Site Overlay

Aku, Melayu, Jawi, dan Islam

Sudah agak lama saya tidak membuat sebarang catitan di laman Anak Melayu ini. Bukan tiada cerita, bukan tiada pengalaman baru; tetapi setiiap kali mahu membuat nukilan, butang ‘backspace’ segera ditekan.

Adakah kerana isinya tidak bagus? Atau tidak cukup fakta? benarkah apa yang ditulis?

Semua ini menjadi penghalang untuk saya menulis. Hampir setiap hari saya mencari kekuatan dan fokus. Hampir setiap hari dan minggu juga saya mencari sebab mengapa saya menulis.

Benar. Asalnya saya menulis untuk berkongsi sesuatu itu, tetapi saya harus fokus. Isu apa yang saya hendak tulis dan kongsikan? Itu persoalan yang berat.

Saya tidak mahu menulis sesuatu yang dikategorikan sebagai sampah. Sampah? Ya, sampah. Iaitu tulisan yang miskin fakta, atau tulisan yang kaya fakta tetapi tiada mengikut konteks agar dapat difahami pembaca.

Niat dihati, amhu menulis sebagaimana Ibnu Khaldun menulis. Juga sebagaimana Ibnu Batutta menulis. Maka jika saya menulis, ia adalah tulisan Ibnu Basri al-Jawi. Ya, anak kepada Basri berketurunan Jawa.

Saya rasa bersyukur dilahirkan sebagai Jawa; walaupun tidak pandai berinteraksi dalam bahasa Jawa.

Tetapi saya lebih memaksudkan Jawi di sini (rujuk pada nama blog), berupa panggilan orang arab dahulu kepada bangsa melayu. Mereka memanggil orang melayu sebagai al-Jawi. Ia bukan merujuk kepada bangsa jawa semata. Maka kerana itu saya selesa dengan panggilan Jawi untuk dinisbahkan kepada saya selaku orang melayu dan berketurunan Jawa.

Saya tidak mahu fokus kepada Melayu kerana niat untuk berdakwah saya melangkaui aspek perkauman. Tetapi saya tertanya-tanya, mengapa saya dilahirkan dalam rumpun melayu? Kenapa saya menjadi seorang Melayu Islam? Mengapa tidak cina Islam? Atau India Islam? Atau ‘mat saleh’ Islam?

Seperkara yang menjadi persoalan hidup saya sebagai seorang Melayu Muslim ialah, mengapa bangsa yang amat sinonim dengan Islam ini mempunyai watak yang lemah? Seakan-akan segala watak negatif dipalitkan pada satu bangsa bernama Melayu.

Ini persoalan yang bermain difikiran.

Saya tidak dapat menyambung nukilan. Anak perlukan perhatian saya sekarang…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2020 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes