Site Overlay

Hikayat Nusansia:Budaya Boikot

Charles_Cunningham_Boycott_(Vanity_Fair)

Charles C. Bycott

Boikot. Asal dari nama seorang Tuan tanah di Ireland, Charles Boycott. Akibat daripada beliau mengusir penyewa-penyewa tanahnya, dia menjadi mangsa kepada aplikasi ‘boikot’. Para pekerjanya berhenti bekerja, tiada yang mahu berurusan perniagaan dengannya, bahkan posmen pun tidak mahu menghantar surat. Itu ringkasan asal nama dan ¬†budaya boikot, bagi masyarakat Irish dan masyhur di dunia.

Kisah dalam peradaban Islam, lebih awal lagi; 3 orang sahabat Baginda Nabi SAW dipencilkan selama 40 hari sehingga wahyu surah At-Taubah ayat 118 turun di mana Allah memaafkan mereka – kerana tidak menyertai perang Tabuk. Bahkan lagi awal daripada itu ialah kisah seperti yang dicatatkan dalam al-Quran, Surah Yusuf ayat 59 dan 60.

Masyarakat Nusansia adalah masyarakat prihatin. Sebut sahaja, negara mana yang ditimpa bencana atau diserang musuh yang zalim, maka ramai yang berbondong-bondong menghulurkan bantuan; baik berupa wang ringgit, tenaga dan masa. Selain itu, budaya memboikot turut menjadi pilihan sebagai tanda protes kepada puak yang melakukan kezaliman. Sebagai contoh ialah kezaliman Israel ke atas saudara-mara kita di Palestin.

Kesan zahir yang boleh dilihat, secara umumnya, boikot pada hari ini dilakukan untuk melumpuhkan aktiviti perekonomian sesuatu puak yang terlibat. Pemboikotan produk atau perkhidmatan tersebut dipercayai mampu melumpuhkan perniagaan dan ekonomi pihak yang terlibat. Contoh kes nyata ialah McDonald; antara mangsa pemboikotan produk Amerika Syarikat.

Mengapa boikot? Kerana benci. Tidak puas hati. Tiada cara lain. Jadi boikot menjadi pilihan untuk melemahkan musuh dan sebagai tanda protes.

Masyarakat Nusansia suka memboikot. Ada yang memboikot untuk selamanya, dan ada yang boikot secara bermusim.

Sedang masyarakat ini memboikot, muncul pandangan yang menyanggah usaha tersebut. Rasionalitinya; ‘orang kita’ akan hilang tempat kerja jika boikot diteruskan kerana bankrup. Maka timbul juga hujah-hujah dari sudut pandang Islam apabila meneliti isu boikot ini. Akhirnya, usaha boikot ini menjadi hangat-hangat tahi ayam dan bersifat bermusim.

Masyarakat keliru dan akhirnya hilang rasa sensitiviti boikot. Produk-produk boikot digunakan tanpa rasa apa-apa yang salah.

drama-sahara

Jika McD adalah mangsa boikot akibat peperangan di Palestin, kisah akan wujudnya sentimen boikot drama juga mula kedengaran di wilayah Nusansia ini, apabila sebuah drama, yang menampilkan wanita berpurdah berlakon dan memegang lelaki bukan mahramnya. Temanya seakan-akan ‘biah solehah’, tetapi hakikatnya biah yang songsang. Keliru dan celaru. Ini faktor mengapa drama ini dicadangkan untuk diboikot. Adakah seantero Nusansia akan memboikotnya? Atau menganggap ‘tiada apa-apa yang salah’ dengan drama tersebut?

Masyarakat Nusansia harus memahami senjata boikot ini secara menyeluruh. Tidak terpecah-pecah. Sekiranya ia terpecah-pecah, maka sampai bila-bila pihak anti-boikot akan terus dengan pendapatnya dan pihak yang memboikot akan tetap dengan pandangannya.

Mungkin boleh dianggap usaha boikot ini adalah peringkat awal atau ‘defensive’. Peringkat seterusnya ialah menyediakan alternatif dan alternatif ini bukan bersifat ikutan. Ideanya; jika mahu boikot McD, maka jangan kita buat sebuah restoran seperti McD; yang bezanya adalah pemilik. Alternatif yang dipilih harus dapat mengekalkan budaya masyarakat setempat dan tidak memudaratkan kesihatan.

Boikot yang sebenar lahir dati hati yang faham. Bukan sangat sebab faktor luaran atau ‘disuruh’ boikot.

Budaya boikot di Nusansia harus diislahkan kefahamannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2020 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes