmu sosiologi yang meletakkan agama sebagai konstruk sosial?), kandungan ‘teologi’ manakah yang dikatakan sudah tepu dan perlu diperbaharui ikut konteks semasa? Dakwaan seperti ini banyak dalam buku ini. Mungkin niat baiknya untuk orang melihat sesuatu dari perspektif dan cara gaya berfikir yang berbeda.

Yelah, mungkin buang masa (memikirkan tentang ini) atau saya tak faham mesej penulis. Tapi jangan salah sangka. Saya memahami konteks penulis mahu mengkritik pengamalan orang Muslim masa kini dalam hidup beragama, tapi jika kritik dilakukan tanpa cermat, saya tidak tahu sudut mana yang dikatakan rasional. Atau memang dakwaan seumpama itu yang dikatakan sebagai rasional -demi untuk mengabsahkan bahawa Muslim hari ini ‘tidak canggih’ dan ‘cakna’ kemanusiaan serta tertutup (jika hendak dibandingkan dengan zaman dahulu(penulis sebutkan zaman kegemilangan Islam yang dahulu lebih terbuka).

Aduh, panjang saya mengomel. Apapun, ini pandangan kerdil saya sebagai orang yang sedang membaca dan belajar.

Anda ada baca karya ini? Kongsikanlah pandangan anda. Kalau tak baca, pergi baca dulu.

Oh, jangan haramkan buku ini ya!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *