Site Overlay

Sedetik Mengenali Alessandra Sanguinetti

Alessandra Sanguinetti ©Photo La Gacilly

Nama Alessandra Sanguinetti memang asing bagi kita. Tetapi, sebagai jurufoto, keberadaan beliau dalam dunia fotografi, tidak boleh diketepikan. Oleh kerana itu, saya ingin berkongsi serba ringkas mengenai beliau.

“In my life I associate photography much more with poetry and music. Impossible to explain away it’s magnificence, or the longing and it produces.” A. Sanguinetti

Petikan di atas adalah jawapan di akhir sesi temubual antara beliau dengan Mark Alice Durant yang diterbitkan di saint-lucy.com.

Saya tidak ingat, bila dan bagaimana saya mengenali Sanguinetti. Yang pasti, beliau seorang jurufoto Magnum Photos, sebuah agensi foto yang terkenal. Mungkin dari situ, saya kenal Sanguinetti.

Secara ringkasnya, beliau dilahirkan di New York pada 1969. Setahun selepas itu,beliau dan keluarganya menetap di Argentina sehingga tahun 2003, sebelum berhijrah semula ke Amerika Syarikat.

Alessandra Sanguinetti dikenali melalui pelbagai projek fotografinya yang prolifik. Antara yang paling masyhur ialah projek seumur hidup beliau dengan dua orang remaja perempuan bernama Guille dan Belinda yang tinggal di wilayah luar bandar Boeno Aires, Argentina.

Setelah bergelar graduan daripada International Centre for Photography (ICP), beliau menjalankan projek bersama dua orang kanak-kanak di Argentina bernama Guille dan Belinda – mereka bedua sepupu. Walaupun secara rasmi, projek tersebut berjalan selama 5 tahun, namun bagi Sanguinetti, ia adalah projek seumur hidup. Beliau tidak meninggalkan mereka berdua walaupun projek tersebut telah selesai secara rasmi.

Di sini, saya belajar sesuatu. Sanguinetti menunjukkan kepentingan mempunyai hubungan yang baik bersama subjek dalam satu-satu projek fotografi.

Bersama Guille dan Belinda, beliau menyaksikan kanak-kanak itumembesar sehinggalah mereka mendirikan rumah tangga. Sebagaimana fizikal mereka berdua berubah menjadi dewasa, begitu juga sudut pandang mereka. Jika semasa kanak-kanak, mereka berdua tidak berapa kisah tentang banyak perkara, tetapi setelah semakin dewasa, sudut pandang mereka tentang rupa paras dan privasi kehdupan, semakin mengambil tempat. Sebagai jurufoto, Sanguinetti memahami perubahan yang berlaku dan beliau sensitif dengan perubahan-perubahan tersebut.

Melalui projek tersebut, Sanguinetti menerbitkan karya berjudul ‘The Adventures of Guille and Belinda and the Enigmatic Meaning of their Dreams’ (Nazraeli, 2010). Set foto ini mencerita hubungan rapat dua orang gadis di luar bandar Argentina yang akrab, berkongsi dunia fantasi mereka sebagai anak gadis luar bandar, dan bagaimana mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan. Sangunetti menjelaskan, setiap kali sesi rakaman foto dibuat, beliau memberi kebebasan kepada Guille dan Belinda untuk sama-sama terlibat dalam sumbang saran menghasilkan foto-foto yang menarik. Mereka akan sama-sama menetapkan tema dan menyediakan prop yang diperlukan, setakat apa yang ada.

Kemudian pada 2020, beliau menerbitkan buku fotonya berjudul ‘The Adventures of Guille and Belinda and The Illusion of an Everlasting Summer’ (Mack, 2020). Ini adalah siri kedua berupa kemaskini kehidupan dua kanak-kanak tadi setelah menempuh alam dewasa.

Sumber:
IG: @alessandra_sanguinetti

Selain daripada projek ini, satu lagi projek fotografi yang menarik perhatian berkait dengan situasi semasa yang sedang berlaku di Palestin. Kali pertama pada 2003-2004, bertempat di Kem pelarian Aida dan Pusat Lajee, melalui kenalan rapatnya, Lori Allen. Seterusnya pada 2020, Sangunetti ke Palestin melalui Save The Children (STC), sebuah pertubuhan bukan kerajaan berpusat di Toronto, Canada. Bersama STC, Sanguinetti merakam foto-foto kanak-kanak dan wanita di sana yang dirakam dengan tema “The Female Experience of War” sempena Hari Wanita Sedunia, untuk mendokumentasikan pengalaman-pengalaman unik yang dihadapi oleh kanak-kanak dan remaja perempuan di negara yang sedang dijajah seperti Palestin. Sebahagian foto tersebut boleh dihayati di laman sesawang Magnum Photos dan akaun Instagram peribadi Sanguinetti.

Berbalik kepada petikan yang dikongsikan pada perenggan awal nukilan ini, menarik bila mendapat tahu bahawa beliau mula mendapat pendedahan awal tentang dunia fotografi di rumah beliau.

 Seawal 9 tahun, beliau membelek buku-buku foto atau ‘coffee book’ milik ibunya seperti buku foto karya David Seymour, Dorothea Lang, Jacque-Henri Lartigue, dan buku bukan fiksyen berjudul Winsconsin Death Trip (sebuah buku foto oleh Charles Van Schaick yang dirakam sempena laporan-laporan berita yang dihasilkan berkaitan dengan kehidupan masyarakat luar bandar yang hidup dalam tekanan, jenayah, penyakit mental dan proses perbandaran). Beliau tidak berapa pasti bagaimana buku-buku itu dimiliki ibu bapanya, tetapi melalui buku-buku foto tersebutlah beliau mula menyemai minat untuk ceburi dunai fotografi.

Kita boleh lihat pengaruh bahan bacaan di rumah yang telah mempengaruhi hidup Puan Guru Fotografi ini, sejak dari kecil. Seperkara perlu disebutkan bahawa ibu bapa beliau bukan seorang jurufoto. Beliau menjadi jurufoto kerana persekitaran yang menyokong dan mendukung beliau untuk sampai ke tahap hari ini.

Selain itu, bersama sahabat remaja beliau, Maria, mereka berlumba-lumba merakam foto terbaik masing-masing dan cuba membandingkannya dengan foto-foto yang dirakam oleh Tuan Guru Fotografi seperti Sabastiao Salgado.

Betapa persekitaran dapat menyumbang kepada pembentukan peribadi kanak-kanak seperti Alessandra Sanguinetti, semasa beliau masih kanak-kanak.

Sumber:

  1. https://saint-lucy.com/
  2. Akaun IG: @alessandra_sanguinetti
  3. https://www.magnumphotos.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © 2021 ALIFF BASRI. All Rights Reserved. | Catch Vogue by Catch Themes