Mesej Lestari Buat Warga Wilayah Persekutuan

image

Februari 1. Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Cuti peristiwa bagi penduduk Wilayah Persekutuan.

Tarikh ini disambut warganya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada yang kaya-raya dan ada juga yang miskin bandar. Kehidupan yang semakin menghimpit, mungkin membataskan aqal untuk melihat melangkaui hal-hal kekeluargaan – kerana keluarga sendiri belum dapat makan dengan cukup, inikan pula mahu ambil kisah hal orang lain?

Tetapi bukan bermakna mereka tidak cakna hal ehwal politik dan ekonomi tempatan. Kedua-dua hal tersebutlah antara faktor yang amat berpengaruh dan mencorak kehidupan mereka. Begitu juga hal-hal yang bersangkut-paut dengan alam sekitar. Masharakat abad ke 21 kini agak istimewa kerana tahap pendidikan yang semakin meningkat di samping pelbagai teknologi komunikasi baharu seperti komputer riba dan telefon pintar dan juga sarana media sosial seperti facebook, twitter dan lain-lain, menatijahkan masharakat yang lebih sensitif dengan ketidak adilan, korupsi, kezaliman dan kemungkaran yang berlaku dalam persekitaran mereka.

Sensitiviti ini perlu terus ditingkatkan atas dasar ilmu pengetahuan yang benar supaya menjadi warga yang lebih teliti, jujur dan bertanggungjawab dalam sebarang isu yang dibangkitkan.

Manusia Dan Bumi

Di dalam hal ehwal alam sekitar dan kesihatan Bumi, terdapat dua cabaran utama yang perlu diambil perhatian dan diselesaikan iaitu:

  1. Kesedaran bahawa Bumi semakin tenat; dan
  2. Melahirkan masharakat yang MAMPU AMBIL TINDAKAN berdasarkan kesedaran dan kefahaman yang dimiliki.

bumi

Usaha menyedarkan masharakat bahawa Bumi semakin tenat akibat perbuatan kita sendiri – selaku pengguna, adalah suatu yang penting – tapi sukar – pada masa kini. Masharakat harus tahu bahawa corak penggunaan seharian telah menyumbang kepada peningkatan purata suhu bumi – menjadikan permukaan Bumi semakin panas, sungai semakin kotor, udara semakin tercemar, paras laut semakin meningkat serta hakisan tebing laut semakin kerap dan pantas berlaku, turut juga menyumbang kepada kebuluran dan juga penguasaan syarikat-syarikat besar terhadap penduduk bumi. Bagaimana ia berlaku? Sukar untuk diterangkan secara terperinci dalam satu makalah pendek seperti ini. Akan tetapi, cukuplah digunakan beberapa contoh ringkas untuk membayangkan hubung kaitnya dengan corak penggunaan kita seharian.

Contoh ringkas, terutama berkaitan dengan corak penggunaan boleh dilihat dengan menjawab persoalan berikut – Bagaimana pencemaran alam boleh berlaku? Ia berlaku disebabkan pengguna yang gemar menggunakan plastik, polisterin, dan kaca sebagai bungkusan makanan atau barangan yang dibeli. Kegemaran ini disebabkan oleh kebiasaan dan juga ketiadaan pilihan lain. Pengguna tidak sedar apa yang akan berlaku sebaik sahaja bahan-bahan sisa tersebut selesai digunakan? Agaknya di mana kesudahan plastik dan polisterin yang digunakan? Tiada siapa yang mahu ambil kisah kerana menyangka bahawa tugas mereka sudah selesai sebaik sahaja membuangnya ke dalam tong sampah.

Menurut Dato’ Zainul Abidin Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), dalam satu program Pengasingan di Sumber dan Pengkomposan Bersama PPSPPA Negeri Johor dan Persatuan Keluarga Polis Johor, pada 2014 yang lalu, kadar kitar semula negara pada tahun 5% sahaja. (Berita Harian, 24 Ogos 2014)

Manakala bakinya menjadi timbunan sampah di tempat pelupusan sampah, dihanyutkan sungai hingga ke laut lepas, di bakar sehingga menghasilkan gas-gas berbahaya.

Oleh sebab itu, sebagai masharakat yang cakna dan sedar, pengguna harus mengetahui bahawa peningkatan populasi dalam satu-satu kawasan – seperti Wilayah Persekutuan, peningkatan sumber pendapatan isi rumah dan produksi barangan yang menjadikan plastik, kaca dan polisterin sebagai pembungkusnya, menyumbang kepada peningkatan kadar pencemaran alam seperti yang disebutkan di atas.

Kempen kesedaran alam sekitar akan terus dilaksanakan. Penulis percaya bahawa pendidikan yang holistik menjadi ‘senjata yang ampuh’ untuk melawan sifat ‘tidak peduli’ dalam masharakat dan kesedaran itu juga nanti mampu disalurkan tenaganya ke arah mempraktikkan dalam kehidupan seharian dan membantu menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sedia ada supaya kesegaran Bumi dapat dipelihara.

Tenatnya bumi adalah disebabkan insan sendiri. Jika masyarakat sedar tapi tidak ambil tindakan dengan mengubah corak penggunaan, ia tidak bermakna apa-apa. Umpama kita tahu daging busuk mengakibatkan keracunan makanan, tapi kita tetap memakannya. Bukankah itu tindakan yang tidak waras?

Begitu juga dengan situasi semasa. Bumi meminta kita bekerjasama dengannya. Kita harus ubah cara penggunaan kita pada hari ini. Sekiranya tidak, kita sebenarnya sedang membunuh diri.

Menjadi warga Wilayah Persekutuan yang bahagia menjadi idaman semua. Sekiranya corak penggunaan yang mesra alam dan insan dapat dipupuk, sungai dan udara yang bersih bukan suatu yang mustahil untuk kembali di sisi warga Wilayah Persekutuan.

Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *