Site Overlay

Nelayan Bantah Projek ‘Penang South Reclamation’ (PSR)

Kredit Foto: Aliff Basri

Aku melihat satu demi satu raut wajah para nelayan yang hadir. Raut wajah mereka sahaja sudah dapat membayangkan keresahan untuk menjalani kehidupan pada hari esok.

Kehadiran mereka ke Parlimen untuk satu hari bermakna mereka akan hilang satu hari pendapatan hasil laut kerana tidak turun ke laut. Tapi mereka perlu lakukan demi menjaga periuk nasi mereka untuk jangka masa panjang.

Tanggal 11 Julai, 8 pagi, para nelayan dari Pulau Pinang sudah bersedia menuju ke Bangunan Parlimen untuk menyatakan bantahan projek Penang South reclamation (PSR) melalui penyerahan memorandum Bantahan kepada Ahli Parlimen.

Lebih perit lagi bila memikirkan risiko projek akan terus berlangsung walau akan dibantah. Mereka sedang hadapi situasi ketidak tentuan kehidupan di masa depan.

Aku ambil kesempatan, bersembang dengan beberapa nelayan yang datang dari Pulau Pinang, antaranya saudara Faizal Zabri, seorang nelayan Teluk Bahang; apa yang akan berlaku jika projek tambak diteruskan?

Kredit Foto: Aliff Basri

Mereka jawab, kita tak perlu cakap tentang generasi masa depan. Memadai kita lihat para nelayan masa kini di wilayah yang terlibat dengan projek tambak, khususnya para nelayan yang berumur dalam lingkungan 40an dan 50an ke atas.

Pada kebiasaannya, mereka turun ke laut dalam jarak 5 batu dari pantai sahaja, kerana mengambil kira faktor usia dan perkiraan risiko. Dalam jarak itu, sudah cukup memberi hasil lumayan dan mereka tidak perlu ke laut dalam.

Sebagai contoh, para nelayan pukat bawal, pukat udang, pukat ketam, pukat senangin; kebanyakkan bekerja menangkap hasil dalam jarak 5 batu dari pantai sebab hasil-hasil laut tersebut banyak boleh ditangkap dalam lingkungan 5 batu.

Tetapi, apabila projek tambak itu berlangsung nanti, para nelayan perlu mencari hasil tangkapan dalam jarak yang lebih jauh sehingga 7 dan 8 batu dari pantai. Itu adalah jarak melewati laut dalam.

Apakah selepas ini para nelayan akan sanggup mengambil risiko hingga terpaksa belayar melewati 7 batu untuk jalankan aktiviti menangkap hasil laut–sumber protein kita?

Kita kena faham, aktiviti menangkap ikan di kawasan sejauh itu adalah berisiko tinggi kerana lautnya dalam dan arusnya deras. Bukan mudah untuk tarik pukat bila ditebar di laut dalam. Kos minyak pula semakin meningkat manakala hasilnya belum tentu dapat tampung kos.

Bukan sahaja itu, nelayan juga terpaksa berhadapan dengan cabaran bot-bot pukat tunda yang akan menceroboh zon mencari hasil kerana hasil semakin berkurangan di laut dalam.

Ini belum termasuk faktor jarak yang semakin jauh dari darat dan menjadi laluan kapal besar. Jadi, bagaimana nelayan mahu meneruskan kehidupan?

Bila MOA sebut tentang Kedaulatan Makanan, apakah projek tambak itu nanti akan mengambil kira aspek kedaulatan makanan? Atau kita memang mahu hancur-punahkan sumber protein kita?

Sebagai masyarakat madani, suara hati mereka ini mesti sampai kepada pihak berkuasa supaya tidak terlambat dan akan merugikan bukan sahaja kehidupan nelayan, malahan kehidupan dan sumber protein kita sendiri.

Kredit foto: Theiva Lingam, SAM

Aku pulang meneruskan kehidupan di bandar, makan ikan yang dibeli di pasaraya atau pasar borong. Hidup seperti biasa. Tetapi mereka, selepas perhimpunan aman ini, akan pulang ke kampung halaman, meneruskan kehidupan sebagai nelayan, memikirkan bagaimana mahu teruskan kehidupan sekiranya projek tambak akan terus dilaksanakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2019 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes