Site Overlay

Apa Faktor (karya-karyawan) Malaysia kalah dengan Indonesia?

Pada ketika saya memberi komentar ini, Indonesia sedang membuat persiapan terakhir sebelum beraksi sebagai ‘Market Focus’ di London Book Fair 2019 pada 12 hingga 14 Mac 2019.

Artikel BH yang dikongsikan di bawah ini adalah artikel yang diterbitkan pada 12 Jun 2016. Sehingga kini, ia belum dapat direalisasikan. Kita sedar isu, misi dan visi yang mahu dicapai — dalam konteks ini berkaitan dengan Pengantarabangsaan Karya dan Karyawan — tetapi kita (nampak gaya) belum berkeupayaan dan tidak cukup sarana untuk mencapainya.

Saya anggap artikel ini penting dan terpanggil untuk di bawa ke hari ini sebagai bahan bacaan dan muhasabah penting.

——-

Sumber: https://www.bharian.com.my/node/163288

Sastera Malaysia kalah dengan Indonesia

APABILA sastera Indonesia meraikan Eka Kurniawan yang muncul sebagai pengarangnya yang pertama berada dalam senarai panjang Hadiah Man Booker 2016 menerusi Man Tiger sebenarnya Malaysia sudah terlebih dulu ke hadapan.

Malah ketika Eka memenangi Anugerah Pilihan Pembaca 2016 menerusi Beauty is a Wound, Malaysia sudah menikmati kemanisan itu apabila Tan Twan Eng memenangi Hadiah Man Booker Asia 2012.

Twan Eng dan seorang lagi pengarang Malaysia Tash Aw pernah berada dalam senarai panjang juga senarai pendek Man Booker pada 2003, 2007, 2009, 2012 serta 2013.

Namun kemenangan Eka lebih mengagumkan kerana beliau menulis dalam bahasa Indonesia sebelum diterjemah ke bahasa Inggeris. Malah, rata-rata karya pengarang Indonesia yang mendapat perhatian di Barat ditulis dalam bahasa ibunda sebelum diterjemahkan.

Pengarang kontemporari

Misalnya novel Leila S Chudori yang selalu dirujuk sebagai antara pengarang kontemporari Indonesia penting, iaitu Home diterjemah oleh John H McGlynn. Begitu juga The Question of Red oleh Laksmi Pamuntjak sedangkan Twan Eng dan Aw, kedua-duanya menulis dalam bahasa Inggeris.

Senario itu menghadirkan persoalan kedudukan karya terjemahan bahasa Melayu? Apa jadi karya yang saban tahun diangkat sebagai pemenang novel terbaik Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM)? Apa jadi dengan deretan karya sasterawan negara (SN) yang apakah cukup dibincangkan dalam seminar SN? Atau sekadar buku teks sekolah?

Dalam artikel yang diterbitkan di The Guardian, ada pandangan menyebut antara faktor sastera Indonesia lewat dikenali oleh masyarakat antarabangsa khususnya Inggeris adalah disebabkan negara itu bukan bekas koloni British hingga tidak berada pun dalam ‘imaginasi’ dunia penerbitannya.

Jika hujah itu dianggap sah, bagaimana pula dengan Malaysia? Apakah sebenarnya yang membataskan penterjemahan karya Malaysia ke bahasa Inggeris?

Penterjemahan sangat baik

Perkembangan Indonesia dalam penterjemahan sangat baik kerana secara tidak langsung ia juga mencuit sastera Malaysia. Seperti novelis Korea Selatan, Han Kang, muncul sebagai pemenang Hadiah Man Booker baru-baru ini kita tertanya-tanya apakah kita kekurangan karya yang baik untuk diterjemahkan?

Asia khususnya ASEAN memang terkebelakang dalam soal ini. Mungkin benua ini mengambil masa lama membebaskan diri daripada kesan penjajahan dan peperangan lalu lebih memberikan tumpuan membina negara dan mengejar transformasi ekonomi lalu terlupa perlunya pengisian budaya serta jiwa.

Atau apakah Barat mungkin hanya berminat dengan karya menentang kerajaan seperti novelis China, Ma Jian, Yan Lianke atau Ha Jin yang meskipun menulis dalam bahasa Inggeris tetapi masih terikat pada nostalgia komunisme di Tanah Besar.

Dalam kemungkinan itu bagaimanapun, novelis Jepun, Korea Selatan, India dan Turki sudah lama mendapat perhatian Barat. Haruki Murakami misalnya nama yang gemar disebut sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan saban tahun. Malah novelis China, Mo Yan yang dianggap prokerajaan diangkat sebagai penerimanya pada 2012.

Bagaimanapun sesudah 59 tahun merdeka, usaha penterjemahan sudah mula rancak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Selain digerakkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), penerbit swasta seperti Buku Fixi juga agresif berbuat demikian.

Namun untuk melihat karya terjemahan terbitan Malaysia memenangi Man Booker barangkali tidaklah pada masa terdekat ini sekiranya mengambil kira perkembangan dalam negara sendiri.

–TAMAT–

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2019 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes