Refleksi Diri

Mengasak Diri terus Menulis!

Menulis tentang diri adalah suatu yang memalukan bagi sebahagian insan. Apatah lagi jika perkara itu dikongsikan untuk tatapan umum. Namun, satu persoalan yang perlu dijawab berkaitan perkongsian itu adalah: Apakah tujuan kau berkongsi untuk tatapan umum?

Sejak beberapa tahun ini, saya sebenarnya mengalami situasi kesukaran berkongsi refleksi diri kerana merasakan bahawa refleksi itu tidak tuntas, muktamad, separuh masak atau keanak-anakan. Apakah benar itu sikap yang saya perlu pegang?

Boleh jadi ia benar sekiranya ia melibatkan bidang pengetahuan yang memerlukan penelitian lanjut. Tetapi sikap itu tidak wajar jika ia mematikan hasrat jiwa untuk berkongsi sesuatu yang difikirkan perlu dan bermanfaat.

Kita hidup di zaman kebanjiran informasi. Menurut satu sumber (saya lupa!!), dekad ini adalah dekad yang terkandung paling banyak informasi terhasil untuk tatapan pembaca seluruh dunia jika mahu dibandingkan dengan dekad-dekad lalu.

Lantas, keutamaan dan keperluan untuk mengetahui sesuatu info atau fakta menjadi pemberat untuk menilai sama keperluan mahu ambil tahu atau tidak tentang sesuatu info atau fakta. Selain itu, aspek populariti juga menjadi pertimbangan pada hari ini.

Sekiranya fan page atau instagram-nya mempunyai pengikut berpuluh-puluh ribu, itulah figura yang menjadi tatapan ‘pembaca’ digital. Aspek otoriti sudah menjadi perkara kedua atau ketiga pada zaman ini.

Sekiranya budaya ini berlanjutan dengan semakin meningkatnya pembaca yang tidak mengetahui perbezaan pihak ber-otoriti (yang Ahli atau yang layak dirujuk dalam sesuatu perkara), ia akan melahirkan sejumlah masyarakat yang keliru dan tidak dapat menapis informasi dengan baik dan berkesan.

Ah, maafkan saya jika tulisan saya semakin ‘berat’.

Sebenarnya, keinginan untuk menulis dan berkongsi di blog ini sentiasa ada. Cuma tidak diketahui andai tulisan di blog ini kelak akan memberi manfaat atau mudarat.

Walau bagaimanapun, saya akan terus menulis dan berkongsi pandangan di blog ini. Dan saya memerlukan maklum balas perkongsian dari rakan pembaca juga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *