Alam Sekitar

Sungai Akan tetap Mengalir, Walau Insan Dungu

Airmu mengalir,

dari Gunung jauh di sana,

jernih dan sejuknya,

sungguh indah dipandang mata..

 

Kau tetap mengalir,

walau apa halangan tiba,

Tak berhenti-henti,

hingga sampai di laut nanti…

 

Ini adalah petikan lirik lagu yang pernah cikgu Puan Nor Ain Wong ajarkan kepada saya sewaktu darjah 1. Beliau adalah antara insan terawal yang mendedahkan saya tentang ‘Sungai’. Lagu ini sebenarnya menyampaikan mesej melalui perumpamaan supaya insan menjaga dan menghargai setiap detik masa. Maka sungai yang mengalir menjadi perumpamaannya. Saya kongsikan petikan lirik seterusnya, setakat yang saya ingat:

Masa kita ‘kan mengalir,

tak menunggu kita,

Gunakanlah sepenuhnya,

janganlah leka…

Masa diumpamakan seperti sungai yang mengalir. Ia tetap akan mengalir walau apapun halangan di depan. Itulah resam sungai.

Pada hari ini, sebahagian besar sungai yang mengalir di malaysia berada pada kelas 3 dan 4 (tercemar). Sebahagiannya pula cetek. Daripada jumlah 473 batang sungai, 229 batang sungai di seluruh negara mengalami pencemaran kesan pembuangan sisa industri.(1) Sungai menjadi cetek disebabkan mendapan yang berlaku kerana faktor penyahhutanan.

Penyahhutanan akibat pembalakan jenis ‘cuci mangkuk’ mengakibatkan hujan yang lebat tidak dapat diserap dengan sempurna, lalu berlaku hakisan tanah. Hakisan itulah yang membentuk mendapan sehingga sungai menjadi cetek. Kejadian seumpama ini berlaku di Sungai  Tembeling, Ulu Tembeling, Pahang.

Sekitar Sungai Tembeling. – Foto oleh ASTRO AWANI(2)

 

Kuala Lumpur, sebuah bandar yang bernasib baik, kerana sungai yang mengalir ‘terpilih’ untuk projek River of Life. Setakat September 2017, 2/3 daripada keseluruhan projek telah siap dan akan siap sepenuhnya pada tahun 2020.

Bukan sedikit belanja yang diperlukan untuk ‘menghidupkan’ kembali sungai yang telah kotor dan rosak.

Pagi tadi, sewaktu menyeberangi Sungai Klang melalui jejambat LRT stesen Masjid Jamek, sungai dilitupi kabus air. Teknologi ‘spray’ yang digunakan untuk menyejukkan kawasan sekitar. Semua itu melibatkan kos yang besar.

Air ‘spray’ untuk menyejukkan kawasan sekitar. – Foto oleh Aliff Basri

River of Life adalah projek bertujuan untuk membersih dan mengindahkan 7 batang sungai sekitar Lembah Klang. Projek seumpama ini menjadi kayu ukur berapakah jumlah kasar kos yang diperlukan dalam usaha membersih dan mengindahkan kembali sungai-sungai yang tercemar.

Sungai adalah nadi kehidupan. Tanpa sungai yang bersih, kita akan terputus bekalan air bersih. Oleh sebab itu, pentingnya didikan dari rumah untuk keluarga dan anak-anak supaya mereka dapat menghargai sungai dan berusaha menjaga kebersihannya.

 

PROSA TENTANG SUNGAI

Saya pernah nukilkan prosa (segan mahu sebut ia sebagai puisi) berkaitan sungai:

Haiwan natiq
berfikir:

Sungai
mengalir lesu
sambil
memprotes
kebisuan
haiwan natiq

ramai pakar
sungai kotor

ramai penguatkuasa
sungai kotor

makin moden
sungai kotor

hasil buatan
haiwan natiq
yang suka
suka berfikir?

Sungai
berfikir:

Benarkah
haiwan natiq 
berfikir?

Benar
fikir untuk
temboloknya.

Prosa ini dinukil pada 4 Mei 2015,Kuala Lumpur

 

Selain itu:

Hitam, coklat, kelabu; adalah
air mata sungai
silih berubah warna
yang mengalir lesu
-lelah
membawa beban sisa berpunca
dari
hati insan
akui beraqal.

Dinukil pada 9 November 2017

 

MONOLOG TENTANG SUNGAI

“Aku bertanya pada sungai, kau baik hari ini? Kata sungai, baik atau tidak, aku perlu terus mengalir. Dia tersenyum. Aku tersenyum, sambil meminta mengundur diri.” – Aliff Basri, 23 November 2017.

 

Rujukan:

(1) https://www.hmetro.com.my/nuansa/2017/05/228763/perangi-pencemaran-sungai

(2) http://www.astroawani.com/berita-malaysia/derita-ulu-tembeling-sungai-kering-pengangkutan-utama-lumpuh-102191

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *