Keluarga

Monolog Hati di Masa Suram

Tahun 2016 sudah masuk hari ke 12 di bulan Januari.

Cabaran semakin dirasai.

Melihat berita sana-sini berita mengenai isu kos sara hidup yang semakin meningkat; isu VSS, diberhentikan kerja, samun menyamun yang semakin menjadi-jadi, kekeliruan Muslim utnuk fahami fungsi diri, ketegangan antara kaum yang sedang marak umpama api dalam serkam; ia agak menyesakkan jiwa. Tapi itu adalah kehidupan, paling tidak warna-warni kehidupan yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

Tetapi ada ubat mendasar yang jarang dibincangkan secara terbuka kerana ia melibatkan hati unit atau individu bernama Insan.

Apa dia?

Hubungan dengan Allah; Pencipta Insan. Juga tentang bagaimana kita melihat kehidupan yang sedang berlangsung di hadapan kita.

Walau bagaimana sesak pun kehidupan Insan di dunia ini, ubatnya adalah kembalikan hati kepada empunya pencipta. Pasrahkan diri menghadapi cabaran-cabaran hidup-sebagai asas menyusun atur menghadapinya.

Memang ia bukan mudah, tetapi dengan cara itu, ia umpama satu butang RESET untuk melihat kedudukan kita di sisi Pencipta.

Sebab itu, bila dibuat pemerhatian, orang berharta belum tentu tenang, orang miskin juga belum tentu tidak bahagia. Apakah titik bagi perbezaan antara dua darjat duniawi ini?

Mungkin itu yang dimaksudkan dengan rasa QANA’AH. Rasa mencukupi tapi terus perbaiki diri. Rasa begitu menjadikan kita tidak gelisah. Tiada rasa Qana’ah menjadikan kita gelisah dan serba tidak kena. nafs meronta-rontah dan seolah-olah hilang prioriti kehidupan tentang ke mana mahu dibelanjakan harta. Bukankah kesesakan jiwa ini lebih mendatangkan derita? Derita walau banyak harta.

Dunia ini bukan hanya berkenaan dengan wang ringgit dan harta benda. Ia juga meliputi hubungan kekeluargaan, sesama Insan, rasa selamat hidup dalam sesebuah komuniti, mempunyai penghargaan yang tinggi terhadap budaya, bahasa dan seni kreatif. Kehidupan Insan lebih cantik apabila diberi fokus kepada aspek saling menyantuni sesama Insan dan Alam.

Ketika solat, itu adalah saat paling utama dalam hidup. iaitu apaila Diri Insan menghadap Pencipta. Ia umpama laporan harian yang perlu sentiasa di kemaskini paling kurang 5 kali sehari. Saat solat juga adalah keadaan paling membahagiakan dalam hidup. Kerana kita sedang berhadapan dengan Pencipta kesusahan dan kesenangan yang sedang dihadapi. Dia yang memberikan susah dan senang untuk kita urusi dengan cara terbaik. Lalu Dia juga yang akan mengangkat rasa susah itu dan disusuli dengan rasa jiwa lapang-senang-bahagia di saat dan masa yang Dia tentukan.

Sebab itu solat itu penting dalam hidup Insan. Ia nadi kehidupan Insan abad ke 21 ini; di saat ancaman luar bermerajalela, Insan itu umpama terkapai-kapai akibat ancaman dari luar tanpa disedari, jawapannya ada dalam diri insan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *