Site Overlay

Tahu tak, Bersih kita akan Bawa ke Syurga?

Scott McIntyre, seorang jurnalis sukan bola sepak di Jepun, berkata kepada BBC:

“It’s not just part of the football culture but part of Japanese culture.”

Kata-kata ini diungkapkan ketika merespons tindakan para penyokong bola sepak Jepun setelah menang perlawanan pembukaan antara Jepun dan Colombia, Piala Dunia edisi Rusia 2018. Jepun menang ‘dua dalam satu’:

1. Menang perlawanan 2 – 1; dan
2. Menang nilai murni kerana kutip sampah di stadium tempat perlawanan berlangsung.

Sudah diketahui sikap pembersih orang Jepun. Tidak kisah, dia seorang pencinta bola sepak, seorang pensyarah mahupun seorang pelancong ke negara orang.

Beberapa hari lepas, di instagram, sepasang suami isteri berkongsi gambar mereka membersihkan sebuah taman permainan di Pulau Pinang dengan mengguna tagar #trashtag.

Menyentuh aspek kebersihan, Malaysiapun sedang giat mempromosi kitar semula, kempen fikir dahulu sebelum buang, dan emosi kita semakin sensitif bila mendengar pihak-pihak yang mencemarkan sungai.

Di Taiping, Perak, Husin bin Kasim ambil inisiatif membersihkan bandar Taiping setiap hari tanpa disuruh atau dibayar gaji. Apabila ditanya, kenapa buat? Jawabnya, dia suka lihat Taiping bersih dan mahu buat dengan cara tersendiri.

Ini semua tanda kesedaran yang manusia sebenarnya tak mahupun hidup dalam suasana persekitaran yang kotor.

Persoalannya, saban hari kita dengar khabar-khabar tersebut, adakah ia membantu kita untuk berubah daripada pembuang sampah merata-rata kepada membuang di tempat yang betul, daripada mengguna straw pakai buang kepada mengguna straw alternatif guna berkali-kali, daripada beli barang di pasaraya mengguna plastik pakai buang kepada berinisiatif bawa ‘totebeg’ dari rumah, dan pelbagai inisitif lain.

Adakah khabar-khabar itu membantu kita mengubah tabiat kehidupan supaya menjadi lebih bertamadun dan mentaati hadis berikut?

Daripada Abi Malik al-Harith bin ‘Asim al-Asy’ari, berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Kebersihan itu sebahagian daripada iman, Alhamdulillah eberatkan timbangan, subhanallah dan alhamdulillah kedua-duanya memenuhi ruang di antara langit dengan bumi. Soalat itu adalah cahaya, sedekah itu adalah bukti, sabar itu adalah sinaran dan al-Quran itu adalah hujah. Setiap manusia bekerja; maka ada yang menjual dirinya dan ada yang membebaskan dirinya dengan bekerja keras untuk keselamatan atau kecelakaannya.”

(Riwayat Muslim No. 223, Dimuat sebagai Hadith ke-23 dalam Hadis 40 Imam Nawawi)

Salah satu aspek yang disentuh adalah KEBERSIHAN. Bersih menurut ajaran Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW adalah bersih zahir dan batin.

Zahir kita adalah jasad, tempat tinggal, masjid, taman, persekitaran.

Batin kita; wajib bersih daripada hasad, iri hati, riya’, sum’ah, takabbur, nifaq, shirik.

Hari-hari Muslim wajib bersih dan suci diri.

Untuk itu, simpan tarikh 21 September 2019. Akan disambut sebagai ‘WorldCleanupDay’. Kempen ini sedang berlangsung untuk persediaan menjadi insan yang bertanggungjawab kepada sampah masing-masing.

Kita ada pilihan untuk memilih keputusan berikut:
NAMPAK SAMPAH, ANGKAT!

Dan untuk apa keputusan itu diambil. tepuk dada, tanya iman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2019 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes