Masyarakat Cakna Tentang Krisis Alam Sekitar, Tapi…

Isu Bauksit di Kuantan, tanah runtuh di lebuh raya karak, banjir lumpur dan tanah runtuh di tanah tinggi Cameron Highland dan banyak lagi krisis alam sekitar yang saban minggu terus dihidangkan melalui media masa, adalah petanda bahawa Bumi sedang memberi amaran keras manusia. Ketika sesuatu krisis itu berlaku, maka berpusu-pusu orang mengambil tahu akan hal tersebut.

Media-media sosial seperti Facebook, di penuhi dengan perkongsian-perkongsian perihal amukkan Bumi terhadap perlakuan manusia ke atasnya, tetapi ia berlaku secara bermusim. Mungkin kerana sifat media sosial itu sendiri yang bersifat sini dan terkini, mengakibatkan perkara asas kepada sesuatu isu itu gagal difahami ataupun dihadam dengan baik untuk menjadi panduan para pengguna media sosial.

Sifat manusia yang lebih banyak memberi fokus kepada isu semasa semata-mata tanpa mahu memahami akar permasalahan, adalah suatu sifat yang merugikan. Ia langsung tidak memberikan nilai tambah selain hanya menunjukkan bahawa kononnya masyarakat kita sudah berjaya mengikis sikap ‘tak pedulisme’. Sedangkan hakikatnya, ia adalah gambaran kepada jiwa manusia di tahap sekadar mahu mencari populariti, nama dan pangkat, dan berkonsepkan untung-rugi diri semata-mata.

Oleh sebab itu, tidak pelik sekiranya memang ada ilmuan Barat mahu pun Muslim, menyatakan bahawa teknologi (contohnya: kemudahan media social seperti Facebook), hanya menjadikan manusia itu semakin bebal dan alpa dengan hakikat kejadian diri. Manusia kian lupa tujuan hidup dan peranannya dalam masyarakat dan dunia jagat. Bahkan teknologi itu sendiri umpama tempat berseronok semata-mata.

Sungguh, ini merupakan malapetaka yang terzahir di zaman kian canggih hari ini.

Kembali kepada isu Bauksit dan krisis alam sekitar yang lain. Bumi ini ada satu sifat; yakni jujur. Penciptaan Bumi adalah menifestasi kepada Keadilan dan Kebijaksanaan Penciptanya. Bumi adalah makhluk yang jujur.

Tindak balas yang diberikan Bumi terhadap setiap apa yang berlaku padanya berlaku secara aktif. Kita ambil contoh mudah, pokok di hutan berperanan besar untuk menyeimbangkan suhu bumi, menjadi kawasan tadahan air untuk kegunaan manusia dan flora serta fauna yang hidup di hiliran, mengelakkan daripada berlakunya hakisan tanah, dan pelbagai lagi manfaat yang dapat dinikmati oleh semua kehidupan baik di darat mahupun di air.

Walau bagaimanapun, semua manfaat itu akan berubah menjadi malapetaka apabila aktiviti pembalakan dilakukan secara tidak terkawal. Pembalakan mengakibatkan air hujan yang turun akan menghakis tanah, seterusnya boleh menyebabkan saliran air tersumbat akibat daripada bendasing yang terikut sama aliran air yang deras. Apabila ia terkumpul dan membentuk empangan, sampai satu ketika pada kadar tertentu, empangan semulajadi itu akan pecah dan segala bendasing yang menyebabkan ia tersumbat sebelum itu akan mengalir deras umpama tsunami dan membantai perkampungan berdekatan, dan jalan raya berhampiran. Pada ketika itu, malapetaka itu menimpa semua tanpa mengira sama ada yang terlibat dengan penerokaan tersebut ataupun tidak. Ia tidak akan berlaku secara tiba-tiba tanpa sebab yang mengakibatkannya.

Begitulah tindak balas Bumi tehadap suatu paksaan yang dikenakan kepadanya. Ada konsep ‘give and take’.

Oleh kerana itu, manusia perlu tahu apa sebabnya berlaku krisis alam sekitar. Apakah faktor utama dan factor-faktor lain yang menatijahkan berlakunya pencemaran akibat perlombongan Bauksit di Kuantan, tanah runtuh dan banjir lumpur, jerebu, cuaca panas dan tidak menentu yang keterlaluan dan pelbagai lagi krisis alam yang terus berlaku sehingga kini.

Ia memang merupakan takdir, tapi jika manusia mengenal alam dan fungsi diri serta tanggungjawabnya ke atas alam, risiko-risiko dan krisis yang disebutkan di atas, pasti tidak berlaku.

Dalam artikel-artikel seterusnya, saya akan kongsikan lebih mendalam perihal alam sekitar, Insan dan kepenggunaan.

Monolog Hati di Masa Suram

Tahun 2016 sudah masuk hari ke 12 di bulan Januari.

Cabaran semakin dirasai.

Melihat berita sana-sini berita mengenai isu kos sara hidup yang semakin meningkat; isu VSS, diberhentikan kerja, samun menyamun yang semakin menjadi-jadi, kekeliruan Muslim utnuk fahami fungsi diri, ketegangan antara kaum yang sedang marak umpama api dalam serkam; ia agak menyesakkan jiwa. Tapi itu adalah kehidupan, paling tidak warna-warni kehidupan yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

Tetapi ada ubat mendasar yang jarang dibincangkan secara terbuka kerana ia melibatkan hati unit atau individu bernama Insan.

Apa dia?

Hubungan dengan Allah; Pencipta Insan. Juga tentang bagaimana kita melihat kehidupan yang sedang berlangsung di hadapan kita.

Walau bagaimana sesak pun kehidupan Insan di dunia ini, ubatnya adalah kembalikan hati kepada empunya pencipta. Pasrahkan diri menghadapi cabaran-cabaran hidup-sebagai asas menyusun atur menghadapinya.

Memang ia bukan mudah, tetapi dengan cara itu, ia umpama satu butang RESET untuk melihat kedudukan kita di sisi Pencipta.

Sebab itu, bila dibuat pemerhatian, orang berharta belum tentu tenang, orang miskin juga belum tentu tidak bahagia. Apakah titik bagi perbezaan antara dua darjat duniawi ini?

Mungkin itu yang dimaksudkan dengan rasa QANA’AH. Rasa mencukupi tapi terus perbaiki diri. Rasa begitu menjadikan kita tidak gelisah. Tiada rasa Qana’ah menjadikan kita gelisah dan serba tidak kena. nafs meronta-rontah dan seolah-olah hilang prioriti kehidupan tentang ke mana mahu dibelanjakan harta. Bukankah kesesakan jiwa ini lebih mendatangkan derita? Derita walau banyak harta.

Dunia ini bukan hanya berkenaan dengan wang ringgit dan harta benda. Ia juga meliputi hubungan kekeluargaan, sesama Insan, rasa selamat hidup dalam sesebuah komuniti, mempunyai penghargaan yang tinggi terhadap budaya, bahasa dan seni kreatif. Kehidupan Insan lebih cantik apabila diberi fokus kepada aspek saling menyantuni sesama Insan dan Alam.

Ketika solat, itu adalah saat paling utama dalam hidup. iaitu apaila Diri Insan menghadap Pencipta. Ia umpama laporan harian yang perlu sentiasa di kemaskini paling kurang 5 kali sehari. Saat solat juga adalah keadaan paling membahagiakan dalam hidup. Kerana kita sedang berhadapan dengan Pencipta kesusahan dan kesenangan yang sedang dihadapi. Dia yang memberikan susah dan senang untuk kita urusi dengan cara terbaik. Lalu Dia juga yang akan mengangkat rasa susah itu dan disusuli dengan rasa jiwa lapang-senang-bahagia di saat dan masa yang Dia tentukan.

Sebab itu solat itu penting dalam hidup Insan. Ia nadi kehidupan Insan abad ke 21 ini; di saat ancaman luar bermerajalela, Insan itu umpama terkapai-kapai akibat ancaman dari luar tanpa disedari, jawapannya ada dalam diri insan.

Berbaki 10 Hari Untuk Mengatur Langkah Masuk 2016

Melihat kebelakang, tahun 2015 adalah tahun transisi bagi saya. Transisi untuk mengislah kehidupan yang lebih baik dari semalam.

Dengan segala kejadian yang berlaku, saya perlu terus positif dan meyakini bahawa proses sukar yang dialami adalah ‘jalan’ yang ditunjukkanNya untuk lebih berdikari dan mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran hari mendatang.

Anak-anak semakin membesar, si isteri tersayang sedang pulun menyiapkan tesis kedoktorannya, pada masa yang sama, saya mengalami cabaran dalam dunia pekerjaan yang sedang diuruskan agar kekal stabil.

Kita tidak tahu dari mana datangnya bantuan Allah. Tapi itulah yang berlaku setiap kali kesukaran itu ditahap tertinggi.

Ujian Allah itu saya anggap sebagai ‘alamat’ agar lebih bersedia dan bukan suatu yang menjadikan kita selesa dan lupa diri. Penyelesaian yang lebih baik dari apa yang sedang diusahakan sekarang harus dicari. Pendek kata, jangan mudah selesa.

Saya kira, ini adalah antara pelajaran terbesar dan paling mengesan buat saya sekeluarga. Jika sebelum ini, dapat hidup selesa dengan pendapatan relatif stabil, tapi sekarang, perlu bertungkus-lumus memastikan ia kekal stabil dengan mengusahakan perniagaan lain.

Ada berbaki 10 hari lagi untuk saya mengatur langkah menghadapi tahun Masihi 2016.

Pesanan Untuk Para Pejuang; Perenggan 24 – Risalah Untuk Kaum Muslimin

7097156

Jumaat lepas – 27 November 2015 – bertempat di pejabat Klasika Media, kami berkumpul dan mengadakan sesi membaca Risalah Untuk Kaum Muslimin, perenggan 24 hingga perenggan 29.

Sedikit penggenalan mengenai Risalah Untuk Kaum Muslimin. Kitab berbahasa Melayu ini adalah ‘kata lisan yang telah dicatat dalam bentuk tulisan ringkas dan kemudian ditaip’ oleh setiausaha Tan Sri prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas ketika beliau bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga sebagai Pengasas serta Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di UKM.

Risalah yang mempunyai 74 perenggan ini mula di tulis pada awal 1973 dan berakhir pada bulan Mac tahun yang sama. Walau bagaimanapun, risalah itu tersimpan lama sebelum ia mula diterbitkan oleh ISTAC, UIAM pada 2001. Manakala terbitan kali kedua pada 2014.

26807569

Risalah ini penting kerana ia membahaskan hal-hal penting berkait dengan cabaran kehidupan Muslim hari ini. Dengan menghuraikan istilah dan kata kunci-kata kunci penting dalam Islam, Prof. al-Attas juga turut membahaskan apakah akar permasalahan umat Islam – masalah dalaman dan luaran.

Risalah Untuk Kaum Muslimin ini adalah antara tulisan awal Prof. al-Attas mengembangkan idea Islamisasi Ilmu Pengetahuan Semasa yang kemudiannya diperkemaskan melalui karyanya Islam and Secularism (1978). Dua karya ini adalah karya WAJIB BACA kalian yang mahu mengenal makna diri dan mengetahui apa sebenarnya masalah dalaman dan luaran serta solusi mendasar yang dibentangkan dengan panjang lebar dan rinci bagi menyelesaikan masalah-masalah tersebut.

Secara umumnya, karya-karya Prof. al-Attas dikatakan agak sukar difahami, lalu biasanya terpalit dengan persepsi bahawa ia adalah sekumpulan karya yang tinggi melangit dan tidak membumi! Sedangkan ia bukan soal tinggi melangit, tapi ia soal TEKNIK MEMBACANYA YANG TIDAK DIKETAHUI KERANA SUDAH TERBIASA DENGAN TEKNIK TULISAN KARYA PICISAN YANG TIDAK JELAS NAHUnya. Ia juga adalah soal persediaan kita dan kesungguhan kita untuk memahami sesuatu Ilmu. Oleh itu, untuk membacanya, perlu sabar dan niatlah untuk mendapat ILMU. Moga dipermudahkan.

Berbalik kepada pengalaman membacany buat ke sekian kali, pada Jumaat lepas, saya menjadi sebak dan insaf apabila membaca perenggan 28 seperti berikut:

“Sharat kedua bagi kebudayaan untuk mencapai kesempurnaan ialah daya upayanya untuk berjuang menghasilkan suatu tujuan hidup; dan tujuan hidup ini senantiasa merupakan cita-cita — bukan cita-cita palsu liar dari pencarian, yang mustahil dapat dihasilkan; dan bukan pula hanya cita-cita orang perseorangan, akan tetapi cita-cita yang merupakan suatu hakikat yang sudah jadi, yang disanjung oleh diri perseorangan dan diri-diri yang bergabung sebagai masharakat seluruhnya. Cita-cita ini di sisi Islam haruslah menuju ke arah pencapaian keseimbangan dalam menghasilkan sikap dan daya serta gaya hidup yang merujuk kepada dunia dan akhirat keduanya. Harus dapat kita merumuskan serta mentafsirkan dalam kehidupan diri serta masharakat kita nilai-nilai ruhaniah yang membimbing ke arah keakraban dengan Tuhan; ke arah penghasilan ilmu pengenalan dan pengetahuan; ke arah kemuliaan, keagungan dan penguasaan duniawi; ke arah kesempurnaan ekonomi dan kesihatan. Dalam menuntut penguasaan duniawi kita harus juga insaf akan hakikatnya dan hakikat kehidupan nescaya tidak akan terjerumus ke dalam pelbagai jeratannya yang dipasang di sana sini untuk memerangkap mereka yang lalai. Kepada si penjunjung nilai-nilai kebudayaan, maka cita-citanya itu senantiasa mengundang erti dan maksud untuk menyempurnakan kehidupan, baikpun kehidupan ketika itu juga mahupun kehidupan kemudian kelak, iaitu kehidupan dunia dan akhirat, sebab kehidupan itu kekal abadi dan bukan hanya merujuk kepada dunia belaka. Akan tetapi justeru bagaimanapun sesuatu kebudayaan itu berupaya untuk menghasilkan pencapaian tujuan hidupnya, maka sharat bagi menganutnya ialah penjaminan keamanan. Kebudayaan tiada akan merupakan suatu daya upaya jikalau tiada dia pertama sekali memperoleh kebolehan bagi membina ketertiban dan adab dalam masharakat. Dengan adanya tatatertib dan adab dalam masharakat, maka baharulah akan timbul kewibawaan, iaitu kuasa pengatur, dan seterusnya akan terhasil penjaminan keamanan yang akan dikawal oleh perundangan dan hukum dan nilai-nilai adabi. Dalam keadaan keadilan seperti yang dimaksudkan itulah baharu mungkin sesuatu kebudayaan itu memperoleh kemajuan demi menuntut cita-citanya.

Perenggan ini adalah antara perenggan yang mampu menjadi landasan asas untuk difahami tujuan kehidupan seharian. Ke arah mana kita mahu meneruskan hidup dan juga apakah nilai perjuangan yang sedang kita anuti? Untuk apa? Untuk siapa?

Jika tujuan jelas, jalan terus!

Alam Sekitar: (BETULKAH?) Islam Penyelesaian Semua Masalah Manusia! (Bahagian 1)

Sudah lama sebenarnya saya berfikir hal ini. Mahu menulis tentangnya, saya serba salah. Mahu mendiamkannya, juga serba salah. Tetapi hal yang saya fikirkan ini sangat menghantui.

Alam Sekitar

Alam ini ciptaanNya. Alam adalah manifestasi kepada kewujudanNya. Tanda kehebatanNya, KetelitianNya. Kehalusan ciptaanNya. Wujudnya alam dan insan adalah simbiosis sifatnya. Ia saling memerlukan. Perbezaan antara dua ini adalah AKAL. Akal dikurniakan kepada insan untuk mengurus alam.

Kerana itu, insan diiktiraf sebagai:

“sebaik-baik kejadian.”

“sebagai khalifah di muka bumi.”

Pengiktirafan itu turut menggalas amanah besar.

Ini asas perkaitan antara Insan dan Alam ciptaanNya.

KEROSAKAN AKIBAT TANGAN MANUSIA

Dalam Al-Quran, ada dinyatakan hal ini. insan yang rakus untuk maksimumkan keuntungan peribadi adalah ASAS kepada kecenderungan kepada berlakunya kerosakan alam atas nama ‘pembangunan’ dan ‘kemajuan’.

Selain itu, kejahilan memahami fungsi alam dan kegersangan penyediaan alternatif kepada ‘pembangunan’ yang menyumbang kepada kemusnahan alam juga menjadi punca kepada kemusnahan alam.

WARAKKAH KITA??

Ambil sahaja isu-isu yang sedang berlangsung ketika ini: jerebu, pencemaran sungai, kepupusan sumber protein (baca: hasil laut) yang bersih dan segar, pencemaran tanah, dan lain-lain pencemaran; adalah manifestasi kepada ‘pencemaran’ jiwa insan.

Walaupun lengkap ibadat solat 5 waktunya, ditambah solat sunat berpuluh rakaat, tapi andai belum dapat memahami kesan negatif penggunaan plastik kepada alam, ia belum mencukupi. Kerana kejahilan itu, insan warak ini sebenarnya telah zalim kepada alam apabila mengguna pakai bahan-bahan plastik dan membuang sisa plastik tersebut sehingga berlaku lambakan sisa pepejal; yang tidak boleh dimusnahkan.

Insan yang sama juga, belum dianggap warak sekiranya tidak memahami masalah pencemaran alam sekitar akibat kesan rumah hijau. Gas-gas kesan rumah hijau mengakibatkan berlaku peningkatan suhu yang tidak normal yang dipanggil ‘pemansan global’ dan ‘perubahan iklim’. Apakah puncanya? Pembakaran terbuka, kesan penggunaan kenderaan  bahan api fosil dan lain-lain.

Gas-gas kesan rumah hijau bukan sahaja diakibatkan oleh perbuatan manusia, tetapi juga disebabkan oleh aktiviti alam seperti letusan gunung berapi. Walau bagaimanapun, dalam konteks penulisan ini, saya fokuskan kepada tindakan yang boleh dikawal; iaitu aktiviti yang diakibatkan oleh insan.

PENDIDIKAN

Pokok pangkalnya adalah pendidikan. Bagaimana para pendidik memahami hubungan antara alam dan insan dan Bahagia dan Agama dan Dunia-Akhirat dan Wahyu dan lain-lain? Dan bagaimana kefahaman ini mampu dipersembahkan kepada anak didikan supaya memahami hal ini?

Sekiranya di zaman mencabar ini, para pendidik anak-anak kita, khususnya pendidikan Islam, gagal memahami isu global ini, kita sebenarnya belum sempurna Iman!

Iman yang sempurna pasti dapat mengenal letak duduk alam dan bagaimana mahu menyantuni mereka.

Ia melebihi slogan bahawa Islam ada Penyelesaian semua masalah! Jika tidak, ia hanya berupa retorik oleh para penganutnya yang jahil.

Tidak Perlu Bina Lebuhraya Baharu lagi!

Hutan Simpan Ampang wajar dilindungi.

Saya sependapat dengan Dr. David Chin, Presiden, Institut Rimbawan Malaysia bahawa projek lebuhraya EKVE (East Klang Valley Express) bernilai RM1.55 bilion, supaya dipertimbangkan semula kelulusannya.

Isu mekansime menangani kesesakan trafik dan untuk memudahkan capaian dari satu tempat ke satu tempat melalui kaedah membina lebuh raya baharu harus dipertimbangkan semula oleh semua pihak.

Proses yang ‘memakan korban’ alam yang bukan sedikit ini bukan lagi satu keputusan yang bijak pada masa kini. Alternatif kepada memperkasakan pengangkutan awam, menyusun polisi aktiviti perbandaran yang efektif dengan mengesampingkan mekanisme pembinaan lebuh raya baharu sewajarnya mendapat perhatian semua pihak pada hari ini.

Saban tahun, pembinaan lebuhraya baharu yang diyakini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, sudah menjadi taboo. Mekanisme ini sudah tidak efektif memandangkan terdapat pertambahan kenderaan persendirian yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Para aktivis alam sekitar dan pihak berkuasa, harus melakukan sesuatu yang lebih efektif supaya jalan penyelesaian yang tuntas dapat diberikan kepada pihak berkuasa. Objektifnya nanti ialah: Me-nyah sampingkan mekanisme pembinaan lebuh raya baharu pada masa hadapan yang selama ini dipercayai dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan melancarkan trafik kepada pengguna kenderaan persendirian. Sebagai alternatif, idea dan perancangan yang lebih lestari dan efektif harus diusahakan.

Bolehkah kita fokuskan aktiviti perbandaran dengan menetapkan premis objektif seperti itu?

Saya optimis.

Monolog: Aku (Bukan Hanya) Seorang Environmentalis

Monolog.

Saya minta maaf, saya tidak dapat memisahkan cara berfikir saya yang amat berkait antara satu sama lain seperti Insan-Alam-Tuhan-Agama-Akhirat-Dunia-Bahasa-Wahyu-Bahagia.

Semuanya saling berkaitan dan ada letak-duduk masing-masing dalam memahaminya.

Pernah kalangan sahabat saya memanggil saya sebagai seorang environmentalis. Mungkin kerana saya menganjurkan penjagaan alam sekitar yang baik, kitar semula, kurangkan guna plastik.

Tapi sebenarnya pada masa yang sama, asas kepada cara berfikir itu adalah dengan memahami bahawa saya adalah Khalifah di muka BumiNya. Alam ini adalah amanah yang perlu dijaga.

Insan itu ada fizikal dan ruh. Fizikal alam rosak kerana Ruh Insan yang tidak jelas akan fungsinya di Bumi.

Jika tidak jelas, lalu keputusan-keputusan yang dibuat tidak ke arah memakmurkan Bumi, bagaimana Insan mahu mencapai Bahagia di Akhirat dan Dunia.

Penggunaan sumber (contoh: bahan api fosil) alam dan ekonomi yang lain dengan cara tidak efektif dan Hikmah, pasti akan merosak-punahkan keseimbangan Alam (Mizan).

Semua ini memerlukan kefahaman berasaskan ILMU yang Benar dan Tetap.

Saya sendiri dalam proses belajar dan saya akan terus belajar untuk kenal fungsi Diri.

Blessed Unrest (2)

The Long Green.

Bab Dua dalam Blessed Unrest, menceritakan asas falsafah dan ahli falsafah yang mempengaruhi pemikiran para biologis, naturalis dan bbotanis sehingga melahirkan karya-karya seperti Systema Naturae (Carl von Linne), Nature (Ralph Wardo Emerson), A week on the Concord and Merrimack Rivers (Henry David Thoreau), An Overland Journey (Horace Greeley), dan banyak lagi karya-karya yang terbit hasil pengalaman mereka menerokai muka bumi sehingga ada yang menetap di pulau-pulau berbelas tahun bagi menguji teori Darwin (seperti usaha Peter dan Rosemary Grant yang tinggal di Galapagos, duduk di Daphne Major, dan mengkaji teori Darwin selama 20 tahun!)

Dalam babak lain di bab ini, seronok untuk saya kongsikan natijah kepada wujudnya karya2 ini kepada kehidupan orang Barat. Berikan saya sedikit masa lagi untuk menghadamnya sebelum memuntahkan kembali dalam bentuk yang mudah difahami!

Blessed Unrest (1)

81pIxbhxCIL

Teh hijau dan roti sebagai teman disamping watak utama; buku.

Sambung menelaah Blessed Unrest. Mula memasuki bab Dua setelah bab Satu (Blessed Unrest) yang banyak menceritakan perihal sebab musabab lahirnya banyak gerakan peringkat akar umbi yang tidak bersifat ‘ideology and fundamentalism’. Juga turut memaparkan cabaran yang dihadapi oleh gerakan-gerakan yang pelbagai ini sama ada bersifat dalaman atau luaran.

Memasuki bab Dua, (The Long Green) menyoroti isu alam sekitar dan memperkenalkan serba sedikit ringkasan ‘semangat’ environmentalis dunia Barat yang mengangkat botanis Sweden, Carl von Linne (1707-1778). Satu perkara yang menarik adalah pada 1735, beliau (dikenal juga sebagai Linnaeus) telah menulis berkenaan dengan ‘3 kingdom; animal, vegetable and mineral’ dalam satu dari 11 halaman pempletnya berjudul ‘Systema Naturae’.

Buku ini, khususnya bab-bab awal, kelihatan agak sarat dengan hujah-hujah teori evolusi. Saya kira tidak pelik kerana ia juga yang menjadi asas kefahaman sebahagian besar environmentalis Barat.

*kelaparan luar biasa, minta tolong isteri sediakan roti telur sekali.

11822759_955039601251209_3598236986924760947_n

Detik Bersejarah: MH370 Ditemui

Hari ini adalah hari bersejarah buat Malaysia. Serpihan di Pulau La Reunion, disahkan sebagai serpihan kapal terbang MAS, MH370. Sedih dan sebak buat seluruh rakyat Malaysia. Terutama sekali ahli-ahli keluarga dan rakan taulan. Segala harapan hanya tinggal harapan. Yang hidup perlu meneruskan kehidupan. Anak-anak yang kecil, perlu dibesarkan dengan kasih-sayang dan akhlak mulia.

Semoga ahli keluarga tabah mengharungi ujian Ilahi.

Andai itu berlaku kepada ahli keluarga, saya sendiri tidak dapat membayangkan apa perasaan sebenarnya. Hormatilah keluarga dan sahabat handai mereka yang terlibat. Teruskan berkata yang baik-baik sahaja.