Site Overlay

(2/2) CASIS SCHOLARLY DIALOGUE: JAPANESE ECOSOPHY — A TRAVELLER’S NOTE

Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَنْ قَطَعَ سِدْرَةً صَوَّبَ اللَّهُ رَأْسَهُ فِي النَّارِ
“Sesiapa yang memotong pokok bidara maka Allah akan membenamkan kepalanya di dalam neraka”

(Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani)

Dalam CASIS SCHOLARLY DIALOGUE yang membicarakan karya Dato’ Seri Zaini Ujang, Prof. Dr. Khalif Muammar menyebut hadis di atas.

Pokok Sidr adalah sumber lebah memperoleh nektar – makanan lebah, dan ditukar menjadi madu. Manfaat madu asli sudah diperakui sebagai antara makanan terbaik dalam sejarah peradaban manusia termasuklah oleh Nabi Muhammad SAW.

Ayuh kita lihat konteksnya pada hari ini.

Hadis ini sebenarnya harus menjadi pegangan kuat Muslim dan sebagai umat terkehadapan dalam daya usaha dan mujahadah mengekalkan kelestarian ekosistem hutan. Betapa pentingnya memelihara pokok Sidr sehingga Rasulullah SAW mengeluarkan hadis berbentuk ancaman.

Hutan saban bulan dan tahun dijarah untuk tujuan perekonomian. Malah, hutan dikelirukan dengan wujudnya klasifikasi hutan peladangan, dengan persepsi bahawa ia juga merupakan litupan hutan hijau di Malaysia.

Sedangkan pada hakikatnya, hutan bukan sekadar berfungsi sebagai litupan hijau bumi. Hutan adalah sumber ekosistem kepelbagaian bio, juga sumber kebudayaan, perubatan, dan memberi inspirasi dalam hidup insan.

Sebagai contoh, sejak beberapa tahun lepas, durian Musang King mendapat permintaan yang tinggi di China. Disebabkan kegilaan itu, orang berduit mula memikirkan bagaimana untuk menggunakan peluang bagi memenuhi permintaan tersebut.

Natijahnya, sejumlah 161.88 hektar kawasan hutan dinyahgazet dan ditarah untuk peladangan durian Musang King. (The Star, Selasa, 23 Oktober 2018)

Menurut Datuk Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, projek kawasan itu tidak memerlukan kebenaran daripada Jabatan Perhutanan kerana projek itu dimiliki Perbadanan Setiausaha Kerajaan (sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri).

Sedangkan, kawasan tersebut merupakan kawasan hutan yang dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 dalam draf Pelan Struktural Pahang 2050. Ia juga merupakan habitat bagi Harimau Malaya yang terancam.

Itulah salah satu contoh nasib yang diterima hutan.

Lebah apis dorsata yang menghasilkan madu tualang di tengah hutan belantara hutan khatulistiwa pula akan semakin berkurangan dan berkemungkinan besar boleh pupus, jika hutan dijarah dengan rakus.

Kemusnahan habitat liar akibat eksploitasi dan perubahan iklim, memacu kehilangan separuh daripada keseluruhan populasi hidupan liar seluruh dunia.

Biasanya, 1 hingga 5 spesis akan pupus setiap tahun. Walau bagaimanapun, saintis menganggarkan kita akan kehilangan spesis flora dan fauna pada kadar 1 ribu hingga 10 ribu kali ganda setahun, berbanding pada kadar biasa.

Oleh itu, didik anak-anak hormati alam tabii: sungai, langit, hutan, kebersihan persekitaran. Jika mahu tahu lanjut aktiviti-aktiviti NGO alam sekitar yang tulen dan tidak sekadar bersorak-sorai gembira membenci, ikuti ‘fan page’:

  1. Sahabat Alam Malaysia
  2. KUASA
  3. PEKA Malaysia
  4. Consumer Association of Penang (CAP), Lestari Alam
  5. EcoKnight
  6. GRASS
  7. GreenPeace Malaysia
  8. Lestari Alam Malaysia

Ini hanyalah antara di antaranya. Ada yang beri fokus kepada advokasi dan lobi. Ada yang beri fokus kepada program pendidikan dan kesedaran. Ada juga yang memberi fokus kepada kedua-duanya sekali.

Pilihlah untuk ber-intima’ dengan mana-mana pertubuhan di atas.

Ia sebagai tanda kita kasih kepada Nabi Muhammad SAW dengan cara memberi nilai tambah kepada diri dan masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2019 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes