Site Overlay

Qana’ah Sebagai Respon kepada Konsumerisme

Di sebahagian dunia Timur dan Barat, konsep atau gaya hidup ‘minimalist’ semakin diterima sebagai gaya hidup yang baharu. Selain itu juga, gaya hidup ‘zero-waste’ dan ‘less is more’ turut menjadi pilihan. Ia merupakan respons kepada budaya konsumerisme atau ‘penggunaan berlebihan (over-consumption) yang menatijahkan keresahan jiwa, tempat tinggal yang bersepah (semak), dan menyusahkan kehidupan.

‘Penggunaan berlebihan’ mewujudkan lebih banyak sisa pepejal baik dalam bentuk bahan makanan (organik) mahupun barang-barang dan bungkusan yang diperbuat berasaskan plastik.

Sisa-sisa itu bersepah dan mencemarkan alam sekitar kerana pengakhirannya dalam bentuk yang sukar dilupuskan. Kesannya terhadap haiwan dan tumbuhan pula berupa kematian dan pencemaran alam.

Sebagai contoh, beberapa hari lalu, dunia digemparkan dengan penemuan sejumlah ikan paus Sperma yang mati di perairan Greek. Hasil bedah siasat mendapati, 1/3 daripada keseluruhan bangkai; terdapat banyak sisa bahan buangan plastik yang tersangkut dalam perut.

(Sumber: satulaut.com)

Penyu juga menerima nasib yang sama. Sering kali penyu terkeliru antara obor-obor yang menjadi makanannya dengan plastik yang seakan-akan obor-obor. Tidak kurang juga penyu yang terseksa kehidupannya angkara sisa pepejal seperti plastik dan straw serta besi buruk yang dibuang ke laut oleh manusia yang dikatakan berakal. Laut dan sungai seolah-olah menjadi tong sampah bagi manusia berakal.

Qana’ah sebagai Respon

“Sungguh beruntung orang yang diberi petunjuk dalam Islam, diberi rezeki yang cukup, dan qana’ah (merasa cukup) dengan rezeki tersebut.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, No. 4138)

Untuk membandingkan gaya hidup yang mesra alam dan insan, sebagaimana kita mampu memahami falsafah disebalik ‘to be a minimalist’, konsep ‘qana’ah’ sebenarnya mampu tangani cabaran penggunaan berlebihan, penawaran berlebihan, dan penghasilan sisa pepejal yang berlebihan.

Dengan syarat, konsep ini diberi faham bersekali dengan konteks pada hari ini dan tidak terhad kepada maksud qana’ah dengan kehidupan yang biasanya digandingkan dengan sifat zuhud seperti yang biasa difahami.

Qana’ah atau rasa reda dan mencukupi ke atas nikmat kurniaanNya; jika dilihat dari aspek amanah yang dipikul insan terhadap pengurusan sumber ekonomi, pasti akan memberi faham dan sedar bahawa corak kepenggunaan yang tidak cermat boleh menatijahkan ‘penggunaan berlebihan. Begitu juga dengan pemilihan sesuatu produk seperti makanan; sama ada berbungkus plastik atau tidak. Dan ‘penggunaan berlebihan’ ini merupakan ciri konsumerisme yang menyemarakkan lagi rasa ‘mahu beli lebih banyak’ dan ‘mahu memiliki lebih banyak’. Semua ini adalah bibit-bibit yang akhirnya membawa kepada ketidak seimbangan ekologi, apabila sisa pepejal yang terhasil tidak dilupuskan dan terbiar memenuhi muka bumi serta mencemarkan alam.

Lantas, bagaimana konsep qana’ah dapat membantu menyelesaikan cabaran ‘penggunaan berlebihan’ dan faham konsumerisme yang membarah kini? Qana’ah harus dikaitkan dengan konsep membazir. Orang yang ada sifat qana’ah tidak akan membazir dan keterlaluan dalam memenuhi keperluan hidup melalui pembelian dan pemilikan barang. Kita biasa dengar bahawa; membazir itu amalan syaitan. Sebagaimana firman Allah:

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada TuhanNya.” (al-Israa: 27)

Membazir itu berkait rapat dengan perasaan berbangga diri dengan apa yang dimiliki. Oleh sebab itu, mampu dan mahu membeli apa sahaja seolah-olah menjadi mantra bagi sesetengah manusia.

Faham membazir seperti ini, menurut perkiraan saya merupakan membazir pada lapis asasi, yakni faham membazir dalam konteks menzalimi kepada diri sendiri.

Sekiranya boleh, diharapkan konsep membazir ini turut dibincangkan dalam cakupan lebih luas, yakni bersama dalam aspek pengurusan sumber asli seperti petroleum. Kita tidak perlu rasa pelik kerana Rasulullah SAW pernah bersabda kepada sahabatnya:

Rasulullah SAW pernah melintasi Sa’ad yang sedang berwuduk, lalu Baginda Nabi SAW bertanya: “Mengapa engkau berlebih-lebihan seperti ini, wahai Sa’ad?” Sa’ad bertanya: “Apakah di dalam wuduk juga ada istilah berlebih-lebihan?”

Baginda Nabi SAW menjawab: “Benar, sekalipun engkau berada di sungai yang mengalir.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Hadis ini adalah bukti kukuh bahawa Rasulullah SAW memberi isyarat kepada umat manusia supaya pembaziran tidak boleh berlaku walaupun mempunyai sumber asli yang banyak –seperti sumber air bersih dan juga petroleum.

(Sumber: Truth About Plastic)

Kita ambil contoh petroleum. Selain berfungsi sebagai bahan api, petroleum juga menjadi bahan asas pembuatan plastik. Pada hari ini, jika lihat kepada diri sendiri, boleh dikatakan tiada satupun aksesori atau barang yang dimiliki manusia yang bebas daripada elemen plastik dalam pembuatannya. Paling tidak, bungkusannya terkandung plastik. Kesan ‘mass-production’ (pengeluaran secara besar-besaran) terhadap sesuatu barang perkhidmatan yang menggunakan plastik, telah dijelaskan seperti di perenggan-perenggan atas.

Sekiranya aspek pembaziran dalam konteks corak pembelian, sebagaimana penulis kongsikan di atas dapat di fahami, dan dikaitkan pula dengan konsep qana’ah, ia pasti dapat mengubah gelagat kepenggunaan manusia.

Kita akan lebih berhati-hati dalam setiap pembelian. Sekiranya terdapat plastik pada setiap pembelian, kita harus mengetahui kaedah kitar semula sebagai salah satu penyelesaian untuk mengelakkan pencemaran alam dan pembaziran sumber.

Dunia sedang berperang dengan plastik. Manakala konsep ‘Qana’ah’ adalah konsep yang mapan untuk membentuk corak kepenggunaan yang lebih cermat.

Jangan lupa, faham membazir dalam penggunaan sumber asli juga merupakan salah satu aspek menzalimi diri sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2020 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes