Site Overlay

Usaha Khazanah Mengurus Kekayaan Melalui Penerbitan Sukuk

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) — Khazanah Nasional Bhd hari ini berjaya menawarkan serta menetapkan harga Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggjungjawab (SRI) sebanyak RM100 juta berjangka masa tujuh tahun yang bakal diterbitkan oleh syarikat khas diperbadankan di Malaysia, Ihsan Sukuk Bhd.

Terbitan yang merupakan lanjutan pelaksanaan Program Sukuk Ihsan berjumlah RM1.0 bilion, adalah pertama seumpamanya diluluskan di bawah rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Harga sukuk berkenaan ditetapkan pada panduan 4.30 peratus setahun dan telah dilanggan sepenuhnya daripada proses binaan bida.

“Pelbagai kumpulan pelabur termasuk yayasan, perbadanan, institusi perbankan, dana persaraan dan syarikat pengurusan aset telah melanggani sukuk itu,” kata sayap pelaburan kerajaan itu dalam satu kenyataan, Khamis.

Menurut Khazanah, hasil terbitan awal itu akan digunakan bagi usaha transformasi sekolah bawah di bawah Program Sekolah Amanah kendalian Yayasan AMIR yang dikenal pasti untuk 2015.

Yayasan AMIR adalah sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang diperbadankan Khazanah bagi membantu peningkatan akses kepada pendidikan berkualiti di sekolah-sekolah kerajaan menerusi Perkongsian Awam-Swasta dengan Kementerian Pelajaran.

Sukuk itu telah dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 18 Mei lepas.

“Kami gembira dengan penerbitan sukuk ini yang berjaya menyatukan sektor pendidikan dan kewangan Islam bersama-sama pelaburan tanggungjawab sosial menerusi struktur yang inovatif, sekaligus menyerlahkan contoh terbaik pelaburan berimpak dilaksanakan pada kadar amat kompetitif,” kata Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar.

Struktur sukuk yang selaras prinsip Islam Wakalah Bi Al-Istithmar, turut membuktikan usaha berterusan Khazanah memperkenalkan instrumen kewangan Islam yang inovatif dan berdaya maju.

CIMB Investment Bank Bhd bertindak sebagai pengatur tunggal manakala Amanie Advisors Sdn Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd merupakan penasihat Syariah bersama bagi program sukuk berkenaan.

— BERNAMA

Artikel boleh didapati di: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1141173

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2020 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes