Melawan Kosumerisme Tidak Semudah Berkata-kata

Sebenarnya tidak semudah tulis status di media sosial untuk lawan konsumerisme ini.

1. Kita kurang contoh depan mata.

2. Untuk ikut Rasulullah pula; ramai yang tidak baca sirah dan tidak datang pengajian. Jika ada sekalipun, sehingga hari ini, saya tidak pernah dengar yang mengaitkan sirah Nabi dan cabaran masani (konsumerisme) serta cara bagaimana hendak hadapinya. Kecuali dalam kelas WISE bila Dr Farid Shahran, Dr Adi Setia dan beberapa Guru2 WISE yang lain menyulam isu2 ini dan diberikan kefahaman kepada para pelajar WISE.

3. Ya. Betapa holistiknya ad-Deen ini, penyakit serta cara mengubatinya harus dipanjangkan dalam bentuk gaya hidup bagaimana yang seharusnya diamalkan.

4. Contoh macam mana?: apa alternatif/cara minimumkan sampah dan penggunaan barang di pasaran (clutter), apa tenaga dan teknologi, barang perkhidmatan yg harus dikeluarkan(murah dan lokal), permaculture(?), dan lain2.

4. Bila contoh tiada depan mata, kita mahu lihat contoh, lalu orang Barat amat terkehadapan dalam hal ini. Mereka dahaga contoh. Saya juga banyak melihat usaha mereka untuk berhadapan dengan cabaran masani dalam aspek konsumerisme-materialisme-kapitalisme.

5. Benarlah, mengenal Barat dan silih bergantinya tesis-antitesis-sentesis dalam pemikiran dan kehidupan mereka, sebagaimana yang di didik Guru2 saya dalam WISE kelolaan (Himpunan Keilmuan Muslim, HAKIM); mampu menjadi refleksi untuk mengenal ad-Deen( Islam) saya.

7. Kita adalah contoh. Jika mahu jadi umat Wasațiy. (Saya tidak bercakap wasatiyyah yang selalu diperkatakan di peringkat kerajaan persekutuan).

Saya tulis sahaja dulu sebagai simpanan catatan saya.

Wallahu alam.

Hati Nukleus Penentangan Konsumerisme-Kapitalisme

Benar seperti yang banyak diulas para Ulama’, mengenai penyakit hati dan cara serta kepentingan mengubatinya.

1. Kita kena faham bahawa konsumerisme adalah penyakit yang berakar dalam hati manusia. Baik sebagai pengguna mahupun pengeluar. Dan ia terzahir dengan tindakan sehari-harian.

2. Untuk menyelesaikan umat daripada terjebak/terpalit/tersadung/tersembam ke lembah konsumerisme, kita perlu kenal pasti apa itu konsumerisme dan perkaitannya dengan riya’,sum’ah, ujub dan bagaimana ia boleh ubati supaya menjadi umat yang wasațiy yang mengakar elemen Qana’ah (rasa mencukupi), dan Zuhud(tidak cinta dunia, baik miskin atau kaya atau middle income).

3. Ilmu tentang Hati Ini wajib dipelajari. Kerana Hati adalah pangkal merebaknya penyakit lain yang terzahir melalui perbuatan.

4. Walau bagaimanapun, saya memahami penyakit dan berkeupayaan menyembuhkan penyakit-penyakit hati itu (sudah pasti bukan mudah), ia harus tidak mematikan aqal untuk bersifat kreatif dan inovatif untuk melawan naratif konsumerisme, materialisme dan kapitalisme.

5. Kerana akhirnya, individu yang sama, harus mampu melawan isme2 tadi diperingkat diri, keluarga dan masyarakat dengan keupayaan menghasilkan maratif dan gaya hidup baharu dalam alam serba meterial hari ini.

6. Sebab itu Ilmu Tasawwuf/Penyucian Hati amat penting pada hari ini.

Apa yang Aku faham tentang Wasațiýah

Wasațiýah.

Tidak tepat jika didefinisikan sebagai pertengahan (walau sah digunakan). Apa nilai yang ada pada pertengahan? Tidak berprinsip? Lalang? Bahkan, nampak tidak kena jika ditakrifkan sebagai pertengahan kerana tidak ekstrim atau tidak ganas.

Apakah maksud disebaliknya bahawa ada Islam yang ekstrim? Jika mereka merujuk Islam yang ekstrim ini kepada umat Islam yang guna nama Islam untuk keganasan, maka yang ganasnya orang itu. Bukannya Islam. Di mana-manapun, golongan Pengganas itu ada. Mereka ini boleh sahaja bertopengkan sebagai beragama atau tidak.

Lalu, ada usaha untuk kembalikan nama baik Islam dengan mengutarakan idea Islam pertengahan (Moderat?)

Aku rasa ada kesilapan di sini. Jika mahu katakan bahawa Islam moderat itu perlu ada untuk bezakan dengan Islam radikal, maka itu sudah bersalahan dengan maksud ISLAM itu sendiri.

Jadi, untuk mengatasi masalah umat (beragama) yang ganas, ia harus jelas dipanggil Pengganas dan tidak perlu disekutukan dengan sesuatu agama. Apatah lagi Islam.

Lantas apa fungsi istilah WASAȚIÝ?

Umat Wasațiý lebih tepat dan dekat difahami sebagai umat yang Adil. Adil adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ia adalah cerminan Insan yang beradab.

Wasațiý ini harus menjadi gaya hidup pilihan hari ini.

Umat yang Wasaț tahu adab dengan Ilmuan, Guru, Pemimpin, keluarga, sahabat, Alam sekitar. Mereka tahu peranan mereka dalam kehidupan di dunia. Kerana bagi umat yang Wasaț; mereka bukan sekadar hidup di dunia. Mereka ada Akhirat yang menanti.

Oh ya. Atas ini adalah fahamku supaya tidak rasa pelik bila merujuk diri kita sebagai umat yang Wasaț.

Akhirnya, yang tidak kurang penting ialah tindakan kita sebagai umat yang Wasaț. Apa tindakan kita sebagai umat yang WASAȚ?

Apabila Mufti diberi Anugerah ‘Hina Intelektual’, Bermakna…

download

Saya menulis perkara di bawah sebagai respon berikutan liputan sebuah akhbar atas talian, Malaysiakini, berjudul “NGO beri anugerah ‘Hina Intelektual’ pada Harussani”, pada 

1. Penganjuran anugerah seumpama itu merupakan penzahiran bahawa mereka tandus intelektual. Mereka gersang jiwa. Kerana emosi mereka tidak terkawal dan nilai etika diletak tepi hanya kerana hujah mereka tidak cukup kuat untuk beri faham kepada Mufti Perak.

2. Apa nilai etika yang dimaksudkan? Yela, nilai etika yang dipegang aku, golongan berIlmu ada tempat dia yang perlu dihormati kerana mereka ada Ilmu dan Pengetahuan yang tidak dimiliki orang lain. Jika dia salah, kita perbetulkan dengan hujah yang benar. Jika tidak dapat yakinkan, bermakna hujah kau tidak kuat atau tidak kemas ‘angle’nya. Jadi, teruskan perbaiki hujah dan buktikan dengan perbuatan.

3. Nilai etika yang aku anuti adalah; tidak elok menganjurkan anugerah-anugerah yang berniat mahu jatuhkan air muka orang. Tambahan pula ia adalah individu yang dihormati dalam sesebuah masyarakat terbanyak. Anugerah seumpama itu adalah sindiran bagi menerbitkan rasa puas hati nafsu diri, mendapatkan publisiti murahan (cara nak branding), hendak tunjukkan kesungguhan mahu pertahankan pihak yang oppressed(dgn cara oppress pihak lain).

4. Ini nilai etika yang aku pelajarilah sebagai orang yang hidup bertamadun.

5. Tak tahulah nilai etika yang penganjur pegang bagaimana. Jika berbeza dengan yang aku pegang, malah membenarkan penindasan di balas dengan cara penindasan, tiada isulah kalau masharakat tak bertamadun di luar sana menindas mereka yang diwakili penganjur anugerah. Sebab penganjur anugerah mengamalkan etika suka menindas juga.

6. Ini pandangan akulah. Aku tidak menyebelahi puak penindas golongan yang mereka perjuangkan bahkan aku bersama mereka yang ditindas. Tapi untuk menindas orang lain sebab orang lain tak dapat terima hujah kita, itu tanda orang tiada Freedom. Dia terkurung dalam kehendak nafsu yang dia dakwa memperjuangkam Freedom.

Refleksi Mentela’ah al-Muqaddimah Ibn Khaldun (Bahagian 1)

o

Saya kongsikan sebahagian refleksi daripada proses pembacaan al-Muqaddimah, karya ‘magnum opus’ Ibn Khaldun.

1. Suatu yang biasa bagi seorang sarjana menghimpun dan menyulam pandangan-pandangan yang berbeza dari mazhab atau sarjana yang lain.

2. Penting untuk diperhatikan dengan teliti apabila membaca perenggan-perenggan yang menerangkan sesuatu subjek untuk menyokong maksud yang mahu disampaikan penulis (dalam konteks ini ialah perihal perbezaan antara mukjizat, karamah dan sihir bagi seorang Nabi seperti yang dibahaskan dalam Muqaddimah Ibn Khaldun).

3. Beliau menyulam pandangan para mutakallimun seperti Asy-Sya’irah, para failasuf, dan juga Mu’tazilah; dalam menerangkan perihal perbezaan antara mukjizat, karamah dan sihir.

4. Pengalaman sebagai pembaca buat kali pertama (secara bersungguh-sungguh); aspek mempunyai asas kefahaman Usuluddin (mengenai ‘Aqidah, agama wahyu dll) sebagaimana yang difahami oleh Asy-Sya’irah dan failasuf harus diberi perhatian.

5. Jika tiada asas dalam hal-hal yang menentukan pegangan sebagai Muslim, dan juga artikulasi sesuatu fakta-pengalaman kalangan ahli failasuf, ia pasti menyukarkan kita untuk memahami apa yang mahu disampaikan oleh Ibn Khaldun bila berbicara mengenainya.

6. Saya fikir, dalam pembicaraan2 awal Ibn Khaldun pada bab Pendahuluan, beliau mempersiapkan asas-asas kefahaman bagi membicarakan hal-hal dan ciri-ciri kepemimpinan, kepentingan serta pengaruh pemimpin dalam sesebuah masyarakat.

7. Selain itu, turut dibicarakan asas-asas yang mempengaruhi sifat sesebuah masyarakat sama ada dipengaruhi persekitaran seperti jenis makanan dan juga benua/wilayah yang didiami.

8. Perkara 7 di atas, bila diteliti, Ibn Khaldun sudah membicarakan aspek ilmu psikologi Insan dan gelagat Insan (behaviour). Sebagai contoh, apabila beliau menyertakan usaha penyiasatan Mas’udi untuk mengapa ‘Negro’ (baca terjemahan DBP) mempunyai sikap mengambil mudah, mudah terusik dan terlalu mengikut perasaan.

9. Walau bagaimanapun, Ibn Khaldun tidak berpuas hati dengan usaha yang dilakukan al-Mas’udi kerana ia sekadar melaporkan kembali pendapat Galen dan al-Kindi. Bukankah hal ini juga menuntut untuk pembaca Ibn Khaldun meneliti pendapat2 Galen dan al-Kindi dalam hal ini?

Akan saya kongsikan lagi sebarang refleksi mengenai pembacaan di muka surat seterusnya.

Exxon Sudah Tahu Kesan Bahan Api Fosil Sejak 1970an Lagi

Pagi ini, saya terbaca sebuah lagi artikel mengenai Exxon. Kali ini ia mengenai  luahan hati seorang anak kepada seorang saintis, Dr. James F Black,[1] yang pernah bekerja di Standard Oil (kemudiannya bertukar kepada Esso dan sekarang Exxon).

Situasi mengetahui kebenaran tetapi menyembunyikannya, adalah suatu yang terkutuk bahkan dikecam di dalam ajaran agama yang saya anuti. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan keputusan yang akan memberi impak negatif kepada manusia sejagat.

Saya fikir, isu seumpama ini perlu dikongsi kepada khalayak Malaysia kerana:

Pertama, saya tahu, gerakan sivil kita belum mampu ke tahap mereka kerana untuk sampai ke tahap mereka, memerlukan koordinasi yang memakan kos (masa, tenaga dan wang) bukan kepalang banyaknya. Dan lebih penting ialah kesungguhan. PERSEDIAAN DIRI.

Kedua, walaupun begitu, kes yang berlaku di dunia Barat seperti ini adalah bukti bahawa terdapat hubungan yang erat antara syarikat2 korporat dan kerajaan pada satu-satu masa. Sesuatu polisi boleh sahaja diubah atau dikekalkan hanya melalui pelobian yang kuat dari pihak-pihak berharta seperti MNC (multinational company).

Ketiga, kita sebagai rakyat biasa, harus perkasakan diri dengan Ilmu dan Pengetahun, kepakaran perlu dibina dari sekarang untuk menghadapi ancaman seperti kes ini kerana Malaysia sudah memasuki era liberalisasi ekonomi yang semakin memberi muka kepada syarikat swasta dan korporat mencipta kekayaan, tambahan pula melalui ‘kenderaan’ seperti FTA dan TPPA. Orang biasa seperti kita harus persiapkan diri untuk mempertahankan diri disaat institusi kerajaan tidak mampu buat apa-apa melainkan hanya mampu menyindir kita yang kurang upayanya berbanding mereka.

Keempat, asas kepada perubahan holistik adalah DIRI (baca: ruh, aqal, nafs) kita sendiri. Seperti kes banjir kilat baru-baru ini, pihak SPRM telah buat siasatan dan mendapati TIADA UNSUR RASUAH dalam kontrak-kontrak pembinaan.[2] Tetapi, SPRM tidak boleh semak UNSUR2 RASUAH dalam DIRI INSAN. Merasuah diri dengan memberi keutamaan kepada kejahilan, harta dan pangkat.

Kelima, kerana saya sedar perkara-perkara di atas, saya kongsikan isu-isu sebegini. Ia bukan kes lokal, tapi ia penting dan menjadi kajian kes bagi setiap dari kita.

Selamat membaca.

Pautan: http://www.theguardian.com/commentisfree/2016/may/25/exxon-climate-change-greenhouse-gasses

Rujukan:

  1. Individu yang memberitahu pihak pengurusan tertinggi Exxon mengenai kesan rumah hijau pada tahun 1970an.
  2. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rasuah-bukan-punca-banjir-kilat-8211-ku-nan-1.334660

 

Hashtag #ExxonKnew adalah Tindakan Balas Masyarakat Berhadapan dengan Syarikat Korporat

‪#‎ExxonKnew‬ adalah hashtag kepada gerakan untuk menyelongkar kecuaian Exxon yang telah mengetahui (melalui saintis yang mereka upah dalam salah satu jabatan R&D mereka sendiri satu ketika dahulu) ancaman dan kesan penggunaan bahan api fosil tetapi mereka:

1. Mendiamkan hasil kajian tersebut yg ternyata bakal merugikan mereka di masa depan (future investment)

2. Tidak meneruskan pendanaan untuk saintis yang telah menemui hasil kajian tersebut.

3. Mengupah saintis lain untuk memberikan justifikasi yang mampu meragukan hasil saintis awal tadi sehingga climate change dan pencemaran akibat emisi karbon dijenamakan sebagai suatu yang ‘fraud’ sedangkan hasil kajian sebenar menunjukkan sebaliknya bahkan exxon banyak melabur untuk mengabsahkan apa yang boleh menguntungkan mereka.

Sebab itu, gerakan sivil di sana, berusaha bersatu dan mahu mendedahkan tipudaya Exxon (sebelum ini Esso) yang sangat mempengaruhi kuasa politik dan pembuatan keputusan di US.

Untuk melawan syarikat-syarikat gergasi seperti Exxon ini, bukan suatu yang mudah.

Keberanian sebegini pernah ditunjukkan oleh Rachel Carson yang menulis artikel secara istiqamah untuk menentang penggunaan racun pestisid. Kumpulan arikel beliau dikumpulkan menjadi sebuah buku yang amat mempengaruhi gerakan alam sekitar di Barat, berjudul Silent Spring.

Gerakan masyarakat sivil di Malaysia mungkin boleh terus menilai dan mempelajari dari dan ke arah mana mereka mahu tuju.

Asas perjuangan mereka berdasarkan ilmu pengetahuan.

Ini adalah refleksi saya apabila membaca pautan di bawah ini:

We got a letter from 13 members of Congress about our work to show #ExxonKnew. Here’s what it said:

Paul Hawken ‘Membuka Pintu’ Mengenal Sosok Yang Melandasi Perjuangan Aktivis Gerakan Alam Sekitar di Barat

Perjalanan bermula. Walau belum lagi bergelar pelajar formal mana-mana UA. Tapi setelah berbincang dengan guruku, aku menetapkan sesuatu untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.

Aku meneruskan pembacaan sekitar sejarah gerakan masharakat bagi mendapatkan keadilan sosial dan memelihara alam sekitar. Paul Hawken, setakat pembacaanku, telah menghubungkan aku kepada susur galur antara pemikiran yang mempengaruhi para aktivis alam sekitar di dunia Barat.

Antara yang menjadi ‘anchor’nya ialah Charles Darwin dan Ralph Waldo Emerson. Aku rasa, dengan menyenaraikan dua nama besar ini sudah cukup bakal memberatkan pengalaman pembacaan aku kelak. Paul Hawken bukan sahaja menamakan dua tokoh ini sahaja, malah turut menyatakan insna-insan yang terpengaruh dengan idea pemikiran mereka sehingga menjalankan kajian berpuluh tahun bagi mengabsahkan idea pemikiran yang telah disusun dalam karya-karya mereka.

Paul Hawken turut memperkenalkan seorang ‘iron lady’ dalam dunia penulisan dan gerakan alam sekitar iaitu Rachel Carson. Beliau yang menulis artikel secara tetap dalam sebuah akhbar sehingga ia dikumpulkan menjadi sebuah buku berjudul Silent Spring, telah menggoncangkan dunia korporat. Beliau menghubungkan kesan alam sekitar dengan kesihatan manusia akibat penggunaan DDT (racun serangga) yang semakin meluas pada ketika itu, sekitar tahun 1960-an. Karya penting beliau ini saya miliki, tetapi belum menyelesaikan pembacaannya. Ia suatu karya yang wajibn dihabiskan bacaannya pada tahun ini.

Karya mereka, bakal saya tekuni selepas ini dan saya sendiri tidak pasti adakah mempunyai ruang masa yang mencukupi untuk memahaminya kelak. Apapun, saya sudah memulakan tugas berat ini.

Karya di bawah telah saya miliki. Dari semasa ke semasa, jika berpeluang, saya kongsikan dapatan pembacaan dan refleksi kepada pembacaan tersebut.

51H7lRX0OML._SX308_BO1,204,203,200_

Ucapan buatku, SELAMAT MENDAPAT KEFAHAMAN.

Robbi Zidni Ilman.

Mesej Lestari Buat Warga Wilayah Persekutuan

image

Februari 1. Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Cuti peristiwa bagi penduduk Wilayah Persekutuan.

Tarikh ini disambut warganya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada yang kaya-raya dan ada juga yang miskin bandar. Kehidupan yang semakin menghimpit, mungkin membataskan aqal untuk melihat melangkaui hal-hal kekeluargaan – kerana keluarga sendiri belum dapat makan dengan cukup, inikan pula mahu ambil kisah hal orang lain?

Tetapi bukan bermakna mereka tidak cakna hal ehwal politik dan ekonomi tempatan. Kedua-dua hal tersebutlah antara faktor yang amat berpengaruh dan mencorak kehidupan mereka. Begitu juga hal-hal yang bersangkut-paut dengan alam sekitar. Masharakat abad ke 21 kini agak istimewa kerana tahap pendidikan yang semakin meningkat di samping pelbagai teknologi komunikasi baharu seperti komputer riba dan telefon pintar dan juga sarana media sosial seperti facebook, twitter dan lain-lain, menatijahkan masharakat yang lebih sensitif dengan ketidak adilan, korupsi, kezaliman dan kemungkaran yang berlaku dalam persekitaran mereka.

Sensitiviti ini perlu terus ditingkatkan atas dasar ilmu pengetahuan yang benar supaya menjadi warga yang lebih teliti, jujur dan bertanggungjawab dalam sebarang isu yang dibangkitkan.

Manusia Dan Bumi

Di dalam hal ehwal alam sekitar dan kesihatan Bumi, terdapat dua cabaran utama yang perlu diambil perhatian dan diselesaikan iaitu:

  1. Kesedaran bahawa Bumi semakin tenat; dan
  2. Melahirkan masharakat yang MAMPU AMBIL TINDAKAN berdasarkan kesedaran dan kefahaman yang dimiliki.

bumi

Usaha menyedarkan masharakat bahawa Bumi semakin tenat akibat perbuatan kita sendiri – selaku pengguna, adalah suatu yang penting – tapi sukar – pada masa kini. Masharakat harus tahu bahawa corak penggunaan seharian telah menyumbang kepada peningkatan purata suhu bumi – menjadikan permukaan Bumi semakin panas, sungai semakin kotor, udara semakin tercemar, paras laut semakin meningkat serta hakisan tebing laut semakin kerap dan pantas berlaku, turut juga menyumbang kepada kebuluran dan juga penguasaan syarikat-syarikat besar terhadap penduduk bumi. Bagaimana ia berlaku? Sukar untuk diterangkan secara terperinci dalam satu makalah pendek seperti ini. Akan tetapi, cukuplah digunakan beberapa contoh ringkas untuk membayangkan hubung kaitnya dengan corak penggunaan kita seharian.

Contoh ringkas, terutama berkaitan dengan corak penggunaan boleh dilihat dengan menjawab persoalan berikut – Bagaimana pencemaran alam boleh berlaku? Ia berlaku disebabkan pengguna yang gemar menggunakan plastik, polisterin, dan kaca sebagai bungkusan makanan atau barangan yang dibeli. Kegemaran ini disebabkan oleh kebiasaan dan juga ketiadaan pilihan lain. Pengguna tidak sedar apa yang akan berlaku sebaik sahaja bahan-bahan sisa tersebut selesai digunakan? Agaknya di mana kesudahan plastik dan polisterin yang digunakan? Tiada siapa yang mahu ambil kisah kerana menyangka bahawa tugas mereka sudah selesai sebaik sahaja membuangnya ke dalam tong sampah.

Menurut Dato’ Zainul Abidin Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), dalam satu program Pengasingan di Sumber dan Pengkomposan Bersama PPSPPA Negeri Johor dan Persatuan Keluarga Polis Johor, pada 2014 yang lalu, kadar kitar semula negara pada tahun 5% sahaja. (Berita Harian, 24 Ogos 2014)

Manakala bakinya menjadi timbunan sampah di tempat pelupusan sampah, dihanyutkan sungai hingga ke laut lepas, di bakar sehingga menghasilkan gas-gas berbahaya.

Oleh sebab itu, sebagai masharakat yang cakna dan sedar, pengguna harus mengetahui bahawa peningkatan populasi dalam satu-satu kawasan – seperti Wilayah Persekutuan, peningkatan sumber pendapatan isi rumah dan produksi barangan yang menjadikan plastik, kaca dan polisterin sebagai pembungkusnya, menyumbang kepada peningkatan kadar pencemaran alam seperti yang disebutkan di atas.

Kempen kesedaran alam sekitar akan terus dilaksanakan. Penulis percaya bahawa pendidikan yang holistik menjadi ‘senjata yang ampuh’ untuk melawan sifat ‘tidak peduli’ dalam masharakat dan kesedaran itu juga nanti mampu disalurkan tenaganya ke arah mempraktikkan dalam kehidupan seharian dan membantu menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sedia ada supaya kesegaran Bumi dapat dipelihara.

Tenatnya bumi adalah disebabkan insan sendiri. Jika masyarakat sedar tapi tidak ambil tindakan dengan mengubah corak penggunaan, ia tidak bermakna apa-apa. Umpama kita tahu daging busuk mengakibatkan keracunan makanan, tapi kita tetap memakannya. Bukankah itu tindakan yang tidak waras?

Begitu juga dengan situasi semasa. Bumi meminta kita bekerjasama dengannya. Kita harus ubah cara penggunaan kita pada hari ini. Sekiranya tidak, kita sebenarnya sedang membunuh diri.

Menjadi warga Wilayah Persekutuan yang bahagia menjadi idaman semua. Sekiranya corak penggunaan yang mesra alam dan insan dapat dipupuk, sungai dan udara yang bersih bukan suatu yang mustahil untuk kembali di sisi warga Wilayah Persekutuan.

Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan!

Tulisan Pasca 26 dan 27 Januari 2016: Akhirnya TPPA ‘ARROVED’ di Parlimen Malaysia!

26 dan 27 Januari 2016 adalah tarikh yang tidak akan dilupakan oleh rakyat Malaysia. Satu perjanjian gergasi yang disertai Malaysia beserta 11 buah negara yang lain, telah dipersetujui secara majority ahli parlimen untuk Malaysia menanda tanganinya.

Secara tepatnya; 127 Ahli Parlimen bersetuju manakala 84 Ahli Parlimen tidak bersetuju.

Kita boleh berbicara panjang perihal pro dan kontranya TPPA ini. Tetapi yang jelasnya, kerajaan Malaysia tidak cermat dalam proses mendapatkan info dari akar umbi berkenaan kewajaran dan kesediaan Malaysia sama ada untuk menyertai TPPA atau tidak.

Dua buah kajian yang dilakukan secara berasingan iaitu Analisis Kos dan Manfaat (khusus kepada SME dan Bumiputera) dilakukan oleh agensi TERAJU melalui konsultan bebas yang dilantik iaitu Pricewaterhouse Cooper (PwC) dan juga Analisis Kepentingan Negara oleh ISIS. Kedua-dua kajian ini menjadi asas untuk membuat keputusan sama ada Malaysia wajar sertai TPPA atau tidak. Isunya ialah, adakah kedua-dua kajian ini meliputi segala aspek untuk membuat keputusan kewajaran menyertai TPPA?

Tempoh 4 tahun siri perundingan TPPA mengundang pelbagai kontroversi. Antaranya ialah isu kerahsiaan. Sehingga selepas siri perundingan ke 17, barulah kerajaan Malaysia yang diwakili MITI, membuat Hari Terbuka TPPA untuk mendapatkan maklum balas rakyat mengenainya. Hadirin menjadi saksi pada hari tersebut, bahawa semua soalan yang dikemukakan adalah soalan dan luahan hati yang kecewa kerana sehingga tarikh tersebut (1 Ogos 2013), kerajaan masih tidak melaksanakan sesi konsultasi yang komprehensif dengan pihak-pihak pemegang taruh.

Dalam tempoh itu juga, tiada kajian yang mendasar menunjukkan bahawa Malaysia sudah bersedia untuk menanda tangani TPPA. Hal ini adalah satu kesilapan yang besar kerana keputusan yang bakal dibuat sudah pasti mengenai secara langsung kepada rakyat keseluruhannya.

Siri perundingan yang besar dan terakhir bertempat di Brunei, iaitu siri rundingan ke 19. Selepas daripada itu, tiada siri rundingan yang besar seumpamanya. Proses perundingan berjalan seperti biasa sama ada melalui tele siding ataupun mesyuarat-mesyuarat perundingan yang diadakan di tempat-tempat yang berbeza dalam satu masa bagi menyelesaikan pelbagai bab-bab penting.

5 Oktober 2015 juga merupakan tarikh penting sebagai petunjuk bahawa draf akhir perjanjian TPP sudah dimuktamadkan. Selepas itu, draf tidak boleh dipinda dan terpulang kepada kerajaan masing-masing untuk meneruskan penglibatan sebagai anggota TPP atau tidak.

Akhirnya, pada sidang parlimen khas TPPA bertarikh 26 dan 27 Januari 2016, telah memutuskan bahawa Malaysia akan menyertai TPPA.

Geledah Rak Buku

Banyak pengalaman yang boleh dinukilkan sepanjang tempoh 4 tahun mengenal TPPA dan perit jerih untuk memastikan kerajaan mengambil maklum akan kegusaran berasas yang dikemukakan oleh rakyat di pelbagai peringkat masyarakat. Tetapi, tidak perlulah saya menceritakan dalam penulisan kali ini.

Malam ini, saya melihat kembali rak buku di rumah dan mendapati saya banyak mengumpul dan membaca karya-karya dari Barat yang menyusun pengalaman mereka bahkan idea pemikiran bagi menghadapi cabaran ekonomi global melalui semangat globalisasi. Antaranya berjudul The Case against the Global Economy: And for A Turn Toward the Local”, sekumpulan makalah yang disusun oleh Jerry Mander dan Edward Goldsmith. Kumpulan makalah yang berupa analisis terhadap ekonomi global setebal 550 muka surat ini, ditulis oleh 43 orang intelektual awam yang berkecimpung dalam pelbagai bidang seperti kebudayaan, ekonomi, pertanian, alam sekitar dan lain-lain; yang mempersembahkan analisis bahawa perdagangan bebas dan globalisasi ekonomi menatijahkan suatu yang tidak seperti yang mereka janjikan.

Pengalaman yang berbeza dan saling melengkapi ini harus diperhatikan bagi generasi baharu terutamanya oleh generasi baharu negara-negara membangun dan dunia ketiga.

41kRAGzC4jL._SY344_BO1,204,203,200_

Karya-karya itu sedikit sebanyak, mempengaruhi saya untuk melihat siri-siri perjanjian perdagangan bebas melalui kaca mata yang bersifat kritikal.

Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun. Cita-cita murni para pemimpin adalah untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Untuk mencapai tahap tersebut, Malaysia perlu berdepan dengan pelbagai cabaran yang bukan kepalang.

Ketika nukilan ini dibuat, ada empat tahun lagi untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi – 2020. Pada masa yang sama, isu kemiskinan bandar, harga rumah yang melambung tinggi, ketegangan antara kelas masyarakat, menjadi hal yang menakutkan terutama bagi generasi muda. Kes rasuah yang belum menjadi kes rasmi, ada di merata-rata tempat dan sektor. Boleh sahaja ia dipertikaikan kerana tiada nombor dan faktanya, tetapi cuba bertanyakan hal ini kepada ahli-ahli perniagaan, pasti hal ini menjadi antara keluhan mereka.

Kita belum berbicara soal pembentukan masyarakat yang patriotik dan bijak kepenggunaannya. Juga aspek kebahagiaan dan ketenangan, terutama bagi penduduk bandar (urban).

Semua ini jika ditelusuri satu persatu, ia adalah cerminan pengalaman yang sudah dan masih sedang dilalui oleh negara Barat, terutama Amerika Syarikat sediri. Begitu juga negara-negara membangun dan dunia ketiga yang lain yang menjadi mangsa kerakusan syarikat-syarikat korporat.

Merancakkan Wacana Baharu di Malaysia

Ya. TPPA sudah dipersetujui oleh kerajaan untuk ditanda tangani. Dan ia juga adalah petanda bahawa wacana globalisasi dan liberalisasi akan semakin rancak dibahaskan oleh masyarakat bahkan para cendekiawan tanah air.

Bagi usahawan, dalam apa keadaan sekalipun, mereka wajib untuk terus bersedia menghadapi hari esok. Usahawan yang hebat adalah usahawan yang mampu mengadaptasi dalam pelbagai keadaan.

Bagi badan-badan penyelidik dan gerakan masyarakat; TPPA adalah ‘subject matter’ untuk dikaji dengan lebih lanjut sama ada ia berupa satu kejayaan atau kesengsaraan buat Malaysia pada masa depan.

Bagi rakyat biasa; tiada cara lain melainkan untuk terus bersedia menghadapi hari esok. Sekiranya ada keinginan untuk memangkah parti lain dalam PRU 14 kelak, terpulanglah tetapi ia bukanlah satu jaminan bahawa Malaysia akan bebas daripada makhluk-makhluk seperti TPPA. Ini hanya satu permulaan.

Untuk saya; tidak guna berputus asa. Boleh sahaja ‘frust menonggeng’ sepanjang masa, tapi hakikatnya, banyak lagi isu-isu fundamental yang memerlukan perhatian untuk membantu menyelesaikannya, baik untuk kebaikan keluarga, masyarakat, negara mahupun manusia sejagat.

Kebebalan insan itu melangkaui politik kepartian. Biar apa parti sekalipun, jika dihuni oleh insan yang bebal dan jahil, ia hanya akan merugikan rakyat Malaysia. Sebab itu, kebebalan yang perlu diselesaikan ialah kebebalan dan kejahilan diri sendiri.

Pendidikan adalah wadah paling ampuh untuk mendidik masyarakat supaya bersedia dengan segala macam cara licik dunia luar dan syarikat-syarikat korporat yang mehu membuka pasaran baharu di tempat kita.

Belajar dari dari tradisi kita dan juga pengalaman masyarakat Barat dalam menghadapinya.

Akhir kata, sebenarnya ia bukan wacana baharupun, tapi bagi masharakat terbanyak Malaysia, ia mungkin agak baharu.